PARLIMEN | Rasional kerajaan persekutuan tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung pemberian khas 40 peratus hasil kepada Sabah antara perkara dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) bertanya perdana menteri mengenai perkara itu, selain ingin mengetahui implikasi keputusan berkenaan.
Pada sesi sama, Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) bertanyakan menteri dalam negeri berhubung keputusan mahkamah terkait Amri Che Mat serta paderi Raymond Koh dan langkah lanjut yang akan diambil oleh kerajaan, khususnya menyentuh prosedur operasi standard dan kewibawaan siasatan Polis Diraja Malaysia.
Zulkafperi Hanapi (Bebas-Tanjong Karang) pula bertanyakan perdana menteri mengenai cabaran utama dihadapi kampung-kampung tradisi di Kuala Lumpur di bawah Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 termasuk dari segi pemilikan tanah, kemudahan asas, kepadatan dan tekanan pembangunan.
Dia juga ingin tahu apakah pendekatan strategik kerajaan bagi memastikan identiti dan kesinambungan kampung-kampung berkenaan dapat dikekalkan.
Turut menarik perhatian, soalan Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) kepada perdana menteri mengenai keberkesanan dasar perancangan bandar yang menetapkan dua petak parkir bagi setiap unit kediaman jika ia mampu menangani isu kesesakan parkir di kawasan perumahan khususnya di Kuala Lumpur yang semakin padat.
Selain itu, Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) meminta menteri belia dan sukan menyatakan status terkini persediaan kontinjen Malaysia bagi menghadapi Sukan SEA 2025 di Thailand, serta jumlah atlet dan jurulatih yang terlibat, dan sasaran keseluruhan pingat yang ditetapkan kementerian.
Selepas sesi soal jawab, mesyuarat Dewan Rakyat diteruskan dengan menyambung semula perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat jawatankuasa.
Mesyuarat ketiga penggal keempat Parlimen ke-15 berlangsung selama 35 hari hingga 4 Dis ini.
- Bernama
