Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rayu jumlah ganti rugi RM10,000 sehari saja - Teresa
Diterbitkan:  Nov 11, 2025 1:33 PM
Dikemaskini: 5:33 AM

Anggota parlimen Seputeh Teresa Kok mendesak kerajaan mengehadkan rayuan Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kehilangan paderi Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat kepada jumlah ganti rugi sahaja.

Dia berkata, merayu keputusan yang mendapati kerajaan dan polis bertanggungjawab atas kehilangan mereka adalah tidak wajar.

“Dengan merayu terhadap liabiliti (tanggungjawab), kerajaan seolah-olah mencabar penemuan fakta dan undang-undang mahkamah, yang secara berkesan membayangkan bahawa polis adalah betul dan hakim yang arif itu adalah salah.

“Ini tidak selaras dengan pengumuman menteri dalam negeri untuk menyiasat semula kes-kes itu dan menimbulkan persoalan serius mengenai komitmen kerajaan terhadap kebenaran, ketelusan, dan keadilan,” katanya.

Raymond Koh dan Amri Che Mat

Dia mendesak kerajaan membincangkan perkara ini pada mesyuarat kabinet hari ini, dengan keputusan utama AGC tidak memfailkan rayuan sama sekali.

RM10,000 sehari selagi tak ditemui

Minggu lepas, hakim Su Tiang Joo mendapati kerajaan dan polis bertanggungjawab atas kehilangan Koh dan Amri.

Su mengarahkan polis membuka semula siasatan mereka ke atas kedua-dua kes.

Dia turut menganugerahkan RM3 juta kepada isteri Amri, Norhayati Ariffin, dan RM6 juta kepada keluarga Koh.

Selain itu, kerajaan perlu membayar RM10,000 sehari untuk setiap hari Koh hilang sejak 13 Feb 2017, sehingga dia ditemui.

Sehingga 11 Nov, Koh hilang selama 3,193 hari, bermakna kerajaan berhutang kepada keluarga Koh sebanyak RM31.93 juta.

AGC percaya hakim membuat kesilapan dalam keputusannya berhubung kes sivil itu dan akan memfailkan rayuan.

Walaupun begitu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan semalam bahawa polis akan mematuhi perintah mahkamah untuk membuka semula siasatan ke atas kehilangan Koh dan mencarinya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS