PARLIMEN l Presiden MCA, Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mempersoalkan peruntukan sebanyak RM600 juta untuk kerja-kerja membaik pulih Carcosa Seri Negara, dengan berkata dana itu lebih bermanfaat jika digunakan untuk sektor kesihatan.
Dalam perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini, Wee turut mempersoalkan peruntukan RM4 bilion bagi pembangunan Kota Madani.

“Belanjawan 2026 menunjukkan pola keutamaan yang sedikit salah arah, di mana vanity project (projek sia-sia) lebih diutamakan pada ketika hospital masih kekurangan doktor dan universiti pula bergelut dengan kekurangan dana,” katanya.
Carcosa Seri Negara, yang terletak di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur, terdiri daripada dua bangunan warisan yang pernah menjadi kediaman mewah kolonial semasa pemerintahan British dan kini dijadikan hotel butik eksklusif.
Di bawah Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu, kerajaan memaklumkan bahawa Khazanah Nasional Berhad akan menanggung kos RM600 juta bagi kerja-kerja pemulihan Carcosa Seri Negara serta enam blok bangunan di Kompleks Sultan Abdul Samad.

‘GLC bukan mesin ATM kerajaan’
Dalam ucapannya, Wee turut menyuarakan kebimbangan terhadap penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dalam Belanjawan 2026.
“Ini menimbulkan persoalan tentang penyimpangan daripada mandat teras korporat asal GLC dan GLIC.
“Langkah ini tidak bermakna kerajaan berjimat; sebaliknya, ia boleh menjejaskan pulangan jangka panjang kerana pelaburan sedemikian berpotensi mengurangkan dividen yang sepatutnya disalurkan semula kepada rakyat,” katanya.
Wee menambah bahawa tindakan menggunakan GLC dan GLIC bagi menampung perbelanjaan kerajaan adalah “penjarahan fiskal, ibarat menyembelih itik yang bertelur emas.”

“GLC dan GLIC bukan mesin ATM kerajaan. Mereka diwujudkan untuk menjana pelaburan strategik dan pulangan jangka panjang kepada rakyat,” tegasnya sambil menambah apabila mereka dipaksa mencairkan aset bagi membiayai perbelanjaan semasa, kerajaan sebenarnya menggadaikan pendapatan masa depan untuk menampung kelemahan hari ini.
“Cara ‘tutup lubang gali lubang’ seperti ini tidak dapat selesaikan masalah pokok,” katanya lagi.
Pandangan Wee itu senada dengan kebimbangan yang pernah disuarakan oleh bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli, yang sebelum ini memberi amaran bahawa penggunaan dana GLC dan GLIC dalam belanjawan negara boleh memberi kesan negatif terhadap syarikat strategik berkenaan.
Rafizi sebelum ini menegaskan bahawa pendekatan sebegitu tersasar kerana belanjawan negara seharusnya hanya melibatkan kerajaan secara langsung, bukan dengan memperluaskan tanggungan kepada GLC dan GLIC.

Ketika membentangkan belanjawan minggu lalu, Anwar berkata perbelanjaan oleh GLIC, badan berkanun dan pelaburan awam-swasta akan menyumbang tambahan RM50.8 bilion untuk inisiatif awam, menjadikan jumlah keseluruhan belanjawan tahun depan sebanyak RM470 bilion.
Belanjawan 2026, berjumlah RM419.2 bilion, sedikit lebih kecil berbanding Belanjawan 2025 (RM421 bilion), sejajar dengan usaha kerajaan mengawal perbelanjaan serta tekanan daripada harga minyak global.
