Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zafrul: M'sia berdepan tarif 100 peratus jika tolak perjanjian timbal balas AS
Diterbitkan:  Nov 1, 2025 7:17 PM
Dikemaskini: 12:49 PM

Malaysia boleh berdepan tarif ekport ke Amerika Syarikat sehingga 100 peratus jika menolak Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-AS yang baru dimeterai, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz hari ini.

Dalam kenyataan bagi menjawab kritikan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin terhadap perjanjian itu, Tengku Zafrul berkata keenganan menerima perjanjian tersebut bukan sahaja mengancam daya saing eksport Malaysia, malah menjejaskan keyakinan pelabur terhadap negara.

"Jika Malaysia menolak perjanjian ini, kerajaan AS dijangka menaikkan semula kadar tarif kepada kadar asal 24 peratus atau kadar yang jauh lebih tinggi (30 peratus, 40 peratus, 50 peratus, malah 100 peratus).

"Ini secara langsung akan melumpuhkan daya saing eksport Malaysia ke pasaran AS,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook.

Tengku Zafrul menegaskan bahawa perjanjian itu juga melibatkan kelangsungan punca rezeki jutaan rakyat Malaysia merentasi sektor utama (Elektrik & Elektronik, Aeroangkasa, Getah, Koko, Farmaseutikal).

"Keengganan bertindak pantas akan menyebabkan jutaan rakyat Malaysia terancam hilang punca pendapatan," katanya.

Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin semalam berkata kenyataan bahawa perjanjian itu sebagai pencapaian diplomasi “dua hala yang saling menguntungkan merupakan kesimpulan yang sangat meleset, amat tidak tepat, dan terlalu mengelirukan.

"Hakikatnya, perjanjian ini mengandungi pelbagai peruntukan jerangkap samar atau bom jangka yang memudaratkan Malaysia di masa akan datang. Ia juga sarat dengan pelbagai agenda penjajahan ekonomi yang mengancam kemerdekaan serta kedaulatan Malaysia,” kata Presiden Bersatu itu.

Menjelaskan beberapa peruntukan dalam perjanjian yang menjadi isu utama, Muhyiddin mendakwa perjanjian tersebut dijangka menjadikan Malaysia sebuah negara proksi atau negara satelit kepada AS di Asia Tenggara.

Sebuah badan pemikir tempatan, Institut Demokrasi Dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), turut mendakwa perjanjian itu berat sebelah dan berpotensi menjejaskan dasar perdagangan serta hubungan serantau Malaysia.

Penjelasan mengenai enam artikel

Dalam kenyataan panjang lebar, Tengku Zafrul turut menjawab isu berkaitan beberapa peruntukan dalam perjanjian yang dibangkitkan Muhyiddin.

Peruntukan tersebut ialah:

Artikel 3.4 (Pencegahan Pemindahan Teknologi Paksa)

Artikel 5.1 (Tindakan Sekatan Terhadap Negara Ketiga)

Artikel 5.2 (Kawalan Eksport Strategik)

Artikel 5.3 (Akses Data Kastam)

Artikel 6.1.3 (Komitmen Pelaburan dan Perolehan)

Artikel 6.2 (Nadir Bumi dan Sekatan Eksport)

Tegas Tengku Zafrul, Artikel 3.4 dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Malaysia-AS tidak menghalang Malaysia mengakses atau mengawal teknologi, tetapi bertujuan menghalang pemindahan teknologi secara paksa.

Katanya, peruntukan itu standard yang wujud dalam majoriti perjanjian perdagangan yang ditandatangani oleh Malaysia untuk memastikan syarikat tidak dipaksa menyerahkan hak harta intelek (IP) yang berharga, seperti rahsia perdagangan atau kod sumber.

Ia juga membenarkan kerajaan sebagai pengawal selia untuk mengakses kod sumber, algoritma, dan teknologi proprietari lain, bagi tujuan pengawalseliaan (regulatory) dan perundangan yang sah.

Mengulas Artikel 5.1, Zafrul menolak dakwaan bahawa Malaysia dipaksa mengikut sekatan Amerika Syarikat terhadap negara lain secara membuta tuli.

Katanya, peruntukan tersebut hanya terpakai kepada perkara melibatkan kepentingan ekonomi bersama dan mesti dilaksanakan mengikut undang-undang Malaysia serta dalam garis masa yang boleh diterima kedua-dua pihak.

"Sekiranya isu tersebut tidak menjejaskan kepentingan ekonomi Malaysia, kita tiada oblogasi untuk mengambil tindakan atau sekatan yang sama seperti AS," katanya.

Berhubung Artikel 5.2 pula, Zafrul menegaskan ia tidak menyebabkan Malaysia kehilangan kuasa penuh atau autonomi seperti didakwa Muhyiddin, sebaliknya hanya menyatakan komitmen untuk bekerjasama dalam mengawal selia perdagangan strategik, selagi ia mematuhi undang-undang domestik Malaysia.

Malaysia, katanya, sudah mempunyai rangka kerja undang-undang melalui Akta Perdagangan Strategik 2010 untuk melindungi pengeksport dan komuniti perniagaan domestik daripada risikok sekatan sekunder.

Artikel selebihnya

Walaupun Artikel 5.3 membenarkan AS memiliki akses kepada data kastam, Tengku Zafrul menjelaskan akses tersebut tidak diberikan secara automatik. Tiga perenggan di bawah artikel itu, katanya, menetapkan bahawa perkongsian data mesti melalui proses peraturan kastam dan berlandaskan undang-undang domestik negara.

Mengenai Artikel 6.1.3, Zafrul menegaskan komitmen pelaburan dan perolehan di bawah Artikel tersebut tidak akan menggunakan dana kerajaan dan adalah semata-mata keputusan komersial dan perancangan perniagaan syarikat.

"Kerajaan hanya mendapatkan maklum balas daripada Syarikat Multinasional (MNC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) mengenai perancangan perolehan sedia ada mereka dari AS, dan menyenaraikan komitmen tersebut.

"Tanpa ART sekali pun, perolehan ini akan tetap dilakukan kerana ia adalah perancangan komersial yang sedia ada," katanya.

Sebagai contoh, dia merujuk kepada pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG) pada Mac 2025, sebelum pengumuman tarif baru Trump.

Sementara itu, mengenai Artikel 6.2, Zafrul menegaskan Malaysia tegas dengan dasar melarang eksport bahan nadir bumi mentah (REE) bagi memastikan pembangunan industri hiliran tempatan.

Dasar ini, katanya, bertujuan memastikan nilai tambah, pekerjaan berkemahiran tinggi dan teknologi pemprosesan kekal di Malaysia.

"Kita tidak akan kembali menjadi negara yang sekadar menggali dan menjual bahan mentah dengan harga murah.

"Pembangunan sumber strategik negara akan berlaku mengikut undang-undang Malaysia, di bumi Malaysia, dengan kawalan penuh kedaulatan negara," katanya.

Dia menambah bahawa selepas REE diproses di dalam negara mengikut undang-undang dan standard Malaysia, barulah produk hiliran bernilai tinggi boleh dieksport sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan global.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS