Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam persoal ulasan Caprice mengenai kes anak guamnya

Peguam kepada pakar transformasi dan jurulatih high performance terkenal, Murad Zaidi, mempersoalkan tindakan penyanyi rap dan personaliti media sosial, Ariz Ramli atau Caprice, yang didakwa mengulas perkembangan kes mahkamah melibatkan anak guamnya di media sosial.

Menurut peguam Muhammad Aizzat Mustafa, tindakan membuat ulasan awam mengenai kes yang masih dalam proses mahkamah adalah tidak wajar dan boleh menimbulkan persepsi salah dalam kalangan masyarakat.

"Kes di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan ini masih berada di peringkat pra-perbicaraan. Tiada keterangan diambil, tiada saksi dipanggil, dan mahkamah belum mendengar apa-apa bukti.

"Dalam keadaan ini, ulasan awam yang memberi gambaran seolah-olah sesuatu fakta sudah diputuskan boleh menimbulkan prejudis," katanya kepada Malaysiakini.

Sebelum ini, Murad atau nama sebenarnya Syed Mohammad Murad Syed Naseem didakwa mencederakan bekas kakitangannya dan mengaku tidak bersalah.

Pada 4 Ogos lalu, dia memfailkan saman fitnah terhadap Caprice, mendakwa pempengaruh itu memuat naik hantaran palsu serta berniat jahat yang menggambarkan dirinya terbabit dalam aktiviti jenayah dan jenayah terancang.

Akibat hantaran yang dimuat naik itu, plaintif mendakwa reputasi dan maruahnya tercemar dan menyatakan defendan mempunyai pengaruh besar di Instagram dengan lebih 1.5 juta pengikut.

Pada 9 Nov, Caprice bersetuju menarik balik sembilan kenyataan yang didakwa memfitnah jurulatih berkenaan yang diterbitkan dalam akaun Instagramnya.

Caprice juga berjanji untuk tidak menerbitkan semula, mengedar atau menyebarkan mana-mana kenyataan tersebut dalam apa jua bentuk.

Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi merekodkan perintah persetujuan supaya Caprice segera menurunkan kenyataan terhadap Murad.

Perintah itu yang direkodkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Avinder Singh, kelmarin, melibatkan sembilan kenyataan didakwa berunsur fitnah terhadap Murad yang dimuat naik dalam Instagram defendan (Caprice) antara Julai dan Ogos 2025.

Susulan persetujuan berkenaan, Murad menarik balik permohonan injunksi interimnya tanpa perintah mengenai kos.

Dalam pada itu Aizzat menegaskan bahawa anak guamnya berhak mendapatkan proses kehakiman yang adil tanpa dipengaruhi sebarang naratif di media sosial.

"Untuk mengelakkan kekeliruan, anak guam saya tidak pernah membuat ulasan yang menyentuh fakta prosiding atau menentukan apa-apa dapatan berkaitan kes tersebut.

"Sebarang kenyataan umum dia sebelum ini adalah mengenai dirinya secara peribadi dan tidak berkait dengan perjalanan perbicaraan," katanya lagi.

Tambahnya, pandangan masyarakat perlu berasaskan fakta yang dibuktikan di mahkamah, bukan ulasan atau spekulasi di media sosial.

Terdahulu, Murad membuat laporan polis terhadap Caprice di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Malaysiakini masih menunggu pengesahan daripada IPD Dang Wangi, manakala usaha mendapatkan ulasan Caprice tidak berhasil selepas peguamnya memaklumkan bahawa pihaknya tidak akan mengeluarkan kenyataan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS