Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ibu Zayn Rayyan disabit bersalah abai anak, dihukum penjara 5 tahun

Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini memutuskan ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf bersalah atas pertuduhan mengabaikan anak dan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun.

Hakim Syahliza Warnoh menjatuhkan hukuman itu setelah mendengar hujah pendakwaan dan juga pembelaan, dan mengarahkan Ismanira menjalani hukuman bermula hari ini.

“Alasan-alasan yang dikemukakan pembelaan (untuk menangguhkan hukuman) tidak terjumlah kepada keadaan khas. Sabitan tertuduh telah disahkan oleh mahkamah ini dan tiada sebab yang meyakinkan saya untuk menangguhkan hukuman penjara kepada tertuduh.

“Permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara oleh itu ditolak,” katanya.

Kata Syahliza, persoalan berkaitan penjagaan adik Allahyarham Zayn adalah bersifat peribadi kepada terutudh dan bukannya isu kepentingan awam.

Dia turut memerintahkan Ismanira menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin, berserta cagaran sebanyak RM3,000, serta menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam.

Ismanira diwakili oleh peguam Haresh Mahadevan, manakala Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin bertindak sebagai pendakwa raya.

Tiada keraguan munasabah

Syahliza berkata pembelaan wanita berusia 30 tahun itu gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah mendapati Ismanira telah melakukan pengabaian apabila membiarkan Zayn berjalan di belakangnya tanpa pengawasan, yang akhirnya membawa kepada kehilangannya.

Ismanira didakwa pada 13 Jun tahun lalu atas pertuduhan mengabaikan anak di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Zayn antara 5 hingga 6 Disember 2023 sehingga boleh menyebabkan kecederaan fizikal kepadanya.

Dia pada awalnya didakwa bersama suaminya, Zaim Ikhwan Zahari. Namun, Zaim dibebaskan pada 21 Julai lalu selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Zayn, yang berusia enam tahun dan merupakan kanak-kanak autisme, dilaporkan hilang pada 5 Disember dan ditemui mati berhampiran anak sungai berdekatan rumahnya sehari kemudian, dengan kesan cedera pada leher dan badannya. 

Laporan bedah siasat mendapati Zayn telah dibunuh.

‘Traumatik bagi Ismanira, suami’

Laungan perlahan “Allahuakbar” kedengaran dari galeri selepas mahkamah menyampaikan keputusan tersebut.

“Apa yang berlaku pada Disember 2023 adalah amat traumatik baginya (tertuduh) dan juga suami, memandangkan pelaku sebenar yang membunuh arwah Zayn dengan kejam masih belum dibawa ke muka pengadilan,” kata Haresh.

“Pada masa sama, anak keduanya telah dirampas oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan juga seorang kanak-kanak istimewa, mempunyai autisme seperti arwah Zayn.

“Kami dengan hormat mengemukakan bahawa jika hukuman penjara dijatuhkan, kesejahteraan anak lelaki ini akan terjejas dengan teruk,” katanya, sambil memohon agar Ismanira dikenakan denda dan bukan hukuman penjara.

Kata Haresh lagi, kasih sayang dan penjagaan Ismanira amat penting bagi perkembangan anak bongsunya, sambil menambah bahawa dinamik hubungan antara seorang anak dengan bapa selalunya sangat berbeza.

Dia juga menggesa mahkamah agar mempertimbangkan bahawa pihak penyiasat telah mengakui beberapa prosedur jenayah tidak dipatuhi semasa siasatan dijalankan.

“Satu faktor yang sangat penting untuk diambil kira mahkamah ialah tiada seorang pun saksi yang mengatakan tertuduh tidak menyayangi Zayn; semua saksi menyatakan dia seorang yang penyayang,” kata Haresh.

Suasana suram menyelubungi mahkamah apabila Haresh memaklumkan kepada mahkamah bahawa Ismanira merupakan pesalah kali pertama dan hukuman penjara akan memisahkan tertuduh daripada anak keduanya yang juga mengalami autisme.

“Kami menyatakan bahawa sekiranya hukuman penjara dijatuhkan, kesejahteraan anak lelaki ini (anak kedua) akan teruk terjejas,” katanya.

Ismanira, yang duduk di kandang tertuduh serta suaminya, Zaim Ikhwan Zahari yang berada di galeri, dilihat menangis teresak-esak ketika Haresh meneruskan hujahnya bagi meringankan hukuman.

‘Pengajaran kepada masyarakat’

Bagaimanapun, Sabrina membalas bahawa hukuman penjara adalah wajar kerana ia boleh menjadi pengajaran kepada masyarakat, khususnya dalam mengutamakan penjagaan anak-anak istimewa.

Katanya, hukuman di bawah Seksyen 31(1)(a) bertujuan menerapkan unsur pemulihan dan keinsafan kepada pesalah, selaras dengan hasrat Parlimen.

“Si mati merupakan anak kandungnya sendiri, yang merupakan seorang kanak-kanak istimewa yang sangat memerlukan pemerhatian, penjagaan dan pengawasan daripada tertuduh.

“Ini sepatutnya diketahui oleh tertuduh. Fitrah seorang ibu adalah untuk menjaga dan menyediakan segala keperluan untuk anak, apatah lagi kanak-kanak istimewa seperti Zayn.

“Tetapi apa yang berlaku di sini, tertuduh telah menyebabkan kecederaan dan kehilangan nyawa Zayn. Hukuman berat wajar dikenakan terhadap tertuduh,” katanya.

Kemarahan suami

Suasana menjadi tegang selepas mahkamah menolak permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman oleh pihak pembelaan, dengan Zaim menempelak mereka yang hadir di mahkamah.

Zaim kedengaran menjerit “laknat, semua ni akan laknat!” ketika polis mengiringi Ismanira keluar dari mahkamah.

Pihak media diminta kekal berada di dalam mahkamah sementara keluarga Zaim cuba menenangkannya ketika mereka beredar keluar.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS