Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Terrirudin tarik diri dari panel Mahkamah Persekutuan kes rayuan Seksyen 233

Hakim Mahkamah Persekutuan Ahmad Terrirudin Salleh menarik diri daripada panel Mahkamah Persekutuan yang mempengerusikan rayuan kerajaan terhadap Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ini berlaku selepas peguam Malik Imtiaz Sarwar menyuarakan kebimbangannya kepada panel yang dipengerusikan oleh Presiden Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais, kerana Terrirudin, yang merupakan bekas peguam negara, sebelum ini telah berhujah tentang kes itu di Mahkamah Rayuan.

Pada mulanya, panel itu terdiri daripada lima hakim termasuk Abu Bakar, Terrirudin dan hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Nordin Hassan, serta hakim Mahkamah Rayuan Che Ruzima Ghazali.

Walau bagaimanapun, selepas hampir 30 hingga 40 minit perbincangan, Abu Bakar memaklumkan kepada pihak-pihak bahawa panel telah dikurangkan kepada tiga orang, susulan langkah Terrirudin selain Che Ruzima yang turut menarik diri.

Kebiasaannya, panel Mahkamah Persekutuan akan dibentuk dengan bilangan hakim yang ganjil untuk mengelakkan undian seri dan memastikan majoriti sentiasa dapat dicapai dalam sesuatu keputusan.

Panel itu kemudian memberikan kebenaran kepada kerajaan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, selepas mendengar hujah daripada pihak-pihak berkaitan.

Panel itu kemudian memberi kebenaran kepada kerajaan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang dibuat pada 19 Ogos, yang membatalkan istilah 'menyinggung' dan 'menjelikkan' dalam Seksyen 233(1)(a) Akta tersebut.

Abu Bakar, dalam memberikan kebenaran kepada kerajaan untuk merayu, berkata panel itu akan mendengar hujah mengenai tiga persoalan undang-undang, di mana dua daripada permohonan kerajaan dan satu dirumuskan oleh mahkamah.

Panel itu juga memberikan kebenaran itu susulan aku janji kerajaan bahawa mereka tidak akan meneruskan sebarang kes pendakwaan yang berkaitan dengan seksyen tersebut sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan.

Panel itu akan mempertimbangkan persoalan undang-undang yang melibatkan pendekatan interpretatif Seksyen 233 dan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dengan perundangan serupa dari United Kingdom dan Eropah.

Selain itu, mereka juga akan mempertimbangkan satu lagi soalan yang dikemukakan oleh kerajaan iaitu sama ada objektif Seksyen 233(1)(a) AKM, termasuk dua istilah itu akan mencegah penyalahgunaan rangkaian komunikasi elektronik awam dan melindungi piawaian asas masyarakat, demi kepentingan ketenteraman awam dan moral di bawah Perkara 10(2) Perlembagaan.

Soalan yang dirumuskan oleh panel itu akan menyentuh kesan Perkara 4(2) Perlembagaan dalam keadaan kes ini.

Peguam kanan persekutuan Liew Horng Bin mewakili kerajaan manakala Malik Imtiaz mewakili Heidy Quah.

Kerajaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan dua istilah daripada Seksyen 233(1)(a) selepas mendapati terma-terma tersebut akan menjadi larangan kebebasan bersuara.

Quah telah menyaman untuk mencabar kesahihan dua perkataan itu dalam Seksyen 233 pada September 2021. Saman itu ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada September 2023, yang membawa kepada rayuannya.

Tindakan sivil dimulakan selepas Quah didakwa pada Julai 2021 di bawah seksyen tersebut berhubung catatan Facebook yang mengetengahkan layanan buruk terhadap pelarian di pusat tahanan imigresen.

Pada April 2022, Mahkamah Sesyen memberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) kepada aktivis hak asasi manusia itu kerana pertuduhan di bawah Seksyen 233(1)(a) adalah cacat.

Kerajaan meluluskan pindaan kepada AKM tahun lepas, yang menyaksikan peningkatan hukuman dan meluaskan kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk penguatkuasaan.

Pindaan itu berkuat kuasa pada Februari tahun ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS