Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan DR Congo, M23 meterai kerangka damai di Qatar
Diterbitkan:  Nov 16, 2025 9:12 AM
Dikemaskini: 1:12 AM

Kerajaan Republik Demokratik Congo (DRC) dan kumpulan penentang March 23 Movement (M23) menandatangani satu kerangka damai di Doha pada Sabtu hasil pengantaraan Qatar dan Amerika Syarikat, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Menteri Negara di Kementerian Luar Qatar, Mohammed Al-Khulaifi berkata perjanjian yang dikenali sebagai "Doha Framework for Comprehensive Peace" itu menjadi asas kepada keamanan dan kestabilan antara Kinshasa dan M23.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, Khulaifi berkata usaha kini tertumpu kepada menterjemahkan kerangka damai kepada kemajuan konkrit di lapangan.

“Usaha sedang diteruskan bagi mencapai keamanan melalui mekanisme yang sesuai untuk melaksanakan perjanjian itu di Republik Demokratik Congo,” katanya.

Beliau juga menekankan kejayaan itu dicapai hasil usaha rakan-rakan yang diketuai Amerika Syarikat, Kesatuan Afrika dan Togo.

Khulaifi menyifatkan majlis menandatangani itu sebagai “detik bersejarah” yang meletakkan tanggungjawab kepada kedua-dua pihak untuk melaksanakan perjanjian berkenaan.

Peranan Qatar, bukan menyelesaikan semua pertikaian sekali gus, tetapi membentuk rangka kerja tersusun yang mengandungi protokol utama untuk rundingan, kata beliau.

Protokol itu merangkumi usaha memulihkan kuasa kerajaan, pembaharuan tadbir urus, aturan perkongsian kuasa nasional secara inklusif, isu identiti dan kewarganegaraan, kepulangan serta penempatan semula pelarian dan mangsa perpindahan dalaman, serta pemulihan ekonomi dengan perkhidmatan sosial yang lebih baik, kata Khulaifi.

Perjanjian damai komprehensif itu terdiri daripada dokumen kerangka dan lapan protokol — dua telah ditandatangani dan enam lagi akan dirundingkan dalam tempoh dua minggu dari tarikh kerangka itu ditandatangani.

Beliau berkata kedua-dua pihak turut bersetuju bahawa kerajaan Congo akan menubuhkan sebuah suruhanjaya bebas bagi mempromosi kebenaran, perdamaian dan kebertanggungjawaban terhadap jenayah, serta mengesyorkan pampasan sesuai sebagai sebahagian daripada proses keadilan peralihan.

“Struktur dan mandat suruhanjaya itu akan diselaraskan dengan perlembagaan serta undang-undang antarabangsa,” katanya.

Gerakan M23 telah memperluaskan kawalannya ke atas beberapa kawasan strategik di timur DRC tahun ini.

Pelbagai usaha pengantaraan serantau dan antarabangsa telah dijalankan termasuk yang terbaharu diketuai Amerika Syarikat, Qatar dan Kesatuan Afrika.

Pada 14 Okt lalu, Doha menjadi tuan rumah pemeteraian mekanisme pemantauan dan pengesahan gencatan senjata antara kerajaan DRC dan M23.

- Bernama-Anadolu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS