Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini beberapa kali mengingatkan peguam yang mewakili Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar menumpukan perkara pokok dalam perbicaraan kes fitnah RM150 juta, ketika sesi pemeriksaan balas terhadap Dr Mahathir Mohamad.
Pesuruhjaya kehakiman Donald Joseph Franklin memberi peringatan kepada peguam, Razlan Hadri Zulkifli dan Ranjit Singh selepas beberapa bantahan dikemukakan oleh peguam Mahathir, Nizam Bashir dan Rafique Rashid Ali.
Nizam menjelaskan bahawa kenyataan yang dipertikaikan adalah tuduhan bahawa Mahathir korup dan telah memperkayakan keluarganya.
“Tetapi soalan-soalan yang diajukan menyentuh dasar dan politik, yang sama sekali tidak berkaitan dengan kenyataan yang dipertikaikan. Jika soalan itu relevan, saya tiada masalah,” kata Nizam.
Razlan dalam responsnya berkata yang “permusuhan daripada pihak peguam” tidak sepatutnya timbul.
Rafique kemudian segera menjawab yang pihaknya tiada sebarang permusuhan, dan apa yang diperlukan pada masa ini ialah meneruskan perbicaraan secepat mungkin.
Dalam menjawab beberapa bantahan daripada peguam Mahathir, peguam Anwar berkata anak guamnya berhak mendapat pembelaan terbaik, dan mereka mengemukakan soalan kepada Mahathir berdasarkan pembelaan yang telah dikemukakan dalam kes itu.
Ranjit turut beberapa kali menegaskan pembelaan yang dikemukakan oleh Anwar telah diterima mahkamah, dan justeru mereka tidak boleh dianggap meminggirkan hujahan yang telah dikemukakan sebelum ini.
Bantahan berulang kali
Nizam dan Rafique berulang kali membantah pemeriksaan yang dibuat peguam Anwar terhadap pernyataan tuntutan Mahathir, kenyataan saksi, serta kenyataan yang dibuat dalam autobiografinya.
Ranjit khususnya cuba mengingatkan semula Mahathir mengenai skandal kehakiman 1988, termasuk pemecatan bekas ketua hakim negara (ketika itu Presiden Mahkamah Agung) Salleh Abas.
Hakim kemudian berkata bahawa tiada keperluan untuk menetapkan setiap perkataan, dan pemeriksaan balas perlu tertumpu pada perkara yang relevan dengan pembelaan.
“Kita bukan di sini untuk membuktikan dakwaan tentang siapa yang mengatur apa pun (yang anda dakwa). Jika begitu, kita perlukan lima hari lagi,” katanya.
Mahathir sebelum ini meluahkan rasa kecewa terhadap soalan yang dikemukakan oleh Razlan dan Ranjit semasa sesi pemeriksaan balas sebelum ini.
Ketika itu, Mahathir berkata dia mungkin meninggal dunia sebelum kes itu selesai, merujuk kepada beberapa soalan yang tidak relevan, termasuk mengenai reputasinya dan kekalahan Pejuang dala PRU15.
Mahathir memfailkan saman terhadap Anwar berhubung dakwaan bahawa bekas perdana menteri itu telah mengumpul kekayaan untuk kepentingan peribadi semasa berkuasa — dakwaan yang disifatkannya sebagai tidak berasas dan bertujuan mencemarkan imejnya.
Dia menuntut ganti rugi am RM50 juta dan ganti rugi teladan RM100 juta, selain permohonan maaf bertulis, penarikan balik kenyataan tersebut dengan segera, faedah tahunan lima peratus daripada tarikh pemfailan hingga bayaran penuh dibuat, serta apa-apa relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
