PARLIMEN | Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mencadangkan penggunaan platform permainan digital (gaming) sebagai medium untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda, khususnya Generasi Z dan Generasi Alpha.
Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, Fahmi (PH–Lembah Pantai) berkata kedua-dua generasi itu menggunakan bahasa yang “sangat berbeza”, dengan trend semasa sering kali membuatkan golongan lebih tua tidak memahami maksudnya.
Dia merujuk kepada meme “67” yang tular di media sosial dan menjelaskan bahawa ramai ahli parlimen sendiri berkemungkinan tidak tahu maksud atau rujukan istilah tersebut.
Istilah “67” yang muncul baru-baru ini dikenali kerana sifatnya yang tidak masuk akal dan tidak mempunyai makna tetap, dengan tokoh seni serta gelombang popular dalam talian menyemarakkan penggunaan frasa tersebut.
Justeru, Fahmi berpendapat kerajaan perlu mengubah pendekatan dalam memupuk semangat patriotisme, memandangkan generasi muda kini menerima maklumat dan membina pandangan dunia melalui corak dan kaedah yang berbeza sama sekali.
“Itulah sebabnya melalui peringkat Kementerian Komunikasi, menerusi Japen (Jabatan Penyiaran) dan beberapa agensi lain, kita perlu sesuaikan cara kita menyampaikan elemen dan aspek cinta kepada negara serta kenegaraan dengan pendekatan yang berbeza.
“Mungkin dahulu taklimat atau syarahan sesuai, tetapi untuk Gen Z dan Gen Alpha, kita perlu bercakap dalam bahasa mereka.
“Saya tahu baru-baru ini hangat dibincangkan mengenai Roblox, dan mungkin bagi generasi Gen Z dan Gen Alpha, kita perlu melihat kepada penggunaan platform seperti itu — contohnya untuk memupuk semangat cinta terhadap negara,” tambahnya.
Fahmi, yang juga jurucakap kerajaan berkata demikian sebagai menjawab soalan Ahli Parlimen PKR Syed Ibrahim Syed Noh (PH–Ledang) yang meminta kementerian menjelaskan langkah-langkah untuk memperkukuh semangat patriotik dalam kalangan generasi muda.
Sebelum ini, ahli parlimen serta beberapa pihak lain berdebat sama ada kerajaan wajar mengharamkan Roblox — sebuah platform permainan dalam talian percuma yang popular dalam kalangan kanak-kanak.
Ini susulan insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun didakwa mengelar leher adiknya selepas hilang mata dalam permainan tersebut.
Pada waktu itu, Fahmi menjelaskan kementeriannya sedang menilai keperluan untuk melesenkan sekurang-kurangnya 10 jenis permainan dalam talian, termasuk Roblox, yang dianggap tidak sesuai untuk kanak-kanak bawah usia 16 tahun.
Laporan oleh Qistina Nadia Dzulqarnain, Hariz Mohd, dan B Nantha Kumar.
