Selepas tidak dinamakan sebagai calon oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS), penyandang kerusi DUN Pintasan, Fairuz Renddan dijangka bakal dipecat daripada partinya - Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) - apabila memutuskan untuk mempertahankan kerusi itu sebagai calon bebas.
Fairuz, 37, bakal berdepan Presiden Usno, Pandikar Amin Mulia yang merupakan calon GRS, serta calon-calon lain.
Bekas ketua pemuda Gagasan itu tiba di pusat penamaan calon di Kota Belud pagi ini, diiringi sekumpulan penyokong yang kebanyakannya berpakaian hitam.
Sementara itu, dua lagi anggota Gagasan juga bertanding sebagai calon bebas, iaitu Roland Chia di Inanam dan Maijol Mahap di Bandau.
Dalam pilihan raya negeri (PRN) lalu, Fairuz menang kerusi DUN Pintasan dengan majoriti 84 undi, menewaskan Pandikar dan empat calon lain.
Terdahulu, Setiausaha Agung Gagasan, Mohammad Razali Razi berkata tindakan bertanding atas tiket bebas bercanggah dengan pendirian dan keputusan parti sebagai komponen GRS.
“PGRS menegaskan bahawa mana-mana individu yang memilih untuk bertanding sebagai calon bebas tidak mempunyai sebarang kaitan dengan parti atau mana-mana pemimpinnya, walaupun mereka merupakan ahli Gagasan.
“Sehubungan itu, parti telah memutuskan untuk memecat serta-merta mana-mana ahli yang melanggar arahan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Kita mesti memastikan kemenangan calon-calon GRS demi masa depan dan kepentingan rakyat Sabah,” katanya lagi.
Sementara itu, di Kukusan, seorang lagi penyandang daripada GRS, Rina Jainal, turut mengemukakan borang pencalonan sebagai calon bebas bagi menentang calon gabungan itu, Samsiah Usman, serta lapan lagi calon lain.
Pada Khamis lalu, Rina mengumumkan keluar daripada komponen GRS, Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), susulan penggantungan selama tiga tahun yang dilaporkan berkaitan dengan dakwaan pelanggaran disiplin parti.
