Kerajaan akan menawarkan diskaun sehingga 70 peratus bagi saman trafik sehingga hujung tahun ini sebelum melaksanakan peraturan baru yang lebih seragam mulai awal 2026, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media di Parlimen hari ini.
Menurut kedua-dua menteri itu, diskaun berkenaan akan diberikan antara 1 November hingga 30 Disember tahun ini, sebagai galakan kepada rakyat Malaysia untuk melunaskan saman masing-masing sebelum pelaksanaan dasar baru dengan tagline “lebih cepat bayar, lebih rendah dibayar” yang akan bermula pada 1 Januari 2026.
Saifuddin berkata antara 2022 hingga 2025, polis Malaysia berjaya mengutip sejumlah RM640 juta hasil saman trafik. Namun, katanya berdasarkan pemerhatian kabinet, orang ramai cenderung untuk menunggu hingga saat akhir atau hanya membayar apabila ada tawaran diskaun.
“Walau bagaimanapun, kadar insentif ini tidak terpakai bagi kategori kesalahan yang tidak boleh dikompaun (Non-Compoundable, NC) seperti tiada insurans, Lesen Kenderaan Motor (LKM), dan mempamerkan LKM palsu.

“Dalam tempoh peralihan ini, orang ramai boleh menjelaskan saman JPJ dan PDRM yang boleh dikompaun sedia ada pada kadar pengurangan antara 50% hingga 70% bermula 1 November 2025 sehingga 30 Disember 2025.
“Selepas tempoh ini, prinsip “The Less You Delay, The Less You Pay” akan dipatuhi sepenuhnya dan tiada pengurangan akan ditawarkan untuk saman-saman yang tidak dibayar dalam tempoh 60 hari,” kata menteri berkenaan.
Selain itu, kedua-dua menteri tersebut turut menjelaskan bahawa peraturan baru yang akan diperkenalkan pada tahun 2026 akan diseragamkan dan diperkemaskan melalui satu sistem tunggal, bagi mengelakkan ketidakselarasan dalam prosedur sedia ada yang membolehkan pemandu disaman oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) secara berasingan.
Loke berkata kabinet pada 17 Oktober lalu memutuskan untuk menyeragamkan kaedah pengeluaran kompaun trafik.

“Kita mahu pastikan pendekatan penguatkuasaan lebih adil dan konsisten kerana selama ini, ada kekeliruan dalam kadar dan cara pelaksanaan JPJ dan PDRM. Dengan pelarasan ini, kadar kompaun akan diseragamkan.
“Ia supaya tidak timbul lagi persepsi bahawa penguatkuasaan undang-undang jalan raya tidak seragam.
“Prinsip baharu akan diguna pakai ialah The Less You Delay, The Less You Pay, iaitu lebih awal seseorang menjelaskan saman, lebih rendah kadar kompaunnya," katanya
Loke turut menjelaskan pemberian diskaun yang selama ini hanya ditawarkan pada tempoh tertentu dianggap tidak adil kepada mereka yang memilih untuk membayar saman tepat pada masanya.
Katanya lagi, bermula 1 Januari 2026, pesalah trafik yang menjelaskan saman antara 1 hingga 15 hari akan menerima pengurangan kompaun sebanyak 50 peratus manakala mereka yang membayar antara 16 hingga 30 hari akan menerima pengurangan sebanyak 33 peratus.
Bagi pembayaran antara 31 hingga 61 hari, pesalah trafik perlu menjelaskan kompaun maksimum RM300, dan selepas hari ke-61, mereka berisiko untuk disenarai hitam.
Kedua-dua menteri itu turut menggesa orang ramai supaya menyelesaikan saman tertunggak sebelum 30 Disember bagi menikmati tawaran diskaun tersebut, selain memupuk budaya pemanduan yang lebih bertanggungjawab.
Orang ramai juga digalakkan menyemak status saman trafik dan membuat pembayaran melalui aplikasi MySikap, MyJPJ, dan MyBayar PDRM, atau secara bersemuka di kaunter dan kiosk agensi berkenaan.
