Kerusi Moyog menyaksikan pertembungan di antara calon PKR-PH dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di sebalik persefahaman awal yang diumumkan di antara kedua-dua parti.
PH diwakili calon PKR, Remystar Taylor, yang tiba lebih awal di pusat penamaan hari ini. Dia bagaimanapun enggan mengulas keputusan parti meletakkannya untuk mencabar kerusi di bawah kawasan parlimen Penampang itu.
“Saya rasa ini keputusan saat-saat akhir,” katanya ringkas ketika melangkah masuk ke dewan penamaan.
Penampang dilihat antara kawasan yang bakal menyaksikan pertembungan paling sengit pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini. Ia melibatkan dua kerusi DUN iaitu Moyog dan Kapayan.
Dalam dua pilihan raya sebelum ini, Moyog dimenangi oleh Warisan melalui Jenifer Lasimbang pada 2018 dan Derell Leking (2020).
Bagaimanapun Derell tidak bertanding untuk mempertahankan kerusi tersebut - yang dimenanginya dengan majoriti 5,935 undi.
Di Kapayan, PH diwakili DAP melalui calon mereka, Jannie Lasimbang, yang memenangi kerusi berkenaan sejak 2018.
Selain di Moyog, PH juga dijangka bertembung dengan GRS di beberapa kerusi lain, termasuk Kadamaian di Kota Belud dan Bandau di Kota Marudu.
Di Bandau, difahamkan PKR akan meletakkan ketua bahagian mereka, Zaidi Jaitil, menentang calon GRS–Gagasan Rakyat, Redonah Bahanda.
Belum jelas siapa calon PKR di Kadamaian.
Pada asalnya dalam rundingan terdahulu PH diperuntukkan sebanyak 23 kerusi sebelum GRS mengumumkan calon mereka di 55 kawasan, diikuti 18 oleh PH.
Ia kemudian menyediakan ruang untuk penambahan saat akhir di antara kedua-dua gabungan — yang akhirnya membawa kepada beberapa pertindihan hari ini.
Semua calon bagi 73 kerusi negeri perlu menghantar borang pencalonan sebelum 10 pagi. Pegawai pengurus pilihan raya di setiap kawasan kemudian akan mengumumkan senarai calon yang layak.
SPR berkata sehingga Khamis, sebanyak 3,334 borang pencalonan untuk terjual, dengan 2,414 set dijual oleh Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah dan 920 set melalui pejabat pegawai pengurus.
