Perbicaraan berhubung hujahan dalam kes 1MDB yang membabit penyelewengan RM2.3 bilion oleh Najib Razak di Mahkamah Tinggi di Putraya berakhir hari ini selepas kedua-dua pihak menamatkan hujah mereka.
Pihak pembelaan dan pendakwaan menyelesaikan hujahan lisan terakhir mereka di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, dengan keputusan dijadualkan pada 26 Dis untuk memutuskan sama ada bekas perdana menteri itu akan disabitkan kesalahan atau dibebaskan.
Pada penutupan prosiding, kedua-dua pihak memaklumkan mahkamah bahawa masih terdapat beberapa isu kecil yang perlu ditangani, yang akan dikemukakan secara bertulis seperti yang diarahkan oleh mahkamah.
Sebelum penangguhan, pihak-pihak tersebut turut mengucapkan selamat Hari Krismas kepada Hakim Sequerah, yang seterusnya merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat.
Perbicaraan yang pada mulanya dijangka berakhir Jumaat lalu telah dilanjutkan selepas peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah, meminta masa tambahan untuk menyelesaikan hujahannya.
Jumaat lalu, hakim memberikan lanjutan tempoh tersebut dan mengumumkan bahawa dia akan menyampaikan penghakiman pada 26 Disember ini.
Perbicaraan berprofil tinggi itu, yang melibatkan 50 saksi pendakwaan dan sembilan hari penghujahan lisan, menarik perhatian seluruh dunia.
Najib, 72, pada mulanya didakwa pada 20 September 2018. Perbicaraan bermula hampir setahun kemudian, pada 28 Ogos 2019, dengan pihak pendakwaan menutup kesnya pada 30 Mei 2024.
Seterusnya, pada 30 Oktober 2024, mahkamah memutuskan bahawa Najib mempunyai kes untuk dijawab dan memerintahkannya untuk membela diri atas semua pertuduhan. Kes pembelaan diteruskan dari 2 Disember 2024 hingga 6 Mei 2025, merangkumi 58 hari dan mendengar keterangan daripada 26 saksi.
Antara saksi pembelaan utama adalah bekas pengerusi 1MDB, Che Lodin Wok Kamarudin, puteri Sultan Mizan Zainal Abidin dari Terengganu, Tengku Rahimah Sultan Mahmud, dan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Jamil Khir Baharom.
Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB di cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.
Dia didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sama ada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib dituduh melakukan kesalahan tersebut di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.
Pertuduhan ini didakwa di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan pada mulanya diketuai bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram sehingga kematiannya pada Januari 2023.
Selepas itu, ia dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib dan Kamal Baharin Omar, dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Deepa Nair Thevarahan, Nadia Mohd Izhar, Najwa Bistamam, Hazmida Harris Lee dan Siti Aina Rodhiah Shikh Md Saud.
Peguam lain yang mewakili Najib ialah Tania Scivetti, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, Wan Mohammad Arfan Wan Othman, Hartrisha Kaur Sandhu dan Naresh Mayachandran.
Najib kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang atas kesalahan penyelewengan RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.
