Ketika kali pertama kakinya melangkah ke penjara, matanya tertangkap suasana yang tidak pernah dibayangkan. Di depannya adalah 'lautan' manusia yang berpakaian serba ungu gelap.
Di Penjara Kajang itu Cik Shaz (bukan nama sebenar) hanya dikenali dengan nombor badan yang diberikan kepadanya.
Dia juga merupakan banduan wanita akhir yang dihukum gantung sampai mati oleh mahkamah selepas disabitkan bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sabitan itu berlaku pada 2019.
Sebelum itu pada 2015, katanya, sebagai tahanan yang dibicarakan dia ditempatkan di sel sementara bersama 30 hingga 40 tahanan lain untuk tujuan pengasingan dan penapisan sebelum diasingkan ke sel yang lebih kecil memuatkan 10-14 banduan.
Di situ dia terpaksa berpanas dan berdepan dengan suasana sel yang bising. Ketika tidur mereka terpaksa berhimpit-himpit di atas lantai simen. Malah kerana ruang yang terhad ada antara tahanan yang terpaksa tidur sambil duduk.
Menurut Cik Shaz, hidup dalam penjara memang tiada pilihan. Dia terpaksa belajar menggunakan tandas terbuka, makan apa saja yang ada, mesti pandai digunakan secara berjimat, selain tahu menjaga ruang serta barang sendiri.
Tidak kurang penting, dia perlu menjaga emosi sendiri.
Jika ada gangguan bekalan air di penjara, mereka terpaksa mengangkut sendiri air dari tingkat bawah ke sel masing-masing di tingkat tiga. Dalam setiap sel, boleh ada sehingga 40 tahanan ditempatkan dan semua hanya diberikan satu tong air.
Lihat tahanan bergelut sendirian
Itulah yang perlu digunakan secara berhati-hati kerana ia tidak akan ditambah sehingga keesokan hari.
“Mungkin ada yang tak percaya jika saya beritahu, dengan segayung air kami mampu gunakan untuk menggosok gigi, mandi, buang air dan berwuduk,” katanya.
Cik Shaz turut menceritakan keadaan sel yang kotor dan berbau busuk.
Menurutnya dia hidup dalam dalam keadaan amat jerih dan tidak ada pilihan. Sesekali dia berdepan dengan sikap individu tertentu yang seperti sengaja membuli mental tahanan. Misalnya ada yang melempar najis ke luar bilik.
Bagaimana untuk mengatasi bau busuk itu? Mereka 'menutupnya' dengan buih sabun.
“Banyak kali juga saya hampir pengsan kerana terlampau busuk dan panas, namun lama-lama alah bisa tegal biasa," katanya.
Dia juga berkata ketidakadilan dan buli adalah perkara biasa dalam penjara.

Pemandangan bekas penagih yang bergelut untuk menahan sakit ketagihan dadah juga adalah perkara biasa. Mereka akan dibiarkan begitu saja.
Namun, kata Cik Shaz, pengalaman getir itu mengajar dia untuk lebih bersabar dan bertoleransi.
“Saya menganggap ini adalah kifarah atas dosa-dosa saya," katanya semasa berkongsi pengalaman dalam sesi meja bulat Pengalaman Sebenar Mereka Yang Terjejas dan Terpengaruh Oleh Dadah sempena Sidang Kemuncak Dasar Dadah 2025 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bercerita lanjut, Cik Shaz mengisahkan bagaimana hidupnya semakin 'gelap' selepas mahkamah menetapkan hukuman gantung ke atasnya. Pakaian juga sudah berbeza daripada sebelum itu.
Jika semasa waktu awal di penjara, pakaiannya ialah serba ungu, namun selepas menjadi 'banduan akhir' dia diberikan pakaian putih dengan lengan merah.
“Pada hari itu, saya hampir gila. Saya tak boleh terima saya dikenakan hukuman gantung,” katanya.
Sebagai banduan yang menunggu pelaksanaan hukuman mati, dia ditempatkan di blok khas. Ia adalah kawasan yang sunyi dan sangat menakutkan kepada para tahanan lain.
Dirantai bagai penjenayah bahaya
Pun begitu ada rahmat yang tersembunyi - dalam sunyi itulah Cik Shaz menjadi lebih dekat kepada Tuhan. Dia juga semakin tekun beribadah.
Ketika sunyi semakin mencengkam, dia selalunya akan bercakap dengan dinding. Pada waktu lain dia menghabiskan masa dengan menulis pada buku yang dibekalkan oleh pihak penjara.
Ketika makan di tempat lawatan, katanya, kadang-kadang dia terpaksa menggunakan sebelah tangan kerana tangan kanan tetap digari di kerusi.
“Kalau kebetulan kena makan guna tangan kiri, selalunya saya akan tinggal saja sebab tak mahu rasa terhina,” katanya.
Sementara itu semasa ditempatkan di blok banduan akhir juga Cik Shaz juga berdepan dengan pengalaman tersendiri apabila dipakaikan dengan gari baru untuk penjara.
Malah dia merupakan banduan akhir wanita pertama dipakaikan peralatan tersebut.

Ia amat ketat di tangan, manakala rantainya rapat di sekeliling perut dan bersambung ke kaki yang juga bergari. Apabila berjalan dia terpaksa menyeret kakinya melewati banduan-banduan lain.
Ketika itu ada yang ketawa melihat keadaan itu.
“Mereka melihat saya seolah-olah saya penjenayah berbahaya,” katanya.
Diringkaskan kisah, Cik Shaz akhirnya menemukan sinar baru dalam hidupnya apabila Mahkamah Persekutuan di Putrajaya menerima rayuan yang dikemukakan. Pada Nov 2022 dia dilepaskan dan dibebaskan dari semua pertuduhan.
“Itu adalah pengalaman paling indah dalam hidup saya,” katanya.
Nekad tak mahu masuk lagi
Namun, kehidupan selepas bebas dari jeriji besi tidak semudah yang disangka. Selepas sudah lama terkurung, katanya, dia hanya mahu memulakan hidup baru yang lebih baik.
Pun begitu suasana di luar penjara berbeza. Dia memerlukan masa dan ruang tersendiri untuk membiasakan diri.
“Saya juga boleh berasa penat walaupun hanya dengan melihat orang,” katanya.
Menurut Cik Shaz, dia mengambil masa hampir setahun untuk membiasakan diri dengan perubahan dunia luar, manakala mencari pekerjaan merupakan cabaran terbesar dalam hidupnya selepas bebas.
Dia banyak kali ditolak kerana rekod jenayahnya. Dia juga kurang yakin untuk mencari kerja kerana stigma masyarakat yang terpaksa dia lalui.
Tidak cukup dengan itu, dia juga pernah ditipu beberapa kali ketika mencari kerja melalui dalam talian malah pernah ditipu oleh rakan sendiri.
Untuk mengatasi masalah itu dia pernah cuba mendapatkan bantuan melalui perkhidmatan kaunseling, sama ada di jabatan kerajaan atau pihak lain yang menawarkan khidmat sebegitu.

"Masalahnya, ia bukanlah pengalaman yang melegakan kerana biasanya orang akan menghakimi saya sejak awal.
"Sebab itu saya nekad tidak mahu lagi ke situ untuk kali kedua," katanya.
Menurut Cik Shaz, mungkin itu adalah antara punca penjara semakin sesak dan ramai bekas banduan berulang kali masuk penjara.
Hakikatnya, kata Cik Shaz lagi, ramai bekas banduan mahu memulakan hidup baru namun 'penat' untuk berdepan dengan persepsi masyarakat yang menganggap mereka sampah, lalu kerap disisihkan.
“Ada yang cakap pada saya, lebih baik masuk penjara daripada tidur tepi jalan. Mereka seolah-olah dipenjara di dunia luar pula.
“Saya percaya semua orang layak diberikan peluang kedua,” katanya.

Namun keadaan buat Cik Shaz berubah selepas dia bertemu dengan NGO Hayat yang menyediakan sokongan kepada bekas banduan tanpa menghukum atas sejarah silam mereka.
Justeru, dia berharap kerajaan lebih membuka mata terhadap nasib bekas bantuan wanita yang ingin berubah dan baru mengenal dunia selepas sekian lama dikurung.
Apa yang diperlukan, katanya, ialah terwujudnya agensi yang mempunyai khidmat kaunseling, bimbingan, asuhan kemahiran serta keperluan lain untuk mereka.
“Kami berharap akan ada yang memimpin tangan kami untuk mencari arah dan menghargai kebebasan,” katanya.
