Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ewon: Terima kasih beri penjelasan, tapi rayuan tetap rayuan
Diterbitkan:  Nov 13, 2025 4:25 PM
Dikemaskini: 8:25 AM

Bekas menteri pembangunan usahawan dan koperasi, Ewon Benedick, berkata dia menghargai penjelasan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai hak hasil 40 peratus Sabah.

Walau bagaimanapun, presiden Upko itu menegaskan bahawa kerajaan persekutuan masih merayu keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini mengenai perkara itu.

"Saya juga mengambil maklum akan rayuan yang akan difailkan ke atas alasan penghakiman. But an appeal is an appeal (Tapi rayuan tetap rayuan)," kata Ewon di Facebook hari ini.

Ewon, yang meletak jawatan menteri minggu lalu sebagai protes terhadap 40 peratus bahagian hasil negeri, berkata dia sentiasa lantang bersuara mengenai isu ini sepanjang tiga tahun dalam kabinet.

Namun, katanya, respons yang diterimanya adalah "serupa dengan yang diberikan Anwar di Tamu Jalan Gaya.

Dia merujuk kepada penjelasan Anwar kepada orang ramai di pasar Jalan Gaya di Kota Kinabalu minggu lalu.

Dalam video yang tersebar di media sosial, perdana menteri seolah-olah menolak sebarang perbezaan antara peruntukan persekutuan kepada Sabah dan 40 peratus bahagian hasil persekutuan yang dikutip daripada negeri, yang sepatutnya dibayar sebagai geran khas.

Dia memberitahu seorang pemuda yang bertanya isu itu bahawa kerajaan memperuntukkan RM17 bilion kepada Sabah, berbanding RM10 bilion yang dikutip daripada negeri dalam hasil persekutuan.

Pemuda itu kemudian menjawab dengan mengatakan bahawa RM17 bilion itu adalah tanggungjawab persekutuan, dan tidak sama dengan 40 peratus bahagian hasil seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu hari ini, Anwar memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan persekutuan hanya akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bahawa Putrajaya dan kerajaan Sabah telah melakukan kesilapan besar sejak 1974.

Dia berkata rayuan itu tidak akan menjejaskan keputusan mengenai hak Sabah kepada 40 peratus bahagian hasil persekutuan yang dikutip daripada negeri itu.

Kata Anwar, kerajaan membuat rayuan kerana menganggap kenyataan itu tidak konsisten dan tidak tepat.

“Mengaitkan kesilapan besar yang dibuat oleh kerajaan sejak 1974 juga bermakna kerajaan Persekutuan di bawah (pimpinan Perdana Menteri sejak) Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga sekarang dan kerajaan negeri di bawah Tun Datu Mustapha Datu Harun, Tun Fuad Stephens sehingga kini serta ahli Parlimen yang terbabit dalam kerajaan sejak 1974 sehingga hari ini... semuanya diputuskan sebagai terlanjur," kata perdana menteri.

Pada Selasa, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengumumkan bahawa Putrajaya tidak akan merayu keputusan mahkamah yang mengesahkan hak Sabah untuk mendapat 40 peratus daripada hasil persekutuan yang dikutip daripada negeri ini.

Walau bagaimanapun, ia berhasrat untuk merayu sebahagian daripada penghakiman yang menggambarkan kerajaan persekutuan dan negeri telah melanggar Perlembagaan Persekutuan berhubung hak hasil negeri itu.

Keputusan mahkamah pada 17 Oktober adalah berhubung semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS) terhadap kerajaan.

Gesa rakyat Sabah baca keputusan mahkamah

Dalam catatannya hari ini, Ewon, yang merupakan pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, menggesa rakyat Sabah untuk membaca dan memahami keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai hak hasil negeri.

Dia menyifatkannya sebagai "dokumen wajib baca dan miliki" bagi setiap rakyat Sabah.

Ewon dijangka akan menghuraikan lebih lanjut mengenai isu ini semasa ucapannya di "Konvensyen Rakyat" dan pelancaran jerayawara "Sabah First" di Dewan Gawir di Kampung Madsiang, Penampang, malam ini.

Di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan, bahagian hasil 40 peratus sepatutnya dibayar dalam bentuk geran khas, yang akan dikawal sepenuhnya oleh Sabah.

Dalam Belanjawan 2026, Anwar berkata geran khas untuk Sabah ialah RM600 juta.

Berdasarkan angka RM10 bilion, yang menurut perdana menteri dikutip dari Sabah, geran khas 40 peratus sepatutnya RM4 bilion.

[Baca laporan penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS