Belanjawan alternatif yang dibentangkan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin semalam mendapat reaksi pelbagai, dengan majoriti pemerhati politik dan ahli parlimen kerajaan menyifatkan ia sebagai tidak realistik.
Ia juga disifatkan tidak berasaskan data fiskal yang kukuh dan gagal memberi penyelesaian kepada isu-isu besar negara seperti hutang kerajaan, ketirisan dana awam dan kelemahan struktur hasil negara.
Antara cadangan utama dalam pembentangan belanjawan alternatif tersebut ialah pemberian tunai tahunan sebanyak RM6,000 kepada golongan berpendapatan rendah dengan memperkenalkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN), yang dilihat sebagai saingan kepada inisiatif kerajaan Madani seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara).
Bagaimanapun, cadangan tersebut mencetuskan pertikaian apabila ia tidak disertai dengan penjelasan tentang bagaimana kerajaan PN mampu membiayai bantuan sebesar itu tanpa membebankan fiskal negara.
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim menyambut baik cadangan PN untuk memperbaiki sistem bantuan subsidi kepada rakyat dan meningkatkan jumlah bantuan tersebut.
Menurut pemimpin PKR itu, cadangan itu adalah wajar dan harus dialu-alukan kerana mencerminkan keprihatinan terhadap golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Namun, Hassan menyifatkan keseluruhan pembentangan itu sebagai tidak lengkap dan cetek, kerana tidak disertai cadangan konkrit bagaimana untuk menambah hasil pendapatan negara.
“Ketua pembangkang gagal memberi cadangan penyelesaian isu-isu besar yang kritikal yang dihadapi oleh negara,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Hassan, walaupun kerajaan setiap tahun membelanjakan ratusan bilion ringgit untuk perbelanjaan mengurus, Hamzah langsung tidak menyentuh kaedah untuk menambah peruntukan pembangunan yang kini sekitar RM80 bilion setahun sahaja.
“Hamzah tidak ada bagi cadangan bagaimana peruntukan bagi belanjawan mengurus itu hendak ditambah.
“Ketua pembangkang juga gagal menyebut apakah reformasi yang perlu dilakukan dari segi sistem cukai untuk menambah hasil atau revenue negara untuk (menampung) belanjawan negara,” katanya.
Hassan juga mempersoalkan kegagalan Hamzah mengemukakan cadangan untuk memperbaiki sumbangan hasil bukan cukai, khususnya dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Petronas, yang menurutnya semakin merosot.
“Hamzah selaku ketua pembangkang juga gagal menyentuh tentang beratus bilion ringgit duit kerajaan yang diperuntukan kepada agensi-agensi kerajaan dalam tempoh lima tahun terakhir ini yang telah diluluskan oleh Parlimen telah lesap dan hilang angkara rasuah dan ketirisan yang berlaku setiap tahun. Ketua pembangkang senyap dalam hal ini,” katanya.
Hassan juga turut mengkritik Hamzah kerana tidak menawarkan penyelesaian kepada isu hutang kerajaan yang kini mencecah 64.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Kata Hassan, Hamzah sekadar mengkritik peningkatan hutang negara tanpa mencadangkan rancangan untuk mengurangkannya.
"Ucapan ketua pembangkang tidak banyak beza dengan ucapan ahli parlimen biasa. Ia tidak memberi harapan kepada rakyat untuk mendapat kerajaan yang lebih baik dari kerajaan Madani sekarang," katanya.
‘Tiada cadangan cukai alternatif’
Dalam pembentangan belanjawan alternatif itu, Hamzah berkata sekiranya menjadi kerajaan, PN akan memperkenalkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sehingga RM6,000 setahun kepada isi rumah yang memerlukan.
Menurut Hamzah, bantuan sebanyak RM500 sebulan itu jauh lebih baik berbanding program Bantuan Asas Rahmah (Sara) yang menurutnya bersifat bersyarat dan terhad.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan berkata dia tidak nampak sebarang dokumen belanjawan alternatif yang dikemukakan secara rasmi oleh Hamzah.
Malah, ahli parlimen DAP itu berkata Hamzah juga telah gagal menjawab dengan jelas apabila disoal oleh Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) di Dewan Rakyat

“Saya tidak nampak pun sebarang belanjawan alternatif sebenar semalam. Apa yang kita dengar cuma tawaran untuk beri RM6,000 setahun.
“Tapi dari mana mereka cadang untuk dapatkan dana untuk laksanakan cadangan ini? Tidak dinyatakan. Bila ditanya, apa cukai alternatif yang dicadangkan, juga tidak dijawab,” kata Syahredzan.
Syahredzan juga turut menyentuh isu kredibiliti PN dalam hal ekonomi, dengan merujuk kepada prestasi hambar di negeri-negeri yang ditadbir gabungan itu seperti Kelantan dan Terengganu yang masih berdepan masalah infrastruktur asas, air dan pelaburan.
“Saya fikir cadangan tidak masuk akal seperti ini lebih sesuai sebagai sembang santai di warung kopi, dan bukannya dibawa sebagai ucapan oleh seorang ketua pembangkang,” katanya.
‘Cetek dan hanya untuk kesan persepsi’
Penganalisis politik Azmi Hassan pula mempersoalkan kewajaran cadangan RM6,000 itu yang menurutnya boleh membebankan fiskal negara secara melampau, terutama jika jumlah penerima yang layak adalah besar.
“Belanjawan PN ini mengandungi cadangan BPN, RM6,000 dan saya tak pasti berapa ramai yang layak menerimanya tapi cadangan itu saja nampak sangat cuba menongkah bantuan Sara dan juga STR yang diberikan oleh kerajaan Madani pada ketika ini.
“Tapi hakikatnya adalah apabila cadangan BPN RM6,000 itu dikatakan satu jumlah yang agak besar.
“Kalau STR dan Sara pun dah susah dilaksanakan tanpa asas kewangan kukuh, bagaimana pula bantuan BPN sebanyak RM6,000 ini mahu dilaksana?” soal Azmi.

Dia turut mempersoalkan penggunaan nama BPN yang secara tidak langsung menyerupai nama gabungan parti politik pembangkang itu sendiri.
“Akronim itu sengaja dibuat macam dibuat semata-mata nak kaitkan dengan PN. Ini menunjukkan cadangan ini cetek dan dibuat untuk kesan persepsi semata-mata, bukan sebagai dasar berasaskan realiti ekonomi,” katanya.
Katanya ramai rakyat tidak berminat untuk menyelami cadangan belanjawan PN secara lebih mendalam kerana persepsi umum ialah cadangan tersebut bersifat populis dan tidak boleh dilaksanakan dalam keadaan kewangan negara sekarang.
Perlu buktikan di SG4 dahulu
Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Jamaie Hamil menyifatkan belanjawan alternatif PN itu sebagai terlalu “futuristik dan bombastik.”
“Belanjawan (alternatif) itu boleh dianggap sebagai satu janji yang menjanjikan perkara-perkara yang barangkali terlalu futuristik, terlalu ke depan, terlalu besar, terlalu menjanjikan sesuatu yang sudah tentulah tawaran-tawaran yang bombastik dan luar biasa.
“Oleh kerana bukan mereka yang akan melaksanakan. Maknanya, dari segi baik, memang baik, tapi untuk pembangkang.
“Kerana mereka sebagai pembangkang, mereka boleh buat tawaran yang hebat-hebat kerana mereka tahu mereka tidak perlu laksanakan. Itu lumrah pembangkang, nak tunjuk mereka lebih baik daripada kerajaan,” katanya.
Menurut Jamaie, walaupun secara zahir belanjawan itu kelihatan baik dari sudut niat dan angka, tetapi kurangnya kredibiliti PN sebagai pentadbir di negeri-negeri sendiri menyebabkan rakyat sukar diyakinkan.

“Secara jujurnya, saya melihat keyakinan rakyat kepada pembangkang itu barangkali sebagai satu yang mereka tidak mengharapkan apa-apa dari pembangkang.
“Sebab apa? Sebab pembangkang perlu membuktikan dulu (kemampuan mereka) di negeri masing-masing dulu. Di negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan juga Perlis untuk membuktikan bahawa mereka itu lebih baik daripada negeri-negeri lain yang ada di Semenanjung,” katanya.
Dalam Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada 10 Okt lalu, program bantuan kerajaan disusun semula dengan penyesuaian terhadap bentuk dan kadar bantuan.
Menerusi bantuan STR, keluarga penerima akan menerima jumlah keseluruhan bantuan yang sama seperti sebelum ini.
Namun komponen bantuan tunai dikurangkan manakala bantuan dalam bentuk kredit untuk pembelian barangan keperluan asas ditingkatkan.
Bayaran STR dikurangkan sebanyak RM300 bagi semua kategori isi rumah, tetapi pengurangan itu diimbangi dengan kenaikan RM300 bagi Sara, menjadikan jumlah minimum Sara sebanyak RM1,200 setahun.
