Seorang penduduk Kampung Papan di Pandamaran ditahan pihak polis ketika kerja perobohan oleh pihak berkuasa hari ini.
Menurut Timbalan pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan, berkata lelaki berusia 57 tahun itu kecewa dengan pegawai yang bertugas dan bertindak menghempaskan botol kaca ke lantai.
“Jadi mungkin pegawai ingat dia macam nak merusuh atau mengamuk,” katanya kepada Malaysiakini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Ramli Kasa dalam kenyataan malam ini mengesahkan tangkap berkenaan.

Menurutnya, tangkapan terhadap lelaki warga tempatan itu berhubung kesalahan menghalang penjawat awam untuk menjalankan tanggungjawab dan ugutan jenayah.
“Sewaktu pengadu yang merupakan bailif Mahkamah Tinggi Shah Alam bersama pihak polis sedang menyempurnakan writ saman mahkamah tinggi, seorang lelaki yang berada di dalam premis tersebut telah memprovokasi pengadu dan anggota polis, memecahkan botol kaca serta melafazkan kata-kata ugutan.
“Siasatan lanjut akan diteruskan. Orang ramai dinasihati mematuhi arahan yang telah dikeluarkan dan tindakan akan diambil berdasarkan peruntukkan undang-undang yang sedia ada,” katanya.
Terdahulu hari ini, Arutchelvan memberitahu setakat tengah hari tadi, dianggarkan sekitar 20 rumah dirobohkan.

Menurutnya, rumah yang dirobohkan itu termasuk enam buah yang masih berpenghuni, walaupun kerajaan sebelum ini berkata perobohan hanya melibatkan rumah yang kosong.
Berdasarkan gambar yang dikongsi oleh penduduk dengan Malaysiakini, beberapa jentolak digunakan bagi kerja-kerja perobohan hari ini, selepas beberapa kali operasi itu ditangguhkan.
Arutchelvan menyifatkan tindakan itu sebagai tidak berperikemanusiaan dan bercanggah dengan prinsip kerajaan yang mendakwa memperjuangkan keadilan.
“Inikah kerajaan yang adil kepada semua pihak? Kalau mereka beri rumah ganti sebelum meroboh, masih boleh diterima. Tapi sekarang, rumah diroboh tanpa sebarang jaminan,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan Selangor dilapor memberikan komitmen untuk membina rumah baharu bagi menempatkan semula penduduk Kampung Papan yang terjejas.
Adun Pandamaran Tony Leong berkata, projek pembinaan rumah untuk 181 keluarga akan dilaksanakan oleh sebuah anak syarikat kerajaan negeri dalam masa terdekat.
