Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO Nepal gesa siasatan rentas sempadan sindiket libat rakyat Malaysia

Persatuan Agensi Pekerjaan Asing Nepal (Nafea) menggesa kerajaan Malaysia menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan kewujudan sindiket baru, susulan Malaysia mencadangkan 10 kriteria untuk pemilihan agensi tenaga kerja asing.

Bercakap kepada Malaysiakini, Naib Presiden Kanan Nafea, Sujit Kumar Shrestha, mendakwa setakat ini lebih 40 agensi tenaga kerja di Nepal dipercayai telah membayar sekitar AS$6 juta (RM28 juta) kepada dua individu — masing-masing seorang rakyat Malaysia dan India.

"Selepas surat mengenai 10 kriteria itu menjadi tular, dua individu terkait dengan sindiket ini berjumpa dengan agensi tempatan (Nepal) berjanji akan membantu untuk mendapatkan kelulusan dengan bayaran sekitar RM3 juta.

"Kami sedia berkongsi bukti dan identiti rakyat Malaysia itu sekiranya kerajaan Malaysia sedia mengadakan siasatan.

"Walaupun Nafea memberi amaran, masih terdapat sekitar 40 agensi membayar wang pendahuluan. Mereka berjumpa agensi tempatan di sebuah hotel lima bintang di Kathmandu," katanya kepada Malaysiakini.

Shrestha mengesahkan Nafea telah membuat aduan rasmi kepada Perdana Menteri sementara Nepal, Sushila Karki, dan kepada Kementerian Buruh, Pekerjaan & Keselamatan Sosial Nepal.

Malaysiakini masih cuba menghubungi individu yang didakwa terlibat dalam sindiket tersebut.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan sebanyak lima agensi dari Nepal membayar antara RM1 juta hingga RM1.5 juta kepada sindiket yang didakwa mempunyai "hubungan rapat" dengan individu yang boleh mempengaruhi kelulusan kuota pekerja ke Malaysia.

Sumber turut mendedahkan hasil kutipan dibayar ke akaun seorang individu tertentu di Mumbai, India.

Terdahulu, kerajaan melalui Kementerian Luar Negeri (KLN) menetapkan 10 kriteria wajib untuk agensi luar negara membekalkan pekerja ke Malaysia.

KLN pada 27 Okt menghantar surat kepada kedutaan negara-negara sumber (negara layak menghantar pekerja asing) dan meminta kerajaan masing-masing menyerahkan senarai agensi yang mampu memenuhi semua syarat itu selewat-lewatnya pada 15 Nov.

Antara syarat yang dianggap kontroversi ialah agensi yang ingin menghantar pekerja asing ke Malaysia perlu mempunyai pengalaman mengurus sekurang-kurangnya 3,000 pekerja dalam lima tahun dan menempatkan pekerja ke sekurang-kurangnya tiga negara.

Malaysiakini telah melihat sendiri surat berkenaan.

Syarat lain yang ditetapkan ialah perlu mempunyai testimoni positif daripada sekurang-kurangnya lima majikan antarabangsa, memiliki pejabat tetap yang besar (10,000 kaki persegi) dan beroperasi sekurang-kurangnya tiga tahun, serta mempunyai pusat latihan sendiri.

Bagaimanapun, dua persatuan antarabangsa mengecam syarat baru kerajaan Malaysia bagi pengambilan pekerja asing, yang disifatkan tidak realistik, tidak adil, dan berpotensi menghidupkan semula sistem sindiket.

Selain Nafea, Persatuan Agensi Pengambilan Pekerja Asing Bangladesh (Baira) berkata 10 kriteria yang ditetapkan oleh KLN "mustahil" dipenuhi.

Kedua-dua persatuan turut mendakwa syarat itu hanya helah untuk mengawal pasaran dan menyingkirkan agensi baru, selain beberapa individu di Malaysia menjadi “dalang” di sebalik cubaan menghidupkan semula sistem sindiket.

Shrestha berkata setakat ini Nafea hanya menerima aduan daripada 33 syarikat sahaja.

"Yang tujuh lagi masih enggan melaporkan kerana takut kehilangan wang yang telah dibayar kepada kumpulan sindiket itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Shrestha berkata cubaan mengawal pasaran pekerja Nepal ke Malaysia bukan perkara baru.

"Beberapa laporan media tempatan sebelum ini mendedahkan bagaimana setiap pusat perubatan di Nepal perlu membayar sehingga lima juta rupee (RM190,000) untuk mendapatkan lesen biometrik bagi pemeriksaan saringan kesihatan.

"Selepas bantahan keras Nafea, parlimen Nepal ketika itu hanya membenarkan percubaan selama enam bulan, namun sistem itu terus digunakan tanpa pembaharuan rasmi selepas tempoh berakhir.

"Akibatnya, pekerja Nepal terpaksa menanggung kos tinggi termasuk caj ujian biometrik dan pemeriksaan kesihatan, malah ada yang dihantar pulang selepas gagal ujian kesihatan di Malaysia," katanya.

Katanya, cubaan mengawal proses pengambilan pekerja asing berulang pada 2022 apabila kumpulan sindiket ini cuba menghadkan jumlah agensi yang menghantar pekerja ke Malaysia kepada 25 sahaja.

"Walaupun kami gagalkan usaha sindiket ini, mereka masih memaksa pekerja kami yang sudah bayar hampir RM13,000 untuk ke Malaysia.

"Jika sistem baru (10 syarat) diteruskan, kos itu akan meningkat berganda," katanya.

Shrestha turut mendesak kerajaan Malaysia dan Nepal menubuhkan pasukan siasatan bersama bagi menyiasat kegiatan rasuah rentas sempadan itu.

Dia menegaskan majoriti agensi di Nepal bersedia menyerahkan lesen mereka sekiranya kerajaan Malaysia tetap mahu meneruskan sistem yang didakwa berpaksikan sindiket tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS