Anggota Parlimen Kepong daripada DAP Lim Lip Eng membidas ahli perniagaan Albert Tei kerana mempertikaikan DAP tidak menyatakan sikap dalam kes rasuah di Sabah yang didedahkannya.
Sebaliknya, kata Lim, dia adalah “ahli politik pertama” yang secara terbuka menyokong Tei ketika muncul sebagai pemberi maklumat tanpa nama pada November tahun lalu.
Katanya, pada 11 November 2024, dia menawarkan untuk mendedahkan bukti dan nama pihak terlibat dalam rasuah di parlimen dan mendesak pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas.
Malah, dedahnya, seorang editor berita telah mengaturkan pertemuannya dengan Tei, namun tidak berjaya.
“Satu soalan penting untuk Tei: Mengapa engkau enggan bekerjasama dengan saya ketika itu?” soalnya.

Menjelang perhimpunan antirasuah di pekarangan ibu pejabat SPRM Putrajaya, Jumaat ini, Tei memuji PAS dan Bersatu yang menyokong perhimpunan itu, sambil mendakwa tiada lagi suara lantang daripada DAP yang memperjuangkan rasuah.
"Saya sebagai orang Cina tetapi di mana parti yang kononnya memperjuangkan kaum Cina, mereka seolah-olah bisu, buta tidak nampak skandal rasuah Sabah. Mereka tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung skandal rasuah di Sabah," katanya.
Dalam kenyataan hari ini, Lim berkata jika Tei memberikan maklumat dan bukti kepadanya November lalu, berkemungkinan dia tidak akan didakwa di mahkamah kerana “memberikan maklumat tersebut melalui saluran betul”.
“Sebenarnya, ketika isu ini mula-mula terbongkar, PAS dan Bersatu berdiam diri dan hanya menjadi 'pelakon drama' apabila melihat ada peluang politik untuk dieksploitasi.
“Sikap konsisten DAP memerangi rasuah tidak perlu dipertikaikan. Kami tidak perlu menunggu isu menjadi panas untuk menunjukkan komitmen ini,” katanya.
Sejak siri pendedahan video bermula Nov tahun lalu, lebih 10 ahli politik termasuk beberapa menteri Sabah dikaitkan dengan skandal perlombongan berkenaan.
Namun setakat ini, hanya tiga individu yang didakwa iaitu Tei, bekas Adun Tanjung Batu Andi Suryady Bandy dan bekas Adun Sindumin, Yusof Yacob.
Tei didakwa menawarkan rasuah kepada ahli-ahli dewan undangan negeri, manakala dua lagi didakwa menerima sogokan berkenaan.
