Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Video saja tak memadai jadi bukti rasuah, kata Anwar

PRN SABAH | Anwar Ibrahim sekali lagi menekankan aspek kepatuhan prosedur dan perlunya bukti kukuh dalam sebarang kes rasuah semasa berkempen di Sabah ketika imej reformis PH tercalar akibat kerjasama mereka dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang kini berdepan pelbagai dakwaan rasuah.

Mengulas skandal melibatkan ahli perniagaan Albert Tei yang menyiarkan beberapa video mendakwa pemimpin GRS menerima rasuah bagi membantunya mendapatkan lesen penerokaan mineral, Anwar menegaskan bahan sebegitu semata-mata tidak mencukupi sebagai bukti.

Menegaskan dia memandang serius isu berkenaan, Anwar berkata, perbualan yang berkaitan dengan dakwaan rasuah belum menjadikan ia sebagai suatu kes sebaliknya perlukan lebih lagi.

“Kita kena buktikan ada pemindahan wang berlaku. Terbukti ada kes, mereka akan didakwa di mahkamah,” katanya dalam sesi pertemuan dengan wartawan di Kota Kinabalu hari ini.

Tei dan pasukan peguamnya telah menyerahkan lebih 300 halaman dokumen kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk yang didakwa sebagai jejak aliran wang, rekod bank, dokumen dan surat-menyurat sebagai bukti untuk menyokong dakwaan yang dibuat dalam video.

Daripada 14 ahli politik Sabah yang dikaitkan dalam video Tei, hanya dua setakat ini didakwa di mahkamah.

Mereka ialah Andi Muhammad Suryady dan Yusof Yacob. Tei turut didakwa memberi rasuah kepada mereka berjumlah RM500,000.

Andi dan Yusof adalah antara empat individu yang terpalit dengan dakwaan tersebut tetapi tidak bertanding dalam pilihan raya kali ini. Lagi 10 orang, termasuk ketua menteri sementara Hajiji Noor, mempertahankan kerusi masing-masing.

Anwar sebelum ini didakwa mengabaikan skandal tersebut kerana kerjasama politik yang dijalinnya dengan GRS.

Bagaimanapun Anwar yang juga Pengerusi PH menteri mendakwa sesetengah ahli politik mengamalkan kritikan terpilih dengan berkata kumpulan sama sebelum ini membisu ketika pemimpin peringkat nasional dikaitkan dengan skandal jauh lebih besar.

“Semasa saya tangani kes besar melibatkan bekas pemimpin dengan jumlah berbillion, kumpulan-kumpulan ini senyap. Kenapa senyap? Adakah mereka dibiayai golongan ini, atau ini semata-mata mainan politik?” katanya.

Anwar menambah, individu kaya sering mempunyai pengaruh tidak seimbang dalam membentuk perdebatan awam mengenai rasuah.

“Oleh sebab mereka kaya, mereka boleh bayar media, parti politik, NGO. Itu yang sedang berlaku,” katanya.

Anwar turut merujuk dakwaan bahawa bekas pembantunya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, diberikan puluhan ribu hektar tanah di Sabah, yang katanya sudah dibuktikan tidak benar selepas SPRM mengesahkan tiada geran tanah wujud.

Perkara ini, katanya, menunjukkan persepsi politik sering mendahului bukti.

Katanya sebaik mengetahui dakwaan tersebut dia terus menghubungi Hajiji untuk mendapatkan penjelasan selain SPRM namun didapati tiada sebarang kelulusan diberi.

Justeru, katanya, persepsi yang wujud dalam kalangan orang ramai dan realiti adalah perkara yang berbeza.

Pada peringkat awal, Farhash dan Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Farhash diberikan lesen penerokaan mineral.

Bagaimanapun didapati kemudian SMM sebenarnya memberi kebenaran bersyarat kepada syarikat terbabit untuk memohon lesen. Kebenaran tersebut kemudian ditarik balik selepas syarikat berkenaan gagal mengemukakan dokumen yang diperlukan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS