NOTA EDITOR: Laporan ini telah dikemas kini bagi memasukkan penjelasan daripada Kementerian Luar Jepun.
Kementerian Luar Jepun hari ini menjelaskan bahawa lawatan Perdana Menteri Sanae Takaichi ke tanah perkuburan Jepun Kuala Lumpur (JCKL) bukan bertujuan untuk memberi penghormatan khusus kepada bekas Tentera Imperial Jepun (IJA) yang mati dibunuh.
Sebaliknya, lawatan itu sebagai menghormati seluruh masyarakat Jepun yang pernah tinggal dan meninggal dunia di negara ini.
Takaichi, perdana menteri wanita pertama Jepun, sebelum ini menerima kritikan hebat di media sosial selepas memuat naik gambar lawatannya ke tanah perkuburan tersebut semalam.
“Tanah perkuburan Jepun di Kuala Lumpur ditubuhkan pada tahun 1899. Ramai rakyat Jepun telah menetap di Kuala Lumpur sebelum Perang Dunia Kedua, dan tanah perkuburan itu digunakan sebagai tempat pengebumian mereka.
“Lawatan Perdana Menteri Takaichi ke tanah perkuburan itu bukan bertujuan memperingati tentera Jepun,” kata kementerian itu dalam kenyataan ringkas kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, kementerian berkenaan tidak menjawab apabila diminta mengesahkan jika terdapat mayat tentera IJA yang disemadikan di tanah perkuburan tersebut.
JCKL adalah di bawah penyeliaan kedutaan Jepun di Malaysia. Menurut laman webnya, majlis peringatan musim bunga dan luruh diadakan setiap tahun pada bulan Mac dan September di dewan peringatan yang terletak di kawasan tanah perkuburan.
Pada April 2018, sebuah tugu peringatan turut didirikan “bagi memperingati semua warga Jepun yang meninggal dunia di Malaysia,” dan dibuka kepada semua rakyat Jepun dengan sokongan penuh Tokyo serta persetujuan 13 kelab Jepun di seluruh negara.

Takaichi berada di Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak Asean ke-47, dan turut melawat Tugu Negara, sebagai memperingati askar Malaysia yang gugur ketika mempertahankan kemerdekaan negara, termasuk mereka yang menentang pendudukan Jepun serta Darurat Malaya antara 1948 hingga 1960.
“Hari ini saya melawat Tanah Perkuburan Jepun di Kuala Lumpur dan meletakkan jambangan bunga di tugu peringatan. Saya berasa amat terharu dapat memberi penghormatan kepada mereka yang terkorban di Malaysia.
“Selepas itu, rombongan kami melawat Tugu Negara yang memperingati askar dan orang awam yang terkorban dalam dua perang dunia serta perjuangan kemerdekaan Malaysia, sambil merenung sejarah negara ini,” tulis Takaichi di platform X.
Namun, pengguna media sosial pantas mempersoalkan ironi sejarah tersebut, mengingatkan bahawa ramai askar dan rakyat Malaysia dibunuh ketika menentang pencerobohan Jepun ke atas Tanah Melayu pada 1941.
Sebahagian pengguna turut memetik kekejaman yang dilakukan tentera IJA terhadap penduduk tempatan dan mempertikaikan jika Jepun pernah memohon maaf secara rasmi atas tindakan tersebut.

Menurut penyelidik tempatan Tang Ah Chai, tanah perkuburan itu sememangnya mempunyai batu nesan dan monumen memperingati tentera IJA yang terbunuh dalam peperangan.
Dalam hantaran Facebook pada 2019, Tang yang pernah melawat kawasan itu berkata tanah perkuburan tersebut mengandungi kubur pegawai dan tentera yang berperang dalam Perang Dunia Kedua, serta kubur warga Jepun.
Bekas wartawan kanan dan penulis Lei Zijian, yang sering menghasilkan karya dokumentari sejarah, turut mengesahkan perkara ini.
Dalam rencana yang diterbitkan di Oriental Daily pada Februari lalu, dia menyatakan bahawa terdapat tambahan sekitar 200 kubur di tanah perkuburan tersebut semasa perang, kebanyakannya milik anggota tentera Jepun yang terbunuh dalam pertempuran.

Ketika pencerobohan dan pendudukan Jepun di Tanah Melayu dari 1941 hingga 1945, tentera IJA melakukan kekejaman besar-besaran terhadap orang awam.
Rekod sejarah menunjukkan berlakunya hukuman mati tanpa perbicaraan, keganasan seksual, dan kerahan buruh paksaan, terutamanya terhadap komuniti yang disyaki membantu gerakan anti-Jepun.
Kaum Cina menjadi sasaran utama, susulan sokongan mereka terhadap China semasa Perang China-Jepun serta ramai di antara mereka yang menyertai tentera anti-Jepun rakyat Malaya.
Tentera Jepun menganggap mereka sebagai musuh, dan melakukan penganiayaan secara meluas termasuk pembunuhan beramai-ramai di seluruh Tanah Melayu.
