Permohonan reman polis terhadap anggota PSM dan aktivis yang membantah perobohan rumah di Kampung Papan ditolak oleh mahkamah.
Susulan perkembangan itu, Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa kumpulan 10 individu tersebut dijangka dibebaskan hari ini selepas proses dokumentasi di Balai Polis Klang selesai.
Namun, rasa lega itu terbantut apabila enam lagi individu ditahan hari ini, termasuk ahli jawatankuasa pusat PSM Chong Yee Shan serta penyelaras dokumentasi dan pemantauan Suaram, Jernell Tan.
Walaupun butiran mengenai siri tangkapan terbaharu masih belum jelas, Arutchelvan berkata kumpulan itu berkemungkinan ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas dakwaan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Malaysiakini kemudiannya dimaklumkan oleh seorang lagi wakil PSM, yang memilih untuk tidak dinamakan, bahawa sehingga 11.30 pagi, jumlah individu yang ditahan hari ini meningkat kepada sembilan, termasuk tujuh penduduk.
Menurut PSM, mereka yang ditahan hari ini ialah:
Yee Shan (PSM)
Jernell (Suaram)
Than Bee Hooi (penduduk)
Than Kim Kim (penduduk)
Lim Wee Chun (penduduk)
Ser Li Fang (penduduk)
Lim Eng Hui (penduduk)
Teoh Ah Guat (penduduk)
Ng Ban Ping (penduduk)
Wakil itu berkata semua individu yang disasarkan oleh pihak berkuasa hari ini telah dibebaskan dengan jaminan polis, sekitar jam lima petang.

Arutchelvan, yang turut ditahan pada 12 Nov atas dakwaan kesalahan sama, sekali lagi menyasarkan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari kerana dilihat berdiam diri walaupun perobohan rumah serta siri tangkapan terus berlaku di kawasan itu.
Dia mendakwa pegawai bailif mahkamah dan anggota polis yang ditempatkan di lokasi kejadian repeatedly memberitahu mereka supaya meminta menteri besar berbincang dengan pemaju (Melati Ehsan Consolidated Sdn Bhd) untuk menghentikan perobohan.
“Kami telah tegaskan bahawa terdapat satu persetujuan (untuk hanya merobohkan rumah kosong dan tidak didiami), tetapi mereka kata pemaju ‘tidak mengatakan begitu’,” dakwanya.
Justeru itu, dia menggesa Amirudin menjelaskan pendiriannya dengan mengeluarkan kenyataan umum yang mengarahkan pemaju mematuhi perjanjian yang sebelum ini telah dipersetujui oleh kerajaan negeri.

“Kami sudah cuba merayu kepada menteri besar, meminta beliau keluarkan kenyataan, tetapi nampaknya dia seperti bermain-main — kamu menteri besar negeri ini, ayuhlah,” kata Arutchelvan yang jelas kecewa.
Malaysiakini telah menghubungi Amirudin bagi mendapatkan maklum balas lanjut.
Exco Selangor Borhan Aman Shah sebelum ini berkata kerja-kerja perobohan hanya boleh dibuat terhadap rumah dan premis perniagaan yang tidak didiami, selaras dengan “penyelesaian berhemah yang telah dipersetujui”.
Seorang wakil pemaju yang berada di lokasi pula berkata mereka menerima arahan untuk mengosongkan rumah “seperti yang dinyatakan dalam perintah mahkamah”.

Adun Pandamaran Leong Tuck Chee, yang bercakap kepada wartawan di lokasi pada 12 Nov, melahirkan kekesalan terhadap keputusan pemaju meneruskan perobohan.
Katanya pada 21 Okt, dia menghadiri mesyuarat tergempar bersama menteri besar yang turut dihadiri wakil pemaju, pengarah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor serta beberapa wakil rakyat lain.
Dalam mesyuarat itu, katanya, diputuskan bahawa hanya rumah tidak didiami yang akan dirobohkan sementara rundingan pampasan masih berjalan.
Perkara berasingan
Arutchelvan berkata dia telah membuat laporan polis terhadap Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Ramli Kasa, berhubung dakwaan “konflik kepentingan” dengan Melati Ehsan.
Menurut salinan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Kajang tengah malam tadi, Arutchelvan mendakwa Ramli menunjukkan kelakuan yang “berat sebelah” memihak kepada syarikat yang menjalankan kerja-kerja perobohan.
Pemimpin PSM itu mendakwa bahawa pada 12 Nov dia menerima aduan bahawa Ramli meminta bailif mahkamah memotong bekalan elektrik di Kampung Papan — namun permintaan itu ditolak kerana 44 keluarga memiliki perintah penangguhan (stay order).

“Cadangan (Ramli) itu satu tindakan berniat jahat dan dibuat dengan niat buruk kerana itu bukan kerjanya.
“Dia sepatutnya memastikan ketenteraman dan keharmonian awam, bukan membuat cadangan untuk mempercepatkan kerja-kerja perobohan kerana itu tanggungjawab bailif dan pemaju,” kata Arutchelvan dalam laporan berkenaan.
Dia turut mendakwa bahawa walaupun Ramli menafikan perkara itu ketika ditanya, ketua polis daerah itu kemudian “mengarahkannya” ditahan di bawah Seksyen 186.
Ini, kata Arutchelvan berlaku walaupun dia “tidak pernah menghalang tugas (Ramli)”, sambil menegaskan bahawa keadaan di Kampung Papan ketika operasi pengosongan dan perobohan hanya menjadi “agresif dan kacau” selepas campur tangan Ramli.

Arutchelvan turut menyoal “kunjungan hormat” oleh Melati Ehsan kepada Ramli bulan lalu, dengan butiran pertemuan itu dimuat naik ke Facebook Polis Klang Selatan pada 7 Okt.
“Saya tidak faham mengapa polis Klang Selatan perlu menerima kunjungan hormat daripada syarikat korporat yang kepentingannya bercanggah dengan penduduk peneroka bandar Kampung Papan.
“Kami berpendapat polis boleh menerima kunjungan daripada wakil rakyat, kedutaan atau agensi kerajaan, tetapi apa rasionalnya kunjungan hormat oleh syarikat Melati Ehsan,” soal Arutchelvan dalam laporan polisnya.
Sehubungan itu, dia meminta Ramli digugurkan daripada semua tugasan melibatkan Melati Ehsan dan Kampung Papan, menegaskan pegawai lain yang “lebih adil dan neutral” perlu mengetuai pasukan semasa operasi perobohan.
Selain menggesa siasatan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC), dan SPRM, Arutchelvan turut mendesak siasatan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor atau Bukit Aman.
Malaysiakini telah menghubungi Ramli serta Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar bagi mendapatkan penjelasan mengenai dakwaan ini.
