Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN l Propaganda digital: Kuasa baru pengaruhi manusia

Dalam sejarah kehidupan manusia, propaganda tidak pernah mati, sebaliknya ia hanya menukar wajah mengikut peredaran zaman. Dari sepanduk perang dan risalah politik hingga ke siaran radio dan televisyen, matlamatnya kekal satu iaitu mengawal cara manusia melihat dunia.

Kini pada abad ke-21, propaganda tidak lagi menjerit di jalanan sebaliknya menjelma dalam bentuk yang paling halus dan berkuasa. Dalam dunia digital, propaganda tanpa disedari berbisik di hujung jari, menyelinap melalui algoritma, meme dan data peribadi.

Teknologi tersebut menjadikan medan pengaruh ini lebih licik, halus dan jauh lebih berkesan. Dunia kini bukan dibentuk oleh fakta tetapi apa yang dipersembahkan kepada khalayak melalui skrin.

Namun, apa yang menarik ialah meski persekitaran berubah seiring ledakan teknologi digital, asas teori propaganda kekal berakar daripada tujuh prinsip yang diwarisi daripada tokoh klasik awal abad ke-20 hingga era moden seperti Harold Lasswell, Edward Bernays, Walter Lippmann dan Jacques Ellul.

Ia beredar tentang bagaimana mengurus persepsi, mencipta stereotaip, memainkan emosi, mereka persetujuan, mengawal maklumat, memanfaatkan pengaruh elit dan mengulangi mesej.

Tujuh prinsip lama itu kini hidup semula dalam tujuh wajah baharu propaganda digital iaitu Whataboutism, Othering, Astroturfing, Algorithmic Manipulation, Deepfake, Memetic Warfare dan Micro-Targeting.

Whataboutism merupakan prinsip yang lahir pada era Perang Dingin sekitar tahun 70-an. Wartawan British mencipta istilah ini bagi menggambarkan cara jurucakap Kesatuan Soviet membalas kritikan Barat dengan menyoal balik: “Bagaimana pula dengan Amerika?”.

Taktik itu satu bentuk serangan balas moral yang tidak menjawab persoalan utama sebaliknya cuma mengalihkan fokus.

Di Malaysia, gaya serupa sering digunakan apabila pemimpin yang disoal tentang isu integriti membalas dengan menyindir kerajaan terdahulu. Tujuannya mudah, bukan mencari kebenaran tetapi mencipta kekeliruan moral.

Seperti diingatkan oleh Lippmann, manusia bertindak bukan terhadap realiti tetapi terhadap “gambar dunia dalam kepala mereka.”

Dalam pada itu, prinsip Whataboutism berfungsi dengan cara mengaburkan gambar itu sehingga semua pihak kelihatan bersalah dan tiada siapa benar-benar betul.

Othering pula konsep berasal daripada gagasan Edward Said dalam Orientalism (1978) yang menjelaskan bagaimana Barat membina imej “Timur” sebagai pihak “lain” yang lemah dan eksotik semata-mata untuk menegaskan keunggulan sendiri.

Kini, algoritma mengambil alih kerja itu. Di media sosial, ia membentuk dunia “kita lawan mereka” ibarat menyimbah minyak ke dalam api dengan mencipta ruang gema yang memaparkan jurus pandangan sealiran dengan kepercayaan pengguna.

Lantas ia memecahkan blok identiti yang saling bertentangan seperti konservatif menentang liberal, agama lawan sekular dan rakyat sanggah kerajaan.

Ini merupakan prinsip lama mencipta stereotaip yang diguna semula untuk menanam ketakutan dan kesetiaan.

Di Malaysia, retorik kaum dan agama sering menjadi senjata paling ampuh untuk membakar emosi. Propaganda tidak perlu mencipta kebencian baru sebaliknya cukup dengan menghidupkan semula ketakutan lama yang sudah tertanam dalam sejarah.

Teknik astroturfing pula ibarat suara palsu yang kedengaran seperti rakyat. Istilah itu dicipta oleh Senator Texas Lloyd Bentsen pada 1985 ketika beliau menyindir kempen korporat yang berpura-pura sebagai gerakan tulen rakyat.

This isn't grassroots, it’s Astroturf,” kata Bentsen dengan mengambil istilah jenama rumput tiruan di Amerika.

Dari situlah lahir konsep propaganda baru berasaskan prinsip "mereka persetujuan" iaitu mencipta persetujuan palsu yang kelihatan tulen.

Edward Bernays sebelum diikuti Noam Chomsky menjelaskan bahawa dalam sistem demokrasi moden, rakyat tidak digerakkan dengan paksaan tetapi dengan kepercayaan bahawa mereka telah memilih sendiri apa yang sebenarnya sudah diatur.

Dalam dunia digital, astroturfing menjelma sebagai akaun palsu, troll berbayar dan bot automatik yang kononnya mewakili suara rakyat.

Fenomena ini menjadikan demokrasi moden umpama teater persepsi yang terhasil daripada manipulasi algoritma.

Di depan tirai, tampak seolah-olah rakyat sedang bersuara. Di belakangnya, algoritma yang menulis skrip dan mengatur tepukan.

Teknik Algorithmic Manipulation pula menjadikan algoritma sebagai pemelihara maklumat dan propaganda yang berubah wajah.

Dua sarjana wanita, Safiya Umoja Noble dan Shoshana Zuboff mendedahkan bahawa algoritma bukan neutral sebaliknya mencerminkan kepentingan elit dan pemilik platform.

Agenda

Dalam era dahulu, editor akhbar dan televisyen menentukan berita yang diterbitkan. Kini, “editor” kita ialah mesin yang ditulis kodnya oleh individu berkepentingan atau mempunyai agenda tersendiri.

Platform Google, Facebook dan TikTok bukan sekadar menapis maklumat tetapi membentuk realiti yang kita percayai.

Perkara ini merupakan bentuk moden prinsip Mengawal Maklumat dan Penglibatan Pengaruh Elit.

Ketika dunia menyaksikan tragedi Gaza, ramai aktivis mendakwa kandungan pro-Palestin disekat secara halus oleh algoritma.

Jacques Ellul pernah menulis: “Propaganda paling berkesan ialah yang tidak kelihatan seperti propaganda.”

Kini, ia hadir dalam bentuk paparan yang disusun “mengikut minat anda.”

Seterusnya teknik Deepfake iaitu keadaan yang boleh digambarkan sebagai "apabila mata tertipu, minda pun mengalah".

Istilah Deepfake muncul pada 2017 iaitu gabungan perkataan deep learning dan fake yang membawa propaganda ke dimensi baharu iaitu menggugat kepercayaan terhadap bukti visual dengan terkini ia dilakukan menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).

Teknologi ini memanipulasi wajah dan suara untuk menghasilkan video palsu yang kelihatan benar. Prinsipnya berpaksikan kepad prinsip rayuan emosi iaitu menyerang pancaindera, bukan logik.

Contohnya, video palsu Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky yang menyeru tenteranya menyerah diri tular sebelum disahkan tidak benar.

Di rantau ini, video politik “suntingan” menjelang pilihan raya sudah menjadi senjata lazim. Apabila kebenaran boleh diganti dengan realiti palsu yang meyakinkan, propaganda tidak lagi perlu memaksa, cukup sekadar memperdaya.

Dari dunia visual beralih pula kepada dunia simbol iaitu prinsip Memetic Warfare di mana dalam dunia maya, meme bukan sekadar gurauan malah menjadi senjata halus pengaruh.

Istilah itu dipopularkan oleh Jeff Giesea pada 2015 berasaskan idea Richard Dawkins dalam The Selfish Gene (1976) bahawa idea tersebar melalui peniruan dan pengulangan.

Berakar daripada prinsip Pengulangan Mesej, meme menjadikan propaganda sebagai bahan ringan dan lucu namun berkesan. Ia membungkus ideologi dalam bentuk hiburan hingga tidak kelihatan berbahaya.

Contohnya di Malaysia, slogan “Bossku” mengubah persepsi terhadap tokoh berdepan kes mahkamah. Simbol dan jenaka yang diulang berkali-kali mencipta empati dan normalisasi. Dalam dunia propaganda moden, humor ialah senjata baru kuasa.

Micro-targeting pula ialah kemuncak semua prinsip propaganda klasik dengan tahap ketepatannya belum pernah dicapai dalam sejarah.

Teknik ini pernah diguna ketika kempen Clinton 1990-an dan dibongkar dalam skandal Cambridge Analytica (2016) menggunakan data peribadi untuk menghantar mesej politik yang direka khas untuk setiap individu.

Diperkenalkan oleh Mark Penn, ia merupakan bentuk propaganda paling canggih dengan menyasarkan emosi secara peribadi.

Prinsip utamanya ialah Mengulangi Mesej dengan pesanan yang sama disampaikan dalam pelbagai bentuk seperti iklan, video pendek dan mesej WhatsApp dengan nada berbeza bergantung pada profil psikologi penerima.

Seseorang yang cenderung cemas akan menerima mesej berbentuk ancaman manakala individu optimistik akan menerima mesej harapan.

Goebbels dahulu memerlukan radio dan risalah, kini propaganda hanya memerlukan data dan algoritma. Dalam dunia algoritma, apa yang tidak diulang akan hilang dan apa yang diulang akan dianggap benar.

Lippmann pernah menulis: “Manusia tidak melihat dahulu lalu mentakrif; mereka mentakrif dahulu, barulah melihat.”

Kini definisi itu bukan lagi milik kita. Ia dibentuk oleh mesin, oleh syarikat teknologi yang tahu bagaimana mempengaruhi manusia lebih baik daripada manusia memahami dirinya sendiri.

Propaganda digital tidak lagi menindas sebaliknya ia memujuk. Ia tidak memaksa tetapi menggoda.

Dan di situlah bahayanya iaitu ketika masyarakat menyangka diri mereka bebas berfikir sedangkan sebenarnya fikiran telah diatur terlebih dahulu.

Akhirnya, propaganda digital bukan sekadar ancaman terhadap politik tetapi ujian terhadap kemanusiaan.

Dalam dunia tanpa sempadan maklumat, tugas kita bukan sekadar mencari kebenaran mutlak malah menjaga kesedaran agar tidak hanyut dalam ombak maklumat palsu yang kelihatan benar.


BUDIMAN MOHD ZOHDI ialah penasihat SLR Institute. Dia bergiat aktif dalam penyelidikan propaganda dan penjenamaan politik. Budiman juga bekas ahli parlimen Sungai Besar.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS