MCA mencadangkan supaya pesara tentera ditugaskan menjaga keselamatan sekolah yang kini berdepan dengan pelbagai insiden jenayah kekerasan termasuk kes bunuh.
Naib Presiden MCA, Wee Jeck Seng berkata, kumpulan itu boleh membantu tugas kehadiran polis bagi memantau situasi di sesebuah sekolah.
"Langkah kerajaan memperkukuh rondaan polis di sekolah perlu dilihat secara positif, namun kehadiran Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) daripada PDRM ini mungkin sukar disepadukan dalam ekosistem sekolah.
"Memandangkan mereka mempunyai tugas hakiki masing-masing, yang memerlukan perhatian dan tenaga sepenuhnya, menyebabkan rondaan mereka sering kali tidak tetap, dan komunikasi dengan pihak sekolah tidak konsisten.
"Sehubungan itu, saya mencadangkan agar melibatkan bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menerapkan nilai disiplin, patriotisme dan motivasi pelajar, serta memantau aktiviti, trend sosial dan perubahan tingkah laku pelajar secara lebih berkesan.
"Mereka juga boleh diberi peluang untuk mengadakan ceramah atau sesi motivasi sekurang-kurangnya sekali seminggu, mengikut keperluan dan jadual sekolah," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada 17 Okt lalu, Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata Putrajaya sedang menimbangkan untuk menempatkan anggota polis di sekolah-sekolah seluruh negara susulan peningkatan insiden keganasan di institusi pendidikan.
Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat kabinet, Fahmi berkata perkara itu dibincangkan dalam konteks peranan pasukan polis yang “sentiasa hadir” di lapangan.
Langkah itu, katanya lagi, dapat memberi isyarat bahawa sekolah adalah tempat yang selamat.
Sementara itu, Wee berkata, sebagai permulaan, projek rintis boleh diadakan di sekolah berisiko tinggi untuk menentukan kadar rondaan, kuota kaunselor, dan bentuk intervensi sesuai.
"Hasilnya perlu diterbitkan secara telus, dan guru-guru perlu dilatih mengenal pasti tekanan emosi pelajar lebih awal.
"Namun, semua cadangan ini tidak akan bermakna tanpa pelaksanaan yang tegas dan menyeluruh. Rakyat tidak mahu mendengar alasan, tetapi mahu melihat tindakan nyata.
“Sekolah harus kembali menjadi zon selamat, tempat belajar, membina sahsiah, kepimpinan dan keyakinan anak bangsa," katanya lagi.
Tambahnya, keselamatan sekolah perlu digabungkan dengan pendekatan kaunseling dan pencegahan.
"Isu keselamatan bukan sekadar aspek fizikal, tetapi juga kesejahteraan emosi, pembanterasan buli, gangsterisme, penyalahgunaan dadah, serta ancaman siber".
