Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Dalam kita berjoget, Barat pilih Zohran Mamdani, Catherine Connolly

Semasa ramai penganalisis geopolitik membincang dan meramalkan dunia di ambang perang besar, atau setidaknya serangan Amerika terhadap Venezuela dan Iran, di New York terjadi suatu peristiwa bersejarah.

Seorang anak muda, Zohran Mamdani–seorang anti-Zionis dan sosialis– mendapat mandat rakyat New York untuk mentadbir kota raya yang mempunyai kepadatan penduduk paling tinggi dan penuh rencam.

Spekulasi dunia di ambang perang besar ini bukan main-main. Selama hampir sedekad ekonomi Amerika sebenarnya telah ditamatkan hegemoninya oleh China, ketinggalan lima peratus setakat 2024.

Jadi tidak mengejutkan bagaimana kali ini Donald Trump penuh beradab melayani pertemuannya dengan Presiden Xi Jinping baru-baru ini di Korea Selatan. Segalanya serba tidak kena dengan pentadbiran Amerika mulai Perang 12 hari antara Israel dan Iran yang kesudahannya Amerika terpaksa mengebom loji nuklear kosong di Iran, yang membuatkan Benjamin Netanyahu geram.

Zohran Mamdani (kiri) dan Catherine Connolly

Segalanya serba tidak kena dengan pentadbiran Trump. Belanjawan tergantung sudah lebih sebulan, paling lama dalam sejarah. Hampir satu juta pekerja dinafikan gaji. 

Harga elektrik melambung, janji membuka kilang-kilang pembinaan masih dalam mimpi, peluang pekerjaan entah ke mana, gelandangan meningkat, nilai dolar menyusut, industri kecerdasan buatan (AI) gagal, industri kenderaan elektrik (EV) gagal.

Pembinaan loji tenaga nuklear juga kalah dengan China. Ini petanda bukan sahaja Amerika kekurangan saintis tempatan, malah teknologinya juga sudah ketinggalan.

Kita jangan terkejut, manifesto yang menambat hati warga New York memilih Zohran adalah sebuah manifesto yang sebenarnya tidak selayaknya ditawarkan dalam sebuah negara maju. Bas percuma, tadika percuma, sewa rumah ala projek perumahan rakyat (PPR) dan kedai runcit harga rahmah. 

Sudah tentu situasi ini dipandang serius oleh negara-negara sekutu rapat Amerika di Eropah.

Negara-negara Eropah telah pun menunjukkan protes bermaruah dengan memalukan Amerika dan anak emasnya Israel apabila mengiktiraf Palestin sebuah negara berdaulat.

Pada ketika rakyat di New York, Michigan, Dearmond Heights, Virginia memilih pemimpin Islam anti-Zionist sebagai penyelamat negara, umat Islam di Sudan saling berbunuhan dibantu pula dengan negara-negara Arab seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi. 

Menyampah, memualkan

Umat Islam Asean pula masih leka dengan trend Tiktok G-Dragon, Demon Slayer, Taylor Swift, Tabolabale, dan terkini Ayuh Jamilah. Menyampah lagi memualkan. Oh, satu lagi kes cerai selebriti. Kalah cerita Sumud Flotilla Nusantara.

Semasa rakyat Asean masih sibuk berbalah adakah Arsenal atau Manchester United bakal dinobatkan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, rakyat Eropah saban minggu ratusan ribu memenuhi jalan raya demi pembebasan Palestin sehingga memilih seorang presiden untuk negara Ireland, Catherine Connolly yang memang terkenal dengan prinsipnya anti-Zionis.

Di Malaysia, kebangkitan rakyat dan pemimpin anti-Zionis di Amerika dan Eropah selalu disebut oleh pemimpin politik dan aktivis pembebasan Palestin Mohamad Sabu. Bang Mat juga telah lama memperkatakan hal perubahan kuasa ke negara China. 

Meramal dan membincangkan hal geopolitik ini bukan sekadar untuk tunjuk hebat tetapi panduan untuk memposisikan negara dalam kancah krisis ataupun perdagangan.

Apa yang menarik bila diamati, Bang Mat juga telah banyak kali memberi panduan bagaimana negara-negara Islam boleh membantu membawa dunia ke arah keamanan sejagat dengan realistik dan tuntas.

Mereka mesti menolong negara-negara seperti Republik Islam Iran, Yaman, Venezuela, Cuba dan negara-negara latin Amerika lain yang sedang melawan kuasa imperialis.

Malangnya sehingga ke hari ini tiada negara Islam yang berani. Mereka bahkan membuat keputusan sebaliknya. 

Sedangkan majoriti rakyat Amerika dan Eropah bukan Islam berani membuat perubahan dengan memilih pemimpin seperti Zohran Mamdani bukan sahaja untuk membaiki New York malah Zohran berjaya membawa seruan anti-Zionis, kemanusiaan dan keamanan dunia.


LUQMAN HISYAM adalah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS