Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan akan kembali ke pangkuan Umno sebelum pilihan raya negeri (PRN) Sabah, pada 29 November ini.
Memetik sumber, Berita Harian melaporkan bekas ahli Parlimen Rembau itu sudah mendapat 'restu' pimpinan tertinggi Umno khususnya presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi untuk berbuat demikian.
Sumber berkata, isyarat restu berkenaan disampaikan oleh Ahmad Zahid kepada Khairy atau KJ yang kini menjadi penyampai radio di Hot FM ketika timbalan perdana menteri itu menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan Pengerusi Perhubungan Umno Perlis, Rozabil Abdul Rahman, Ahad lalu.

"Pada pertemuan itu Zahid sendiri memaklumkan supaya Khairy menghantar borang keahliannya untuk kembali menjadi ahli Umno.
"Khairy dijangka membantu kempen Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam PRN Sabah nanti.
“Ini memandangkan sebahagian calon yang bakal ditampilkan parti nanti adalah seusia dan rakan-rakan politiknya," kata sumber itu.
Akhbar itu juga memetik sumber berkenaan sebagai berkata, Khairy turut dipertimbangkan untuk dinamakan sebagai calon BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi mewakili kawasan Parlimen Kepala Batas.
"Parlimen itu adalah kawasan tradisi bapa mentuanya, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi," katanya.
Berita Harian turut memetik sumber Umno yang memaklumkan, setakat hari ini, parti itu belum menerima sebarang surat permohonan daripada Khairy.
Khairy dipecat dari Umno pada Januari 2023 susulan kelantangannya mengkritik kepimpinan tertinggi parti sepanjang kempen PRU ke-15. Namun sejak itu, dia berulang kali menegaskan pendirian untuk tidak menyertai mana-mana parti oleh kerana kesetiaannya masih bersama Umno.

Selain Khairy yang dipecat, beberapa pemimpin lain turut digantung selama enam tahun. Mereka termasuk Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein dan timbalan ketua Pemuda Umno ketika itu, Shahril Hamdan Suffian - sekutu rapat Khairy.
Pada pilihan raya umum ke-15, Khairy telah dicalonkan untuk bertanding di Sungai Buloh, menentang bekas bendahari agung MIC, R Ramanan, yang baru sahaja menyertai PH.
Biarpun tewas, dia mampu meraih undi memberangsangkan, selain memecah dominasi undi besar diperoleh PH di sana dengan undi majoriti diperoleh lawannya ketika itu merosot mendadak kepada hanya 2,693 undi.
Ia berbeza dengan pencapaian PRU terdahulu termasuk pada 2018, apabila kerusi Parlimen Sungai Buloh yang disandang oleh R Sivarasa daripada PKR memperoleh majoriti 26,634 undi.
