Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Had Budi95 buat pemandu e-hailing dinaikkan kepada 800 liter
Diterbitkan:  Nov 4, 2025 10:51 AM
Dikemaskini: 6:56 AM

NOTA EDITOR: Laporan ini telah dikemas kini susulan hantaran di X oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.


Kerajaan bersetuju menaikkan had program Budi Madani RON95 (Budi95) kepada 800 liter ataupun 5,000 kilometer sebulan buat pemandu e-hailing di negara ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, pada masa yang sama, teksi lapangan terbang juga akan dimasukkan dalam senarai kenderaan yang layak menerima bahan api bersubsidi.

“Kita dengar suara rakyat. Hari ini, melalui peluasan Budi95, had kelayakan bagi pemandu e-hailing dinaikkan dan teksi lapangan terbang turut menerima manfaat.

“Inilah komitmen kita untuk memastikan subsidi disalur kepada mereka yang benar-benar berhak dan memerlukannya,” katanya dalam kenyataan di X.

Awal hari ini di Dewan Rakyat, Anwar berkata kerajaan sedang mengkaji untuk menaikkan had had Budi95 kepada pemandi e-hailing yang layak kepada sehingga 800 liter sebulan.

"Kita sekarang mengkaji, kalau betul, ada rekod, saya nak umum di sini kerajaan bersetuju meningkatkan had Budi95 kepada pemandi e-hailing yang layak kepada sehingga 800 liter sebulan, maknaya 5,000 kilometer tertakluk pada syarat perjalanan ditetapkan.

"Pada masa sama kerajaan turut bersetuju teksi lapangan terbang turut disenaraikan sebagai kenderaan yang layak terima RON95 bersubsidi," katanya ketika Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, pagi ini.

Pelaksanaan penuh Budi95 bermula pada 30 September membabitkan 16 juta pengguna berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif, dengan had 300 liter sebulan bagi setiap individu yang layak.

Kerajaan sebelum ini menaikkan had Budi95 daripada 300 liter kepada 600 liter sebulan untuk pemandu e-hailing aktif membabitkan 58,000 pemandu.

Bagaimanapun, terdapat aduan yang mengatakan jumlah itu tidak mencukupi.

Dalam pada itu, perdana menteri turut memaklumkan Dewan Rakyat bahawa penggunaan petrol Budi95 oleh orang ramai secara purata sekitar 981 liter sebulan atau 33 peratus daripada kelayakan.

Menurutnya, 13.1 juta rakyat telah menggunakan RM2.6 bilion RON95 bersubsidi dengan kadar subsidi kerajaan sebanyak RM800 juta.

"Adakah 300 liter sebulan cukup? Kalau kita lihat purata penggunaan bulan Oktober purata 98.1 liter sahaja, iaitu 33 peratus daripada kelayakan.

"Yang belanja lebih 300 liter sekitar tujuh peratus sahaja masuk orang berulang alik ke rantau," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS