Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AGC rayu sebahagian keputusan mahkamah hak 40% Sabah

Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memfailkan rayuan terhadap sebahagian keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bertarikh 17 Okt, yang mengarahkan kerajaan persekutuan mengadakan semakan semula bersama kerajaan Sabah berhubung geran khas 40 peratus seperti termaktub dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Dokumen yang dilihat oleh Malaysiakini menunjukkan notis rayuan itu telah difailkan di Mahkamah Rayuan pada 13 Nov.

AGC turut merayu terhadap dapatan mahkamah berhubung ketiadaan bukti yang menunjukkan wujudnya semakan berterusan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Tafsiran, penggunaan Perkara 112D

Selain merayu terhadap perintah mahkamah untuk mengadakan satu lagi semakan dengan Sabah, AGC turut merayu terhadap tafsiran dan penggunaan Perkara 112D Perlembagaan yang menjadi asas kepada perintah tersebut.

Perkara 112D memperuntukkan semakan secara berkala ke atas geran khas yang dibayar oleh kerajaan Persekutuan kepada Sabah dan Sarawak.

AGC merayu terhadap dapatan serta pengisytiharan mahkamah bahawa penggunaan kuasa oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah di bawah Perkara 112D merupakan salah guna kuasa dan pelanggaran kewajiban perlembagaan, serta terhadap keputusan mahkamah yang mendapati tiada bukti wujudnya semakan berterusan antara kedua-dua pihak.

Mereka juga merayu terhadap keputusan mahkamah yang mendapati perintah semakan geran khas yang diwartakan pada 20 April 2022, 24 Nov 2023 dan 27 Ogos 2025 sebagai tidak sah, tidak munasabah, tidak mengikut prosedur atau tidak seimbang.

“(Pemohon juga merayu terhadap) perintah supaya pemohon membayar hak yang dituntut sebagai ganti rugi perlembagaan atas pelanggaran Perkara 5 dan 13 Perlembagaan,” menurut dokumen itu.

Pada 17 Oktober lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Celestina Stuel Galid memutuskan kerajaan Persekutuan telah bertindak secara tidak sah dan melangkaui kuasa di bawah Perlembagaan kerana gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad.

Dia mengisytiharkan bahawa perintah semakan geran khas yang dikeluarkan bersama kerajaan Persekutuan dan negeri adalah tidak sah, ultra vires (melampaui kuasa) dan tidak munasabah.

Mahkamah juga mengeluarkan satu perintah mandamus yang mengarahkan kerajaan Persekutuan menjalankan semakan hasil yang baru dengan kerajaan Sabah di bawah Perkara 112D, serta mempersetujui hak 40 peratus Sabah bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021, dengan semakan dimulakan dalam tempoh 90 hari dan diselesaikan dalam tempoh 180 hari.

Susulan keputusan itu, Ewon Benedick meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, selepas satu ketetapan yang diluluskan oleh bahagian Upko pada 18 Oktober yang menggesanya berundur jika kerajaan memfailkan rayuan.

Pada 11 November lalu, AGC memaklumkan pihaknya tidak akan merayu terhadap hak 40 peratus hasil itu, sebaliknya rayuan hanya membabitkan sebahagian daripada penghakiman tersebut.

Dua hari kemudian, Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut mengulangi kenyataan AGC, menegaskan bahawa dia tidak mahu isu itu dijadikan polemik politik.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS