Paling Popular
Terkini

Waktu saya keluar negara, tiada satu pun tempat menarik yang menggunakan bahasa Melayu sebagai antara bahasa pengantar utama.

Jadi, untuk memahami arahan, notis atau nama-nama tempat, saya terpaksa mempelajari bahasa tempatan.

Bayangkan — untuk menjayakan transaksi air setin bernilai RM1.50 sahaja, saya terpaksa menggunakan tiga bahasa berbeza dan mengambil masa hampir 12 minit. Ia benar-benar menyusahkan.

Saya berfikir mengapa mereka (di kawasan pelancongan luar negara) tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai salah bahasa pengantar, adakah lekeh sangat Malaysia ini? Mereka lebih sanggup menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama, sedangkan sebahagian rakyat mereka sendiri masih di tahap “yes no, yes no”. Pelik, bukan?

Saya juga sering tidak puas hati dengan sistem di negara asing pada masa itu; dalam kepala saya sering berkata, "Sepatutnya begini, bukan begitu... Bukankah lebih mudah buat macam ni... Kalau di Malaysia kita selalu begini, bukan begitu."

Saya masih ingat pengalaman di Kemboja ketika menaiki van sapu, saya hampir menumbuk seorang pak cik di sebelah saya.

Bayangkan, sudahlah van tersebut membawa lebih muatan dan jelas sekali tidak mengikut undang-undang jalan raya seperti di Malaysia. Kami dipaksa berhimpit dalam van padat berisi lebih 20 penumpang, empat di barisan hadapan, ya! pemandu juga berkongsi tempat duduk, lima di barisan tengah-depan, lima di tengah-belakang dan kami, berenam di barisan belakang.

Azabnya bertambah dengan ketiadaan penghawa dingin, dan seorang pak cik di sebelah dengan selamba menghisap rokok dan memegang tin arak dalam van yang padat seperti tin sardin.

Ilustrasi AI, gambar hiasan

Pendek kata, serba-serbi jadi tidak kena apabila saya menyamakan situasi di negara asing dengan keadaan kita di Malaysia, kerana saya beranggapan pastilah “rumput di seberang lebih menghijau.'

Namun, kemudian, saya terbaca petikan kata-kata bekas editor Simon & Schuster, Clifton Fadiman (yang tidak ditulis dalam bahasa Melayu semestinya): 

"When you travel, remember that a foreign country is not designed to make you comfortable. It is designed to make its own people comfortable.”

(Apabila anda mengembara, ingatlah bahawa sesebuah negara asing tidak direka untuk membuat anda selesa. Ia direka untuk membuat rakyatnya sendiri selesa.)

Kitalah yang harus berasimilasi

Dari situ saya belajar satu perkara, bahawa kitalah yang harus berasimilasi dan beradaptasi dengan tempat yang kita lawati — bukan menuntut dunia menyesuaikan diri dengan kita.

Menariknya, aforisme Fadiman itu sering disalah tafsir sebagai sindiran terhadap sikap pelancong Barat yang gemar berlagak manja, mengada-ngada dan enggan menyesuaikan diri di negara Asia.

Jika dalam konteks pelancongan, adakah salah jika negara asing menggunakan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa pengantar dan juga tarikan kepada pelancong daripada Malaysia sama seperti yang dilakukan di sini, yang kadangkala bahasa Inggeris diletakkan di atas bahasa Melayu untuk lebih mesra pelancong.

Pastinya dengan cara itu kita sebagai orang Malaysia dapat merasakan seperti berada di rumah sendiri. Bayangkan, terjumpa kedai roti canai dan nasi lemak di London pun sudah ghairah, apatah lagi terjumpa papan tanda dalam bahasa Melayu.

Tambahan pula, sejarah membuktikan bahawa bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca yang diiktiraf kedudukannya sebagai bahasa rasmi yang dipertuturkan oleh banyak bangsa dan negara yang hadir ke Melaka dan rantau ini.

Mubaligh Kristian, St Francis Xavier, menyimpulkan dalam surat-suratnya (sekitar 1545–1547), bahawa beliau memilih untuk mempelajari dan menggunakan bahasa Melayu kerana lebih mudah baginya menterjemah dan menyusun semula teks keagamaan ke dalam bahasa tersebut berbanding menggunakan penterjemah dalam usahanya di Melaka dan Kepulauan Maluku.

Pelayar Belanda Jan Huygen van Linschoten dalam Itinerario (1596) pula mencatatkan bahawa bahasa Melayu dianggap bahasa paling berprestij di dunia Timur dan digunakan secara meluas.

Alisjahbana (1976) memetik Linschoten dengan membandingkan bahawa tidak tahu bahasa Melayu di Timur ibarat orang Belanda yang tidak tahu bahasa Perancis di Eropah — bahasa diplomasi dan bangsawan ketika itu.

Untuk konteks, bahasa Perancis merupakan bahasa diplomasi dan golongan bangsawan Eropah pada awal abad ke-17.

Peter Lowenberg (1985), dalam makalahnya Malay in Indonesia, Malaysia, and Singapore: Three Faces of a National Language, turut menegaskan bahawa bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa perdagangan dan prestij sejak abad ke-16.

Alasan utama mereka mempelajari dan bertutur dalam bahasa Melayu adalah untuk berasimilasi dengan rakyat tempatan agar jurang komunikasi dapat dikurangkan.

Pola fikir pengembara Barat

Pada kurun tersebut, Melaka dikunjungi pelbagai pedagang dari pelusuk dunia; dan andainya Hang Tuah perlu belajar bahasa Perancis, Belanda, Inggeris dan Sepanyol, sudah tentu beliau akan banyak terlepas kelas latihan silat.

Penggunaan meluas bahasa Melayu pada masa itu adalah kerana dipengaruhi oleh kegiatan perdagangan, dan kajian mendapati pedagang asing perlu menguasai bahasa Melayu untuk berdagang di Melaka. Ia satu situasi yang jauh benar bezanya jika kita lihat pada zaman sekarang.

Fadiman pernah mengungkap satu lagi frasa popular: "To feel at home, stay at home" (Nak rasa seperti di rumah, duduk rumah)—satu aforisme yang ditafsir sebagai sindiran terhadap pelancong yang mencari keselesaan Barat di tanah asing.

Alain de Botton pula turut mengkritik traveller mindset (pola fikir pengembara) orang Barat yang suka melancong ke negara Asia tetapi enggan beradaptasi dengan budaya tempatan.

Maka dengan itu, saya bersetuju dengan Fadiman.

Semoga tiada elit atau bangsawan Melayu yang memaksa London City Hall menggunakan pengantar bahasa Melayu semata-mata kerana mereka tidak mampu berbahasa Inggeris, atau peminat K-Pop tanah air menuntut agar diletakkan penanda arah dalam bahasa Melayu di papan tanda jalan sekitar Seoul supaya mereka tidak tersesat mencari tapak konsert.

Kita tidak perlu meniru dunia hanya untuk diterima.


SHAMZ JOHAN adalah bekas wartawan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS