Dua pemimpin kanan PN digugurkan daripada jawatan pengerusi gabungan itu di peringkat negeri melalui penyusunan semula struktur yang dilakukan parti terbabit.
Setiausaha Agung PN, Azmin Ali, malam tadi memberitahu, Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah tidak lagi mengetuai gabungan berkenaan di Pahang.
Sebaliknya PN Pahang diketuai Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, yang juga ketua pembangkang di DUN negeri itu.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, turut diketepikan dan tempatnya sebagai Pengerusi PN Perlis digantikan oleh Shahidan Kassim.
Shahidan merupakan salah seorang pemimpin kanan Umno dan pernah menjadi menteri besar sebelum dia menyertai PAS. Shahidan kini merupakan Ahli Parlimen Arau dan salah seorang anggota Jawtaankuasa PAS Pusat.
Menurut Azmin Majlis Tertinggi PN bermesyuarat malam tadi bersetuju pelantikan tersebut berkuat kuasa pada hari ini.
Berikut ialah senarai pengerusi PN bagi setiap negeri:
• Johor: Sahruddin Jamal
• Kedah: Muhammad Sanusi Md. Nor
• Kelantan: Ahmad Yakob
• Melaka: Mas Ermieyati Samsudin
• Negeri Sembilan: Mohamed Hanifah Abu Baker
• Pahang: Tuan Ibrahim Tuan Man
• Perak: Ahmad Faizal Azumu
• Perlis: Shahidan Kassim
• Pulau Pinang: Dominic Lau
• Sabah: Ronald Kiandee
• Sarawak: Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
• Selangor: Mohamed Azmin Ali
• Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar
• Wilayah Persekutuan: Mohd Radzi Jidin
Penukaran ketua PN bagi Pahang itu dibuat hanya beberapa hari selepas Saifuddin menjadi pemimpin terbaru yang mendesak agar Muhyiddin Yassin berundur dari jawatannya sebagai Presiden Bersatu.
Sebelum ini, beberapa pemimpin Bersatu sudah dipecat kerana didakwa melanggar disiplin parti dan dikaitkan dengan gerakan untuk mengetepikan Muhyiddin.
Antara mereka ialah bekas ketua penerangan parti tersebut, Wan Saiful Wan Jan. Bekas ketua pemudanya Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, pula digantung keahliannya selama satu penggal.
Saifuddin pernah menjadi pemimpin kanan Umno sebelum menyertai PKR. Dia merupakan bekas Ketua Setiausaha PH sebelum menyertai Azmin dan beberapa ahli parlimen PKR meninggalkan parti berkenaan pada 2020 dalam peristiwa Langkah Sheraton.
Bagaimanapun ketika ini Saifuddin dilihat turut menentang Azmin dengan mendakwa ahli politik terbabit perlu digugurkan daripada jawatan Setiausaha Agung PN bagi “membersihkan parti daripada masalah moral” yang menjejaskan reputasi mereka.
