Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan pihaknya sedang menyiasat seorang individu yang disyaki memuat naik berita palsu mendakwa Anwar mengakui terdapat banyak kelemahan dalam perjanjian dagang Malaysia-AS yang baru ditandatanganinya.
“Imej suntingan tersebut yang disertakan dengan logo portal media Utusan Malaysia didapati palsu dan berpotensi mengelirukan orang ramai.
“Siasatan awal juga mengesahkan bahawa Utusan Malaysia telah menafikan penerbitan laporan berkenaan dan menjelaskan ia merupakan penyalahgunaan nama serta logo akhbar itu,” kata MCMC menerusi satu kenyataan hari ini.
Ia juga memaklumkan bahawa suspek berkenaan disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah, Melaka hari ini dan telefon bimbitnya turut dirampas.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, MCMC menasihatkan orang ramai supaya menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi di media sosial, khususnya kandungan yang menggunakan identiti atau logo organisasi media tanpa kebenaran.
“Penyebaran kandungan palsu boleh menjejaskan kredibiliti sumber berita sahih dan boleh mengundang tindakan undang-undang,” petik kenyataan itu lagi.
Dalam perkembangan lain, semalam genap tiga bulan sejak Anwar mengarahkan MCMC menyemak sama ada dakwaannya terhadap Muhyiddin benar atau palsu.
Pada 5 Ogos lalu, Anwar mendakwa di parlimen bahawa Muhyiddin telah mempertahankan subsidi bahan api untuk warga asing.
Ketua PN itu menafikan pernah membuat kenyataan sedemikian, mendorong perdana menteri mengarahkan MCMC menyiasat sumber maklumat beliau.
Siasatan Malaysiakini sebelum ini menemui satu video TikTok yang memaparkan ciri-ciri berita palsu dan mengandungi dakwaan serupa terhadap Muhyiddin.
Kemudian, Anwar mengakui di parlimen bahawa salah satu sumber maklumatnya adalah palsu namun mendakwa dua lagi sumber masih menunggu pengesahan MCMC.
Dia berkata permohonan maaf hanya akan dibuat selepas siasatan MCMC selesai.
Namun, sejak itu tiada banyak perkembangan dilaporkan berhubung perkara berkenaan.
Pada 9 September, suruhanjaya itu berkata siasatan masih dijalankan.
Pada 15 Oktober, Ahli Parlimen Hulu Terengganu Rosol Wahid meminta kemas kini semasa sesi perbahasan Belanjawan 2026.
Bagaimanapun, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil tidak memberikan sebarang maklum balas semasa sesi penggulungan kementeriannya pada Isnin.
