Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Upko keluar PH boleh jejas undi etnik KDM - penganalisis

Langkah Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) keluar daripada PH bukan setakat membuka semula lembaran luka lama, malah mengundang persoalan jika parti-parti nasional benar-benar memahami keprihatinan rakyat Sabah.

Menurut penganalisis politik Tony Paridi Bagang, keputusan Upko itu menunjukkan perjuangan parti tersebut berpaksikan aspirasi tulen berteraskan Sabah.

Sementara itu, penganalisis Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata ramai rakyat Sabah kini kecewa terhadap cara Putrajaya mengendalikan isu hak hasil negeri sebanyak 40 peratus yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketika Upko membuat keputusan meninggalkan PH malam semalam, tindakan itu bukan sekadar menggoncang susunan politik gabungan tersebut di Sabah — ia turut menimbulkan semula persoalan sama ada parti nasional mampu mewakili suara sebenar rakyat Sabah, terutama di kawasan majoriti Kadazandusun-Murut (KDM) yang sering menjadi penentu arah sokongan negeri itu.

Keputusan itu diambil hanya beberapa jam selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga pengerusi PH, dilihat seolah-olah mengecilkan perbezaan antara peruntukan pembangunan persekutuan dan tuntutan 40 peratus hasil negeri ketika berucap di Kota Kinabalu.

Tony Paridi menyifatkan tindakan Upko sebagai satu langkah yang “berani dan penuh perhitungan”.

“Dengan pendirian ini, Upko menghantar isyarat jelas bahawa perjuangan politiknya berpaksikan aspirasi sebenar berteraskan Sabah, selaras dengan slogannya ‘Sabah First’,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurutnya, walaupun jentera PH di Sabah dijangka kekal berfungsi, gabungan itu mungkin akan terasa kesannya di kawasan majoriti Kadazandusun, di mana sentimen kenegerian sangat kuat.

“Tindakan Upko akan menguatkan suara tempatan — satu gelombang yang mungkin disambut oleh parti-parti lain berasaskan Sabah,” katanya lagi.

Tony turut mempersoalkan bagaimana langkah itu akan berfungsi di bawah peruntukan antilompat parti, memandangkan Upko telah menyatakan kesetiaan kepada kerajaan persekutuan sehingga tamat penggal.

Kesan segera di peringkat akar umbi

Penganalisis politik UMS, Dr Lee Kuok Tiung bersetuju kesan tindakan Upko itu akan dirasai serta-merta di lapangan.

Gambar hiasan.

“Ia pasti menjejaskan moral dan sokongan akar umbi yang sebelum ini datang daripada penyokong Upko. Namun, kesannya bergantung kepada kawasan dan calon yang bertanding,” katanya.

PH kini berisiko kehilangan momentum dalam kalangan pengundi Kadazandusun tradisional yang selama ini melihat Upko sebagai benteng mempertahankan hak rakyat Sabah.

“Tekanan kini meningkat terhadap sentimen pro-parti tempatan dan isu 40 peratus hasil negeri yang sedang hangat.

"Rakyat Sabah nampaknya tidak lagi bertolak ansur terhadap cara isu ini dikendalikan oleh kerajaan pusat, dan semua pihak kini menggunakan isu ini sebagai modal politik,” tambahnya.

Pertikaian kenyataan Anwar

Pada 9 November, ketika lawatan ke Pasar Gaya Street, Kota Kinabalu, Anwar Ibrahim didekati seorang lelaki yang bertanya bila Putrajaya akan menyalurkan bahagian 40 peratus hasil persekutuan yang sepatutnya diterima Sabah.

Anwar membalas dengan berkata peruntukan pembangunan untuk Sabah telah melebihi jumlah yang dikutip kerajaan persekutuan dari negeri itu.

“Berapa banyak kita kutip dari Sabah? RM10 bilion. Berapa banyak kita bagi balik? RM17 bilion,” katanya.

Klip video pertembungan itu tular di media sosial menjelang petang manakala Anwar kemudian mengulangi kenyataan sama dalam beberapa ucapan, termasuk ketika mengumumkan calon PKR bagi pilihan raya negeri.

Dalam sidang media di Tawau selepas itu, Anwar mempertahankan pendiriannya dengan menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya telah “melakukan lebih daripada mana-mana pentadbiran sebelum ini” untuk Sabah.

“Kalau kata belum sempurna, tidak mengapa. Tapi tak boleh nafikan bahawa kami sudah buat lebih banyak,” katanya.

Namun, kenyataan tersebut tidak diterima baik oleh ramai pengundi pribumi, yang menganggap tuntutan 40 peratus hasil negeri sebagai simbol autonomi Sabah yang tidak boleh digantikan dengan peruntukan bersifat sementara atau budi bicara kerajaan pusat.

Susulan itu, Presiden Upko Ewon Benedick meletakkan jawatan daripada kabinet persekutuan pada 8 November, sebagai tanda bantahan terhadap cara isu hasil negeri ditangani Putrajaya.

Langkahnya dilihat sebagai protes terhadap keputusan kerajaan untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober, yang mengarahkan isu bayaran hasil 40 peratus diselesaikan dalam tempoh 180 hari.

Pertarungan rebut undi Kadazandusun

Dari 73 kerusi DUN Sabah, sekitar 17 kerusi dianggap kawasan majoriti Kadazandusun, termasuk Moyog, Kadamaian, Tambunan, Bingkor, Kundasang, Kepayan, Penampang, Melalap, Paginatan, Kiulu dan Inanam.

Walaupun bilangannya kecil, komuniti ini mempunyai pengaruh besar dalam menentukan sentimen politik negeri. Sokongan mereka lazimnya berpihak kepada sesiapa yang paling lantang memperjuangkan “hak Sabah” dan “autonomi negeri” — corak yang pernah menentukan keputusan pilihan raya sebelum ini.

Lee menjelaskan inilah medan ujian terbesar buat PH di Sabah.

“Cabaran utama kini ialah meyakinkan pengundi bahawa parti nasional masih mampu membela kepentingan Sabah tanpa menenggelamkan suara tempatan,” katanya.

Bagi PH, impak keluarnya Upko bukan sekadar kehilangan jentera, tetapi soal kredibiliti politik.

“Langkah Upko mungkin menjejaskan (Pakatan) Harapan dalam jangka pendek,” kata Tony Paridi,

“Namun, ia mencerminkan arus bawah yang semakin kuat — desakan bahawa suara Sabah mesti lahir dari bumi Sabah sendiri,” katanya lagi.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS