Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Nota Editor: Versi awal artikel ini melaporkan MIC setuju untuk keluar dari BN. Kesilapan tersebut amat dikesali.

Perhimpunan Agung Tahunan MIC memutuskan untuk menangguhkan keputusan sama ada untuk kekal dalam BN atau keluar dari gabungan itu.

Perwakilan juga bersetuju untuk menyerahkan kepada presiden, SA Vigneswaran, serta jawatankuasa kerja pusat (CWC) parti untuk membuat keputusan itu.

Terdahulu, timbalan presiden MIC M Saravanan membentangkan usul sama ada untuk keluar BN dan memohon menyertai PN atau tidak, yang kemudiannya dibahaskan perwakilan.

Bagaimanapun, perhimpunan agung hari ini setuju untuk menyerahkan perkara itu kepada kepimpinan parti.

Dalam sidang media selepas itu, Vigneswaran menjelaskan kekeliruan berhubung keputusan itu.

SA Vigneswaran

Vigneswaran berkata perwakilan pada mulanya menyokong usul agar parti keluar BN dan menyertai PN.

Bagaimanapun, seperti dalam laporan yang dibetulkan, dia berkata perkara itu terpulang kepadanya dan kepimpinan parti  — dan membayangkan kemungkinan besar mereka akan mengambil keputusan untuk keluar BN.

"Kalau dengar balik ucapan dasar saya, sudah pasti saya nak keluar BN. Tapi, itu pendirian peribadi saya.

"Tapi dalam MIC, kita tak buat ikut kehendak presiden macam parti lain. Kita mengikut mandat kolektif oleh akar umbi.

"Saya rasa langkah keluar dari BN adalah tentang siapa dan bila. Oleh itu, kami berterima kasih kepada para perwakilan kerana memberi kami peluang untuk membuat keputusan," katanya.

Mungkin PN, ‘mudah-mudahan’ PH

Berhubung hala tuju baru MIC, Vigneswaran berkata masih tiada keputusan berkenaannya.

"Kita ada banyak soalan yang perlu dijawab. Jadi, iniberi kami sedikit masa untuk menentukan jajaran baru," katanya lagi.

Vigneswaran berkata Akta Lompat Parti tidak terpakai jika MIC akhirnya bertindak keluar BN, memandangkan ahli Parlimen tunggalnya, iaitu Saravanan, kekal bersama parti.

Selain Saravanan, MIC juga memegang lima kerusi DUN, iaitu tiga di Johor, dan masing-masing satu di Melaka dan Pahang.

Sementara itu, Vigneswaran berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah meminta MIC mempertimbangkan semula keputusan tersebut.

"Kami jumpa PM pada Jumaat. PM adalah orang yang sangat jujur apabila berkaitan dengan hubungan saya dengan dia. 

"Dia bertanya kepada saya dan saya beritahu dia perkara sebenar (isu dalaman BN). Dia sangat terbuka mengenai perkara-perkara sebegini. Dia memahami penjelasan MIC. 

“Kami telah memberi gambaran sebenar bahawa kekangan kami bukan dari PN atau PH, tetapi dari BN,” katanya.

Ketika ditanya jika MIC sedia menyertai PH, Vigneswaran menjawab: "Mudah-mudahan".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS