Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | KPDN: Rasuah paling tinggi, jawapan paling rendah

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini memegang "rekod" yang tidak membanggakan dengan mencatat jumlah siasatan rasuah tertinggi antara semua kementerian sejak tiga tahun lalu.

Dalam jawapan bertulis di parlimen baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata SPRM menjalankan 87 siasatan berkaitan rasuah melibatkan beberapa kementerian dari 2022 hingga 26 Sept lalu.

KPDN mencatat jumlah siasatan rasuah tertinggi dalam kalangan kementerian persekutuan sejak tiga tahun lalu, dengan 14 kes.

Saya tidak terkejut.

Bagi wartawan lapangan yang sering berurusan dengan KPDN, angka itu bukan berita baru. Ia hanya mengesahkan apa yang lama kami rasakan — ada sesuatu yang tidak betul dalam cara kementerian ini diurus.

KPDN ialah kementerian yang paling kerap muncul di lapangan. Mereka turun padang, memantau harga, memeriksa barangan tiruan, dan mengumumkan Jualan Rahmah.

Namun, di belakang tabir, cerita lain bergema. Cerita tentang "lesen khas", "kuota istimewa", dan "boleh settle (selesai)".

Pengalaman sendiri

Saya menulis ini bukan berdasarkan cerita kedai kopi. Saya menulis berdasarkan pengalaman sendiri.

Baru-baru ini saya menulis laporan mengenai subsidi gula–isu yang kelihatan manis di luar tetapi cukup pahit bila ditelan.

Dalam laporan itu, saya bertanya kepada KPDN dua soalan mudah: Kenapa hanya dua syarikat diberi subsidi gula?

Suasana di sebuah kilang gula, gambar hiasan

Kenapa syarikat tempatan lain yang juga memegang permit import (AP) dan boleh menjual gula pada harga lebih murah, tidak diberi peluang sama?

KPDN tidak menjawab. Dua minggu, tiga minggu dan sudah masuk minggu keempat. Kemudian laporan diterbitkan. KPDN tetap senyap.

Bagaimanapun akhirnya saya menerima maklum balas tidak rasmi. Jawapannya singkat: "Itu keputusan dasar kerajaan."

Tapi dasar apa yang membolehkan dua syarikat menikmati insentif bernilai RM500 juta setahun, sedangkan syarikat lain yang mampu jual lebih murah hanya dibenarkan berniaga di Jualan Rahmah?

Jika tujuannya membantu rakyat, kenapa tidak bebaskan pasaran dan beri peluang kepada semua pemain tempatan? Persoalan mudah seperti ini pun tidak dijawab.

KPDN mahir seni berdiam diri?

KPDN nampaknya sudah mahir dengan satu strategi komunikasi baru, iaitu seni berdiam diri.

Sebenarnya ini adalah pengalaman kedua saya dengan kementerian itu. Pengalaman pertama pada November tahun lalu.

Malaysiakini ketika itu menerima maklumat tentang warga asing yang menjual telekung tiruan di sekitar Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Kami siasat. Kami serahkan maklumat itu kepada KPDN. Kementerian bertindak pantas. Serbuan dibuat, ribuan telekung dan beg jenama tiruan berjumlah ratusan ribu dirampas.

Saya fikir kes itu selesai. Tetapi tidak.

Beberapa minggu kemudian, peniaga sama kembali berniaga di tempat yang sama.

Kami bertanya kepada KPDN Wilayah Persekutuan. Tiada jawapan. Sampai hari ini, tiada penjelasan rasmi. Dan yang lebih ironi, peniaga itu sendiri memberitahu rakan-rakannya bahawa dia sudah "settle" (selesaikan) dengan pihak tertentu dalam KPDN.

Saya tidak menuduh sesiapa, tetapi fakta di lapangan tidak menipu. Bila kementerian yang sepatutnya menjadi benteng penguatkuasaan sendiri gagal menegakkan tindakan yang mereka umumkan, apa maknanya integriti?

Kini, apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan KPDN memiliki kes siasatan tertinggi antara semua kementerian, semuanya mula masuk akal.

Wartawan bukan musuh kerajaan

Soalnya, berapa banyak lagi kes seperti ini yang "diselesaikan" tanpa siasatan lanjut? Berapa ramai lagi yang dibenarkan berniaga seperti biasa selepas "settle" di belakang tabir?

KPDN bukan sekadar kementerian yang menguruskan lesen kedai runcit atau jualan murah. Ia kementerian yang mempengaruhi harga barang asas rakyat seperti gula, beras dan minyak masak.

Tetapi bagaimana rakyat mahu percaya pada dasar harga kawalan atau subsidi, kalau kementerian itu sendiri gagal menjawab soalan asas media?

Wartawan bukan musuh. Kami hanya bertanya bagi pihak orang ramai. Tapi apabila KPDN memilih untuk berdiam diri, ia memberi gambaran bahawa diam itu bukan strategi, tapi perlindungan.

Kalau benar kementerian ini mahu pulihkan keyakinan awam, langkah pertama ialah keberanian untuk menjawab, menjelaskan, dan bertanggungjawab.

Selagi budaya "diam dulu, nanti orang lupa" menjadi pendekatan rasmi, KPDN akan terus kekal sebagai kementerian paling manis dengan gula, tetapi paling pahit dengan integriti.


B NANTHA KUMAR ialah wartawan kanan Malaysiakini.

Bagaimanapun tulisan di atas tidak semestinya mencerminkan pendirian portal ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS