Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar mengesahkan satu nota tulisan tangan ditemui pada badan pelajar perempuan berusia 16 tahun yang maut ditikam di sebuah sekolah di Bandar Utama, Selangor semalam.
Nota itu dipercayai ditinggalkan oleh suspek lelaki berusia 14 tahun.
“Pada badan mangsa,” katanya ringkas seperti dipetik Malay Mail.
Shazeli berkata demikian ketika ditanya jika suspek ada meninggalkan nota dan di mana nota itu ditemui.
Polis tidak mendedahkan kandungan nota tersebut. Namun, gambar yang didakwa sebagai nota tersebut tersebar meluas di internet.
Suspek dilaporkan turut menyerang pelajar sekelasnya yang lain. Dia kini direman tujuh hari untuk siasatan.
Ia berlaku hampir dua minggu selepas satu lagi insiden mengejutkan di Melaka, apabila empat remaja ditahan kerana didakwa merogol seorang pelajar Tingkatan Tiga di dalam kelas pada 2 Okt.
Polis memperoleh perintah reman enam hari terhadap suspek pada 11 Okt lepas. Mereka disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana merogol beramai-ramai.
Terdahulu, ahli-ahli Parlimen PN menggesa pihak berkuasa supaya menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kematian seorang murid Tahun Empat yang ditemui tidak sedarkan diri di tandas sekolah di Senawang, Negeri Sembilan, awal bulan ini sebelum disahkan meninggal dunia.
