ULASAN | Dalam dunia demokrasi moden, suara yang berbeza bukanlah ancaman, bahkan ia lambang kematangan. Namun apabila perbezaan itu mula berbaur keraguan dan nadanya menjadi terlalu lantang tanpa kesatuan matlamat, ruang yang terbuka luas untuk memperkukuh parti dan institusi boleh berubah menjadi medan perpecahan.
PKR bukan gerakan politik yang asing dengan kepelbagaian pandangan.
Ia lahir daripada semangat reformasi yang meraikan idealisme dan perbezaan. Tetapi pada saat genting – ketika kerajaan memerlukan kestabilan dalaman – keutuhan barisan lebih utama berbanding kelebihan individu.
Rafizi Ramli ialah antara sosok penting yang membentuk hala tuju dan strategi parti.
Dia mewakili arus reformis yang kritikal tetapi konstruktif, dan memiliki keupayaan intelektual yang diyakini rakyat. Pandangannya berkenaan perjanjian perdagangan Malaysia dengan AS – termasuk gesaan agar ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja – mencerminkan keberanian yang sukar ditemui dalam kalangan ahli politik biasa.
Namun apabila kritikan itu lahir daripada ahli parlimen kerajaan, ia mengundang dilema yang sukar dielak.
Soalnya, bagaimana mempertahankan idealisme tanpa menjejaskan solidariti?
Tak boleh ulang sejarah
Perbezaan pendapat tidak pernah menjadi suatu kesalahan, tetapi disiplin kolektif tetap perlu diutamakan. Saluran dalaman wajar menjadi medan utama menyuarakan kebimbangan.
Ini bukan persoalan menyekat suara, tetapi usaha menjernihkan persepsi rakyat yang kini semakin resah apabila isyarat dari dalam tampak bercanggah.
Meskipun Rafizi tidak memegang jawatan tinggi selepas pemilihan parti baru-baru ini, penghormatan daripada ahli PKR terhadap peranannya tidak pernah pudar. Malah pengalaman dan sumbangannya terus disegani.
Strategi masa hadapan memerlukan bukan hanya wajah yang dikenali, tetapi pemikiran matang yang bersedia menghadapi realiti. Rafizi memenuhi kedua-dua kriteria itu.
Kini yang lebih utama ialah penyatuan. Masa telah tiba untuk mengetepikan perbezaan kecil demi kesinambungan perjuangan. Kita tidak boleh mengulangi sejarah apabila percakaran dalaman membuka ruang kepada pihak yang tidak pernah mengutamakan rakyat.

Rafizi bersama Nurul Izzah Anwar dan barisan kepimpinan utama PKR merupakan paksi yang berpotensi mengangkat semula parti ke fasa kematangan sebenar.
Tetapi ia hanya dapat dicapai jika semua pihak bersedia untuk kembali bertaut dan bergerak dalam satu irama yang sama.
Perbezaan yang berlaku hari ini belum lagi sampai ke tahap membinasakan, tetapi jika dibiarkan, ia akan menghakis kekuatan yang dibina selama lebih dua dekad.
Sebagai anggota baru, saya menyeru kepada semangat penyatuan, bukan untuk menenggelamkan perbezaan tetapi untuk menyalurkan segala kekuatan itu ke arah yang membina dan bermanfaat.
Aspirasi rakyat keseluruhan
Apa yang rakyat harapkan bukanlah siapa yang paling lantang, tetapi siapa yang paling bersedia memimpin dengan senyap dan berkhidmat sebagai satu pasukan.
Anwar Ibrahim memerlukan sokongan padu dalam menongkah arus politik tanah air. Semua maklum bahawa PKR tidak menang sepenuhnya dalam pilihan raya lalu.
Banyak kompromi terpaksa dilakukan demi kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat. Ia seharusnya menjadi motivasi untuk menggandakan usaha menjelang PRU yang akan datang.
Sudah tiba masanya untuk mengangkat semula nilai perjuangan, memperkukuh parti dan memperkasa institusi.
Kepimpinan yang bersatu bukan pilihan, ia suatu keperluan demi negara, dan demi masa depan.
Saya mungkin masih baru dalam perjuangan ini, tetapi aspirasi yang saya bawa mewakili bukan saja anggota parti, malah rakyat keseluruhannya. Mereka sudah bosan dengan konflik sesama pemimpin yang tiada berkesudahan.
MAHATHIR MOHD RAIS ialah bekas setiausaha Bersatu Wilayah Persekutuan dan kini menjadi ahli PKR.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
