Polis menahan dua lelaki berusia 24 dan 28 tahun bagi membantu siasatan kes penderaan seekor beruk di Bachok, yang tular di media sosial seminggu lalu.
Ketua Polis Daerah Bachok Supt Mohamad Ismail Jamaluddin berkata kedua-dua lelaki itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok kira-kira jam 10 malam semalam selepas hadir memberi keterangan.
“Polis menahan kedua-dua suspek selepas mereka hadir di balai untuk dirakam percakapan berkaitan video tular sejak beberapa hari lepas. Mereka kini direman empat hari sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Ismail berkata siasatan awal mendapati rakaman video yang tular memaparkan seekor beruk ditampar, dirantai dan dipukul beberapa kali.
Ia dirakam oleh rakan pengadu sebelum dimuat naik ke platform media sosial termasuk TikTok, Facebook dan Instagram mencetuskan reaksi negatif serta kecaman netizen.
Katanya pengadu didapati tidak memiliki sebarang lesen atau permit sah daripada pihak berkuasa veterinar untuk menjaga atau melatih haiwan berkenaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953 kerana penderaan terhadap haiwan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penyebaran kandungan jelik melalui media sosial.
“Polis turut merampas satu telefon bimbit dan seekor beruk jantan, yang telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
- Bernama
