Dr Mahathir Mohamad tidak berlembut dalam penyataan saksinya hari ini ketika perbicaraan saman fitnah RM150 juta, apabila dia mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penipu “pathological liar” (penipu tegar) yang sudah “menyebarkan pembohongan sejak 1998”.
“Anwar adalah seorang pathological liar. Anwar ada kemampuan menakjubkan untuk menipu. Anwar akan tipu demi jawatan dan kuasa,” kata Mahathir.
Dalam penyataan saksinya, pemimpin berusia 100 tahun itu menghuraikan mengenai ucapan Anwar pada kongres khas PKR 2023 yang didakwa memfitnahnya.
“Secara peribadinya, saya merasa terkilan dan mengalami tekanan dari segi mental dan emosi kerana Kenyataan Anwar yang merupakan Perdana Menteri ketika kenyataan itu dilakukan secara jelasnya akan diambil serius oleh seluruh masyarakat dalam dan luar negara.

“Kenyataan tersebut telah disebar luas, ramai orang caci dan hina saya. Mereka lupakan semua jasa yang saya telah lakukan untuk negara. Persepsi masyarakat semakin kuat merasakan bahawa sepanjang saya melaksanakan tugas sebagai Perdana Menteri, saya bolot harta untuk anak-anak saya, untuk keluarga dan kawan-kawan.
“Saya malu kerana perkara ini tidak benar, kesannya bukan kepada saya seorang sahaja. Saya tuntut untuk dia mohon maaf dan betulkan keadaan kerana dia sendiri tahu apa yang dia katakan adalah tidak benar. Dia sendiri tahu kesan apabila seorang Perdana Menteri berucap, orang ramai akan anggap apa yang dia kata itu benar,” kata Mahathir.
Saman itu difailkan kerana kedudukan Anwar sebagai perdana menteri memberi pengaruh besar kepada pandangan masyarakat, kata Mahathir ketika memberi keterangan secara fizikal di mahkamah pagi tadi.
“Perkara ini adalah disengajakan dan telah pun berlaku selama 27 tahun daripada sebelum dia menjadi Perdana Menteri lagi. Ini menunjukkan bahawa Anwar tidak pernah merasa bersalah atau kesal akan perbuatan dia yang terus tuduh dan memfitnah saya,” katanya dalam penyataan saksi.

“Saya kata dia sendiri tahu semua perkara itu tidak benar kerana majoriti fakta dalam kenyataan fitnah yang dia cakap itu adalah semasa dia sendiri bersama-sama saya dalam kerajaan. Kalau dia kata saya salah, bermakna dia yang berada dalam kabinet menteri pada masa itu pun juga salah.
“Anwar tidak pernah cakap pasal perkara ini atau dedahkan semasa dia bersama-sama dalam barisan kabinet saya. Isu nepotisme, kronisme dan saya salah guna kuasa semua timbul selepas dia dipecat kerana perangai dan kelakuan dia sendiri.
“Semasa 2018 dia minta saya bantu dia untuk menang pilihan raya, dia mahu bertanding di Port Dickson. Semasa itu tidak pula dia katakan fitnah-fitnah seperti dalam saman ini kepada saya. Masa itu saya malaikat. Masa itu saya baik.
“Apa yang dicakap oleh Anwar ini kesemuanya untuk kepentingan diri dia sahaja,” katanya dalam penyataan yang dibacakan di mahkamah hari ini.

Mahathir turut mendakwa Anwar menipu apabila menuduh bekas ahli parlimen Langkawi itu menggelapkan kekayaan, tanpa sebarang bukti kukuh.
Katanya Anwar tidak pernah membuat dakwaan seperti itu sebelum ini kerana ketika itu dia masih berkepentingan terhadap Mahathir.
“Kenyataan tersebut saya katakan adalah sebuah fitnah kerana ianya adalah tidak benar, merupakan suatu serangan kepada diri saya secara peribadi dan menjatuhkan reputasi saya sebagai seorang mantan perdana menteri dan seorang rakyat Malaysia yang taat pada undang-undang. Kenyataan tersebut juga telah dilaporkan dan disebarluaskan oleh media dan orang awam.
“Anwar kata saya bolot kekayaan tetapi tiada bukti ditunjukkan. Anwar hanya menipu.”

Pada usia lanjutnya, Mahathir berkata perkara paling penting baginya kini ialah menjaga nama baiknya, terutama apabila beliau tidak melakukan seperti yang dituduh Anwar.
“Saya ambil tindakan ini kerana kerosakan yang saya alami secara peribadi dan tidak lagi boleh diperbaiki oleh Anwar sendiri. Saya percaya segala kerosakan ini hanya akan dapat diperbetulkan dan hak saya hanya akan dapat dipenuhi dengan saman ini.
“Segala mesej-mesej yang disampaikan melalui Kenyataan Fitnah Anwar tersebut telah sampai kepada orang awam dan tidak dapat dihilangkan daripada ingatan mereka akan fitnah tersebut. Terutamanya apabila kenyataan itu dilakukan semasa dia pegang jawatan Perdana Menteri. Orang awam mudah dengar dan percaya akan setiap kata-kata Perdana Menteri.
“Berapa ramai orang yang dia telah berjaya hasut untuk benci dan hina saya melalui kata-kata dia. Setiap kali dia buka mulut dia berbohong kata saya ini curi wang dan kayakan anak saya.
“Saya sudah beri peluang untuk dia mohon maaf kepada saya melalui surat tuntutan yang saya hantarkan. Tapi dia ego dan berkeras untuk cabar saya saman dia. Oleh itu saya bertindak untuk arahkan peguam saya untuk failkan tindakan ini.”
Bekas perdana menteri dua kali itu juga berkata dia tidak menyalahkan rakyat Malaysia yang mempercayai kata-kata Anwar kerana itulah kekuatan dan pengaruh yang dimiliki seorang perdana menteri.
Ucapan yang dirujuk Mahathir itu adalah ucapan Anwar semasa kongres khas nasional PKR di Stadium Melawati, Shah Alam pada 18 Mac tahun yang sama, ketika beliau menyebut mengenai “seseorang yang berkuasa selama 22 tahun dan tambahan 22 bulan”.
Tanpa menyebut nama, Anwar dalam ucapannya mendakwa individu berkenaan telah menggunakan kedudukan untuk mengumpul kekayaan bagi diri dan keluarganya.
Prosiding hari ini di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Donald Joseph Franklin terpaksa ditangguhkan selepas Mahathir memaklumkan beliau tidak sihat untuk meneruskan sesi soal balas. Mahkamah akan menyambung perbicaraan pada 23 Oktober ini.
Mahathir memfailkan samannsivil itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 3 Mei tahun sama, susulan ucapan Anwar, dengan mendakwa kenyataan tersebut tidak benar, tidak berasas dan bertujuan memburukkan imej dirinya di mata umum.
Dalam penyataan saksinya, Mahathir menjelaskan kenyataan tersebut jelas merujuk kepada dirinya kerana beliau satu-satunya individu di negara ini yang pernah menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali — selama 22 tahun dan tambahan 22 bulan.
Sementara dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa tuduhan tersebut telah “mencemarkan imej plaintif sebagai seorang negarawan yang pernah menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali, serta berreputasi sebagai ahli politik dan pemimpin yang dihormati di Malaysia dan di seluruh dunia.”
Mahathir berkata, saman fitnah ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada mana-mana pemimpin agar tidak sewenang-wenangnya memfitnah orang lain.
Beliau menuntut ganti rugi am sebanyak RM50 juta dan ganti rugi teladan sebanyak RM100 juta, selain perintah mahkamah supaya Anwar mengeluarkan permohonan maaf bertulis dan penarikan balik kenyataan fitnah berkenaan dengan segera.
Plaintif juga memohon kadar faedah lima peratus setahun ke atas jumlah ganti rugi yang akan diberikan, dikira dari tarikh saman difailkan sehingga bayaran penuh dibuat, serta kos dan apa-apa relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
