Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
TMJ pertahan 7 pemain ‘warisan’, tegaskan dokumen mereka sah

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim mempertahankan tujuh “pemain warisan” yang dikenakan tindakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) bulan lalu, menegaskan bahawa mereka adalah rakyat Malaysia dan dokumen mereka sah serta dikeluarkan oleh kerajaan.

Dalam sidang media hari ini, Tunku Ismail berkata aginda akan mempertahankan para pemain tersebut kerana “mereka rakyat Malaysia dan berhak untuk mewakili Malaysia.”

“Terdapat pertikaian berkenaan dokumen kerana kita ada semua dokumen, dan Fifa ada dokumen mereka.

“Kalau kerajaan sudah cakap dokumen itu sahih, saya tak rasa saya, sebagai rakyat Malaysia, nak persoalkan integriti atau kedaulatan negara saya.

“Kalau anda nak kata mereka bukan rakyat Malaysia, maka apa yang buat anda fikir yang kita ini semua sah (sebagai) rakyat Malaysia, jika kita boleh persoalkan mereka?” katanya.

Menurut Tunku Ismail, tujuh pemain berkenaan merupakan antara 27 hingga 28 pemain yang disyorkan kepadanya dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), dan diluluskan oleh kerajaan untuk bermain bagi pasukan bola sepak kebangsaan.

Malah, katanya lagi, Fifa sendiri telah meluluskan pemain-pemain tersebut untuk beraksi dalam perlawanan pertama dan kedua, sebelum menerima aduan mengenai kesahihan kewarganegaraan mereka.

“Terdapat aduan (terhadap Malaysia selepas perlawanan menentang Vietnam) yang saya tidak tahu dan saya tanya AFC, (dan) AFC sahkan kepada saya aduan bukan daripada Persatuan Bolasepak Vietnam, tetapi seseorang dari Vietnam.

“Jadi bagi saya ia adalah agak aneh, sejujurnya, untuk Fifa melayan sesiapa sahaja sebab saya yakin ada banyak aduan di luar sana,” katanya lagi.

Tindakan Fifa

Pada 28 September lalu, Fifa mengenakan tindakan terhadap FAM dan tujuh pemain “warisan” kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib Fifa berkaitan pemalsuan dokumen, apabila FAM didakwa mengemukakan dokumen palsu bagi membolehkan para pemain itu beraksi dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.

Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui, dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

FAM kemudian dikenakan denda sebanyak 350,000 franc Swiss (RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda 2,000 franc Swiss serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa dari tarikh keputusan dimaklumkan.

Pada 7 Oktober lalu, Fifa menyatakan pihaknya telah memperoleh dokumen kelahiran asal datuk dan nenek pemain-pemain berkenaan yang dikatakan “lahir di Malaysia”, dan dokumen tersebut bercanggah dengan salinan yang didakwa telah diubah suai dan dihantar oleh pihak Malaysia.

Fifa turut mempertikaikan pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terhadap dakwaan warisan Malaysia oleh pemain-pemain tersebut.

Fifa mungkin tak tukar keputusan

Mengulas mengenai tindakan dan denda yang dikenakan Fifa, Tunku Ismail berkata badan bola sepak antarabangsa itu mungkin tidak akan mengubah keputusannya, namun mungkin mengurangkan jumlah denda.

“Saya rasa Fifa takkan tukar keputusannya. Cuma kalau dia tukar pun, mungkin ringakan sedikit hukuman tersebut. Saya fikir mereka akan (kekal) denda FAM, mungkin pasukan kebangsaan juga atau potong mata dan gantung pemain tersebut. Berapa lama mereka akan gantung, kita tidak tahu.

“Namun walau apa pun keputusan itu, pihak peguam pasukan kebangsaan…akan ambil tanggungjawab sepenuhnya, cari jalan penyelesaian.

“Namun untuk katakan para pemain palsukan dokumen, saya fikir itu tidak benar langsung kerana mereka tidak tahu apa-apa pun. Jika mereka tidak terlibat, takkanlah mereka nak kena gantung setahun tanpa sebarang kegiatan bola sepak? Habislah periuk nasi mereka.

“Namun peraturan tetap peraturan dan kita perlu lawan. Kalau kita rasa kita benar dan yakin dengan apa yang kita ada, dokumen-dokumen sahih, kita tak patut duduk diam. Kita patut lawan dari segi undang-undang sebaik mana yang patut.

“Kita boleh lihat dengan mata sendiri, semasa mereka (tujuh pemain) mewakili negara, komitmen dan semangat mereka…Jika mereka adalah askar kita, kita tak patut abaikan mereka, kita perlu bersama mereka,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS