Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | RUU PSB: Apa kata perunding perancangan bandar?

Selepas Konvensyen Bandar Umno baru-baru ini, timbul semula dakwaan bahawa Rang

Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) diwujudkan untuk memusatkan kuasa dan memberikan kelebihan mutlak kepada menteri perumahan dan kerajaan tempatan.

Sebagai salah seorang yang dirujuk semasa proses penggubalan RUU ini, saya ingin menjelaskan bahawa dakwaan tersebut tidak tepat. RUU PSB bukan bertujuan memusatkan kuasa atau memperkasakan menteri, sebaliknya mewujudkan kerangka berasaskan bukti bagi menyelesaikan isu yang lama membelenggu negara.

Ini termasuk perumahan terbengkalai, bangunan uzur, serta kawasan kediaman yang tidak lagi selamat dan kondusif untuk didiami. Kerangka ini akan menambah baik tadbir urus bandar melalui penjelasan peranan antara pihak berkuasa perancang dan PBT, serta memperkenalkan mekanisme semak imbang dan libat urus pemilik.

Ini penting bagi memastikan penduduk tidak terpinggir sekiranya pembangunan semula kawasan mereka dilaksanakan kelak. Kuasa yang ada hanya terhad kepada memberikan keputusan (bersama dengan ahli jawatankuasa eksekutif) dalam menentukan sama ada sesuatu kawasan itu perlu pembangunan semula, penyegaran, penjanaan atau dikekalkan sahaja.

Pembaharuan yang memperkasa penduduk

Sebelum wujudnya RUU baharu ini, ada kerajaan negeri dan PBT telah membuktikan bahawa projek berkonsepkan pembaharuan semula perumahan boleh dijalankan tanpa menindas penduduk.

Contohnya terbaik adalah projek pembangunan semula 1Razak Mansion di Salak Selatan dan Flat Kerinchi oleh DBKL berjaya menaik taraf kehidupan komuniti bandar.

Di utara, projek Flat Mahsuri di Bayan Baru, Pulau Pinang oleh Lembaga Perumahan Negeri (LPNPP) juga menjadi model terbaik yang boleh dijadikan rujukan. Perumahan gantian yang merupakan pampasan kepada penduduk telah dibina terlebih dahulu untuk didiami penduduk sebelum perobohan dilakukan. Dengan kualiti perumahan gantian yang lebih luas dan lebih kondusif, pendekatan ini juga dapat menjamin komuniti asal kekal di kawasan mereka tanpa perlu berpindah jauh dari penempatan sedia ada.

Projek sebegini menunjukkan bahawa pembaharuan boleh dilaksanakan secara kos efektif, terancang dan bersifat manusiawi. Prinsip ini jugalah yang ingin diperluas oleh RUU PSB di seluruh negara.

Bukan pemusatan kuasa

Usaha DBKL dan LPNPP terbukti berkesan, namun masih berdepan kekangan undang-undang dan kewangan. Di sinilah peranan Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan (JEP) yang diwujudkan bawah RUU PSB. Ia tidak bertujuan mengambil alih kuasa negeri, sebaliknya berfungsi sebagai pusat penyelarasan dan pemantauan bersama agar pelaksanaan lebih sistematik dan menyeluruh.

Selain dipengerusikan oleh menteri, JEP turut dianggotai oleh wakil exco negeri, PBT, ketua pengarah perancang bandar, dan pengarah tanah bagi memastikan keputusan bersama diambil dengan telus.

Kuasa berkaitan dengan hal ehwal tanah tetap terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Tanah Negara. Tambahan lagi, sebarang projek PSB yang dipersetujui di peringkat JEP masih memerlukan kelulusan kebenaran merancang (KM) di peringkat PBT, termasuk kelulusan pelan bangunan, pelan kejuruteraan dan kajian teknikal, sama seperti proses semasa.

Pendekatan ini memperkukuh semangat federalisme, bukan melemahkannya. Tidak timbul sebarang isu kerajaan persekutuan membelakangkan kerajaan negeri di dalam proses-proses kelulusan pembangunan berkaitan projek PSB sepertimana yang digembar-gemburkan di media-media sosial atau perdana.

Perlindungan dan hak penduduk 

Salah faham juga turut timbul mengenai ambang persetujuan yang ditetapkan pada 80 peratus. Perlu dijelaskan bahawa ambang tersebut bukan untuk memaksa pelaksanaan, pengambilan tanah atau penjualan hartanah, tetapi hanya sebagai langkah pertama bagi memulakan rundingan dan kajian pembaharuan. Persetujuan penuh atau seratus peratus tetap diperlukan sebelum sebarang projek dimulakan. Tambahan pula, undang-undang sedia ada berkaitan hak milik strata jelas memerlukan persetujuan 100 peratus untuk menamatkan skim strata, sebelum pembangunan semula dapat dimulakan.

Penduduk yang terlibat dijamin akan mendapat pampasan yang adil, bantuan pindah sementara (dalam bentuk rumah sementara dan wang sewaan) serta jaminan kembali ke tapak asal selepas projek siap, seperti yang telah dibuktikan dalam model yang dilaksanakan oleh pihak DBKL dan Pulau Pinang.

Perkara penting dalam RUU PSB juga menegaskan bahawa hak pemilik bumiputera dan komuniti bandar tidak terjejas. Mereka kekal dilindungi melalui prinsip pampasan setimpal dan penglibatan langsung dalam proses perancangan. Ia selari dengan semangat pembangunan inklusif dan berkeadilan yang diperjuangkan oleh pihak kerajaan.

Pendekatan seimbang dan berinformasi

Ada pandangan yang mencadangkan agar kerajaan menggubal semula RUU PSB. Namun, cadangan ini berisiko menafikan usaha selama lebih sedekad termasuk ratusan sesi libat urus dengan pemegang taruh, NGO dan badan profesional. Menangguhkannya hanya akan melambatkan pembaikan flat usang dan projek terbengkalai yang sedang diusahakan oleh pihak berkuasa tempatan, seperti DBKL dan kerajaan negeri.

RUU PSB bukan sekadar undang-undang teknikal. Ia adalah reformasi dasar perumahan bandar yang membawa kesinambungan, keseragaman dan perlindungan penduduk di seluruh negara. 

Akta ini juga akan memastikan keadilan dapat dinikmati oleh semua pihak, terutamanya pemilik rumah/petak terbabit.

Sebagai rumusan projek berkaitan, pembaharuan semula bandar yang telah dilaksanakan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang membuktikan bahawa kemajuan boleh dicapai tanpa memudaratkan penduduk asal. RUU PSB akan memantapkan model pembangunan semula di seluruh negara melalui pendekatan yang lebih sistematik, telus dan saksama.

Penolakan RUU PSB dikhuatiri akan menyebabkan usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup dan keselamatan penduduk bandar akan tergendala. Ia juga bermakna menafikan hak rakyat untuk menikmati kediaman yang lebih selesa, berkualiti dan bernilai tinggi pada masa depan.


HALIM HASSAN adalah seorang perunding perancangan bandar.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminka pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS