Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kumpulan Dolla kena tapisan selepas menteri agama tegur
Diterbitkan:  Nov 16, 2025 2:18 PM
Dikemaskini: 6:18 AM

Sebuah video muzik kumpulan wanita Malaysia, Dolla diturunkan selepas menerima kecaman, termasuk teguran daripada Menteri Hal Ehwal Agama Na’im Mokhtar kerana didakwa terlalu seksi.

Video muzik untuk lagu Question itu berlatarkan sebuah kafe retro dan memperlihatkan ahli kumpulan tersebut — Sabronzo (Wan Sabrina Wan Rusli), Tabby (Tabitha Ariel Lam) dan Angel (Angelina Chai Ka Ying) — bersemuka dengan seorang teman lelaki yang berlaku curang terhadap ketiga-tiga mereka.

Dalam video berkenaan, kumpulan itu kebanyakannya memakai halter neck top dengan bahagian badan berpotongan korset dipadankan dengan skirt mini manakala dalam satu babak lain mereka mengenakan pakaian yang menampakkan bahu dan bahagian perut.

Video itu diterbitkan pada 6 Nov lalu, dan tidak lama selepas itu menerima kecaman konservatif di media sosial berhubung pakaian mereka — termasuk kritikan khusus terhadap Sabronzo kerana berpakaian sedemikian walaupun beragama Islam.

Semalam, Na’im ketika ditemui media menyifatkan pakaian kumpulan itu sebagai tidak sesuai dan tidak menghormati sensitiviti budaya serta agama. Menteri itu turut mencadangkan untuk mempertimbangkan tindakan undang-undang syariah terhadap ahli kumpulan yang beragama Islam.

“Dari sudut tindakan itu kita akan lihat (terlebih dulu) kalau ada pelanggaran kepada mana-mana peraturan, enakmen dan jenayah syariah...tindakan jenayah syariah dalam penelitian kita,” katanya seperti dipetik Berita Harian semalam.

Na’im turut berkata dia akan menggesa Jakim dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan supaya menilai semula garis panduan pemakaian untuk selebriti Muslim.

Dia mengingatkan selebriti Muslim di Malaysia perlu sedar akan tanggungjawab mereka sebagai figura awam, lebih-lebih lagi kerana mereka menjadi idola ramai, termasuk golongan muda.

“Bila kita jadi idola dan ikutan, sebagai orang Islam tentunya kena pastikan setiap perbuatan (kita) akan mendapat pahala dan boleh bawa golongan muda ke arah kebaikan.

"Harapan saya agar golongan selebriti ini dapat tunjukkan contoh terbaik, patuhi peraturan kehidupan sebagai orang yang beragama Islam dan ikutlah adab kita di sebelah timur ini,” tambahnya.

Respons ini dilihat menjadi punca terakhir yang membawa kepada penurunan video muzik tersebut.

Malam tadi, Universal Music Malaysia mengeluarkan kenyataan memaklumkan pihaknya telah menurunkan video itu sambil memohon maaf atas kelemahan dalam mengambil kira sensitiviti budaya.

Pengarah Urusannya, Kim Lim, berkata keputusan menurunkan video berkenaan dibuat berdasarkan maklum balas masyarakat selepas mereka menilai semula kandungan produksi tersebut.

“Sebagai sebuah syarikat rakaman yang beroperasi dalam ekosistem majmuk seperti Malaysia, kami sentiasa menghormati nilai budaya, sensitiviti agama dan pandangan peminat.

“Kami ambil serius semua maklum balas dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang kekhilafan yang berlaku.

"Kami percaya bahawa kreativiti dan ekspresi seni perlu seiring dengan kepekaan terhadap norma setempat. Oleh itu, keputusan untuk menurunkan video muzik terbabit adalah langkah yang wajar demi menjaga keharmonian dan rasa hormat semua pihak," katanya pada kenyataan semalam.

Syarikat itu turut menegaskan komitmen untuk memastikan semua projek masa depan melalui proses semakan yang lebih ketat, termasuk perbincangan dalaman dan rundingan profesional, bagi mengelakkan isu serupa daripada berulang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS