Penamatan khidmat Maimunah Mohd Sharif sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur secara lebih awal membangkitkan semula seruan untuk reformasi pentadbiran ibu kota, dengan Anggota Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad menggesa kerajaan untuk memberi penjelasan berkenaan perkara itu.
Nik Nazmi juga berkata penyertaan awam dalam pentadbiran Kuala Lumpur perlu ditingkatkan.
Dalam kenyataan semalam, dia mempersoal mengapa tempoh khidmat Maimunah - yang pada asalnya ditetapkan sehingga Ogos 2026 - dipendekkan.
“Tempoh perkhidmatan Datuk Bandar tidak wajar dipendekkan tanpa alasan kukuh.
“Kerajaan Persekutuan mestilah memberi penjelasan mengapa gangguan di dalam pentadbiran Kuala Lumpur begitu mendesak,” katanya.
Maimunah dilantik menjadi Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 15 Ogos 2024, bagi menggantikan Kamarulzaman Salleh yang bersara wajib.
Perancang bandar profesional berusia 64 tahun itu sebelum ini pernah menjadi pengarah eksekutif UN-Habitat di Nairobi, Kenya selama ena tahun. Dia merupakan wanita Asia pertama yang memegang jawatan itu.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata perkembangan itu menekankan keperluan untuk mereformasikan pentadbiran Kuala Lumpur.
“Buat masa ini warga kota tiada suara di dalam pentadbiran ibu kota, dengan kuasa tertumpu di tangan seorang Datuk Bandar, yang lazimnya dilantik daripada kalangan penjawat awam,” katanya.
Pada Ogos 2025, katanya lagi, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang terdiri dari wakil rakyat kerajaan dan pembangkang mencadangkan pelantikan ahli Majlis untuk DBKL - seperti kerajaan tempatan di negeri-negeri lain.
“Pada waktu itu, beberapa anggota Parlimen Kuala Lumpur dan saya sendiri mendesak agar pilihan raya kerajaan tempatan dikembalikan.
“Saya masih berpendirian yang sama seperti sebelum ini, bahawa inilah langkah terbaik untuk memastikan akauntabiliti dan prestasi yang lebih baik dalam tadbir urus ibu kota yang telah mencapai status maju,” katanya lagi.
Dia turut membangkitkan manifesto PH bagi PRU 2022, yang menyatakan komitmen untuk meningkatkan penyertaan rakyat dan demokrasi dalam DBKL.
Dia menolak tanggapan pilihan raya kerajaan tempatan akan mencetuskan ketegangan kaum.
“Ia tidak berasas. Malah ramai tidak sedar masyarakat Bumiputera mewakili kelompok terbesar di ibu kota, hampir separuh daripada jumlah penduduk Kuala Lumpur.
“Justeru tiada lagi alasan munasabah untuk terus menangguhkan perkara ini,” katanya lagi.
