Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemain ‘warisan’: Kelab Colombia gugur Holgado, Garces dibela bos
Diterbitkan:  Nov 13, 2025 11:36 AM
Dikemaskini: 3:36 AM

Kelab Colombia, America de Cali, secara rasmi menamatkan kontrak penyerang Harimau Malaya yang digantung sebelum ini, Rodrigo Julian Holgado, walaupun dengan bayaran penuh.

Sementara itu, pengerusi kelab Sepanyol, Deportivo Alaves, pula memilih untuk mempertahankan seorang lagi pemain warisan, Facundo Garces, atas prinsip dia tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Holgado dan Garces merupakan antara tujuh pemain warisan dalam skuad kebangsaan Malaysia yang digantung selama 12 bulan serta didenda selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mendapati FAM memalsukan dokumen berhubung salasilah mereka.

Menurut portal berita bola sepak Colombia, ElDeportivo, kelab America de Cali pada Selasa memutuskan untuk menamatkan kontrak Holgado lebih awal selepas Fifa mengekalkan hukuman ke atasnya.

Keputusan tersebut dilaporkan dicapai secara baik antara kedua-dua pihak.

Akhbar sukan Sepanyol, Diario AS, pula melaporkan bahawa Presiden Deportivo Alaves, Alfonso Fernandez de Troconiz, pada Sabtu berkata kelab itu mengambil pendekatan yang berhati-hati dalam menangani kes Garces.

“Ia merupakan isu di luar kelab, tetapi jelas ia memberi kesan kepada kami. Kes ini masih terbuka dan tiada sebarang perubahan, malah ia masih boleh dirayu.

“Kami terus percaya pemain tersebut dan berpegang kepada prinsip tidak bersalah. Tiada apa yang muktamad,” katanya seperti dipetik dalam laporan itu.

Bulan lalu, portal berita Argentina, Capital De Noticias, menerbitkan rekod kelahiran yang menunjukkan datuk Garces, Carlos Rogelio Fernandez, sebenarnya tidak dilahirkan di Pulau Pinang seperti yang didakwa dalam dokumen yang dikemukakan kepada Fifa.

Garces sendiri mendakwa bahawa salah seorang datuk atau neneknya berasal dari Malaysia.

Sebelum ini, seorang lagi pemain warisan, Gabriel Felipe Arrocha, turut ditamatkan kontrak oleh kelab asalnya dan juga kelab tempat dia dipinjamkan.

FAM merancang untuk membuat rayuan terhadap hukuman Fifa itu di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dengan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menawarkan diri untuk menanggung kos rayuan tersebut.

FAM juga menubuhkan jawatankuasa bebas yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Md Raus Sharif, bagi menyiasat isu berhubung dakwaan pemalsuan dokumen yang dikaitkan dengan keturunan Malaysia mereka.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS