PRN SABAH | Anwar Ibrahim menolak spekulasi yang PH bercadang mahu “menguasai” Sabah, dan menegaskan gabungan itu tidak akan mencalonkan sebarang nama untuk mengisi jawatan ketua menteri dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
Bercakap di satu majlis makan malam di Kota Kinabalu malam tadi, Pengerusi PH itu berkata gabungan berkenaan tidak akan mengetuai kerajaan negeri, malah menegaskan tidak memiliki kerusi yang mencukupi pun untuk menubuhkan kerajaan secara sendirian.
Untuk rekod untuk PRN kali ini PH hanya meletakkan calon di 22 kerusi berbanding jumlah keseluruhan 73 yang ada di Sabah.
Untuk memperoleh majoriti mudah, pihak yang berkenaan perlu memenangi sekurang-kurangnya 38 kerusi.
“Kita tidak letak calon PH sebagai ketua menteri. Kamu pilihlah siapa kamu mahu (untuk bentuk kerajaan),” kata Anwar.
Sebelum ini, bekas Pengerusi PH Sabah, Ewon Benedick, menyuarakan kebimbangan bahawa Sabah boleh hilang kuasa tawar-menawar jika pengundi memilih pemimpin tempatan daripada parti nasional yang – dakwanya – bergantung kepada “presiden parti di seberang laut”.
Ewon mengetuai partinya, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) meninggalkan PH terkait isu tuntutan 40 peratus hasil persekutuan yang dikutip dari Sabah.
Upko juga meluahkan rasa tidak puas hati terhadap PKR yang didakwa cuba melemahkan kepimpinan parti berkenaan dalam PH Sabah.
Tak bantah keputusan mahkamah
Dalam ucapannya, Anwar menegaskan kali ini PH berperanan lebih sebagai kuasa penstabil, dengan memberikan fokus kepada aspek tadbir urus baik dan hubungan kerja yang kuat antara Sabah dengan kerajaan persekutuan.
“Pertama, kita jaga urus tadbir. Kita tidak mahu negeri ini dikenali dengan rasuah atau salah guna kuasa. Cukup-cukuplah… kita kerja betul, kerja bersama,” katanya.
Anwar yang juga perdana menteri berkata bilangan calon yang terlalu ramai di banyak kerusi dalam PRN Sabah menunjukkan wujud masalah dalam politik negeri itu.
Untuk rekod pertembungan paling ramai dalam PRN kali ini ialah adalah di Tulid apabila ia melibatkan 14 calon. Beberapa kerusi lain pula menyaksikan 11, 12 dan 13 calon bertanding.

“PRN kali ini,” katanya, “dalam satu kawasan (ada) 15, 15… 20 pun boleh,” katanya sambil ketawa dan menepuk dahi.
Namun nada Anwar kemudian kembali serius semula ketika mengulas keadaan itu.
“Apa benda ini? Ini menunjukkan ada masalah di sini,” katanya.
Menurut Anwar keadaan itu menunjukkan perlunya hubungan yang tersusun di antara Putrajaya dan Kota Kinabalu supaya pembangunan Sabah – yang dilihat berpotensi besar – tidak terganggu.
Nada ucapan Anwar malam tadi ketara lebih lembut berbanding gaya lebih tajam dan agresif dalam lawatan lebih awal dia ke Sabah minggu lalu.
Lawatan sebelum ini mencuri perhatian selepas satu insiden di Kota Kinabalu apabila Anwar dilihat seolah-olah memandang ringan perbezaan antara hak 40 peratus hasil, dan peruntukan Persekutuan kepada Sabah.
Mengulas terus isu panas 40 peratus hasil Persekutuan, Anwar menegaskan kerajaan pimpinannya tidak mencabar hak itu.
“Ini pertama kali kabinet kata ya, 40 peratus itu hak Sabah. Tak bantah,” katanya.
Menurut Anwar lagi memang ada pihak yang mempertikaikan langkah kerajaan membuat rayuan atas keputusan mahkamah berhubung isu berkenaan namun menasihatkan pihak terbabit agar membaca kenyataan berkaitan.
“Baca elok-elok, rayuan itu untuk satu kes lain, bukan yang 40 peratus,” tambahnya.
