Bekas pemandu dan pembantu kepada Ebit Erawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew memberitahu Mahkamah Majistret Tenom, dia hanya memegang telefon bimbit peribadi milik personaliti itu ketika dia membuat siaran langsung di Facebook dan TikTok.
Muhammad Azizul Fauzi Zakaria, 26, yang merupakan saksi ke-17 berkata siaran langsung berkenaan dibuat ketika sesi ceramah dan program misi bantuan yang dilakukan pendakwah terbabit.
Menurutnya, siaran langsung bagi program ceramah biasanya bermula pada jam 10 pagi sehingga tengah hari, manakala misi memberi bantuan kepada gelandangan pula selepas waktu Isyak hingga 11 atau 12 tengah malam.
Saksi terbabit berkata selepas waktu dinyatakan itu, dia tidak pernah menggunakan telefon bimbit berkenaan, dan sepanjang pengetahuannya kakitangan lain juga tidak menggunakan telefon tersebut.
“Saya tidak pernah menggunakan telefon beliau (Ebit Lew),” katanya ketika ditanya timbalan pendakwa raya Muhammad Hidayat Wahab dalam pemeriksaan utama berhubung penggunaan telefon tertuduh selepas 12 tengah malam hingga 7 pagi.
Ditanya sama ada dia pernah membuat kandungan berunsur lucah atau melayari laman web lucah menggunakan telefon bimbit milik Ebit Lew itu, Azizul Fauzi menjawab: Tidak pernah.
Dalam pemeriksaan semula oleh peguam Kamarudin Mohmad Chinki yang mewakili Ebit Lew, Azizul Fauzi bersetuju bahawa telefon bimbit berkenaan mempunyai kata laluan, namun dia tidak mengingatinya.
“Saya tidak hafal, setiap kali nak buka (telefon) saya akan tanya kata laluan tersebut.
"Kalau Uwais (seorang lagi staf) saya tidak pasti,” katanya dan menambah akses terhadap telefon itu setakat pegang sahaja dan tidak boleh melihat kandungan di dalamnya.
Selain Muhammad Hidayat, pihak pendakwaan turut diwakili timbalan pendakwa raya Analia Kamaruddin dan Nor Azizah Mohamad, manakala Ebit Lew diwakili peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut dan Prabjit Singh Gill.
Ebit Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan, antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah melalui WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.
Pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
- Bernama
