Pasukan Tindakan Indira Gandhi (Ingat) menggesa polis dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) agar mengambil tindakan segera untuk mengesan bekas suaminya, Riduan Abdullah serta anak perempuan mereka, Prasana Diksa.
Pengerusi Ingat, Arun Dorasamy dalam kenyataan hari ini mengecam polis dan Suhakam yang didakwanya cuai dan gagal menjalankan tanggungjawab mereka.
Dia menggesa polis supaya segera menubuhkan pasukan khas bagi melaksanakan perintah Mahkamah Persekutuan dan mendesak Suhakam untuk menyerahkan laporan khas kepada Parlimen yang mengakui kegagalan mereka untuk memantau kes berkenaan.
Dia turut menggesa kerajaan agar mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai yang gagal melaksanakan perintah mahkamah, serta agar Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Hak Asasi Manusia menyiasat kegagalan institusi dalam menguatkuasakan keputusan kehakiman.
“Antara 2021 hingga 2025, polis telah memfailkan lebih 18 afidavit di Mahkamah Tinggi, semuanya mengandungi perenggan yang hampir sama, hanya tarikh dan tandatangan yang berbeza.
“Tiada bukti yang menunjukkan siasatan lapangan dijalankan, tiada kerjasama rentas agensi dengan Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan, Bank Negara, atau Interpol.

“Mereka mendakwa usaha berterusan dijalankan, tetapi kenyataan seperti itu kini menjadi satu penghinaan terhadap undang-undang sendiri,” kata Arun.
Selepas aduan rasmi difailkan, katanya lagi, Suhakam telah bersetuju untuk menjalankan siasatan awam bebas bagi meneliti kegagalan dalam pelaksanaan perintah Mahkamah Persekutuan.
“Namun selepas enam tahun, tiada siasatan dijalankan, tiada laporan dikeluarkan, dan tiada sebarang komunikasi dibuat dengan pengadu,” katanya lagi.
Dalam pertemuan dengan Suhakam pagi tadi, Indira dan pasukan undang-undang Ingat menyerahkan surat yang memperincikan kegagalan agensi penguatkuasaan dan peranan Suhakam dalam kes itu.
Dalam pertemuan tersebut, dakwa Arul, Suhakam telah memohon maaf atas kelemahan mereka dalam memberikan maklumat terkini mengenai kes itu, serta menyatakan tiada siasatan dijalankan sehingga kini kerana organisasi itu terikat dengan Seksyen 12(3) Akta Suhakam 1999.
Peruntukan undang-undang itu melarang Suhakam daripada memulakan siasatan terhadap mana-mana perkara yang masih dalam prosiding mahkamah atau telah diputuskan mahkamah.
Bagaimanapun, Arun mendakwa Suhakam berjanji untuk mengambil tindakan menerusi saluran pentadbiran bagi mendesak agensi berkaitan, termasuk polis dan Jabatan Peguam Negara, untuk bertindak sewajarnya.
“Kami menghormati kedudukan Suhakam sebagai badan hak asasi manusia negara, tetapi kami kecewa dengan tiadanya tindakan dan kelewatan enam tahun tanpa satu pun surat makluman.
“Suhakam tidak boleh sekadar berlindung di sebalik Seksyen 12(3) — tanggungjawab moral dan mandat kemanusiaannya jauh melangkaui alasan teknikal.
“Jika Suhakam boleh menunjukkan keberanian dalam kes Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat, mengapa tidak dalam kes seorang ibu yang telah mencari anaknya yang hilang selama 16 tahun?” soal Arun lagi.
Ingat turut mendakwa kegagalan berterusan ini merupakan pelanggaran jelas terhadap beberapa peruntukan undang-undang, termasuk Perkara 5(1) dan 8(1) Perlembagaan Persekutuan, serta Seksyen 20, 21 dan 53 Kanun Tatacara Jenayah dan Akta Kanak-Kanak 2001.
