Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pandikar kata kena sabotaj susulan seruan kalahkan ‘suami isteri tamak’

PRN SABAH | Keputusan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk meletakkan bekas Yang di-Pertua Dewan Rakyat Pandikar Amin Mula dan isterinya, Diana Diego terus mencetuskan drama.

Episod terbaru membabitkan pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan), Arsit Sedi yang menggesa agar Pandikar dan isterinya ditewaskan.

“Kasi ‘patah’ calon laki bini yang paling tamak yang mahu tanding guna logo GRS,” kata Arsit.

Pesanan teks itu dikongsikan di sebuah kumpulan WhatsApp GRS yang turut disertai Pandikar.

Tangkap layar pesanan teks itu, yang nampaknya daripada pihak presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), disebarkan di media sosial semalam.

Turut disebarkan adalah mesej audio selama dua setengah minit yang dihanta

r Pandikar sebagai membalas gesaan itu, di mana dia mengecam Arsit dan memberi peringatan kepada peserta agar tidak menggunakan kumpulan WhatsApp itu untuk meluahkan kemarahan politik.

“Ini kumpulan (WhatsApp) GRS…Arsit, apa yang anda cakap itu kurang ajar,” kata Pandikar.

Pandikar yang juga Presiden Usno kemudian mengemukakan cabaran kepada Arsit.

“Kalau berani, kita jumpa pada 17 haribulan, (ketika) pelancaran manifesto. Jumpa saya dan cakap di depan (saya),” katanya lagi.

Pandikar juga dirakam mengkritik “ketidakmatangan” Arsit dan malah mencadangkan agar kumpulan WhatsApp tersebut dibubarkan.

Ketika dihubungi, Pandikar tidak menafikan rakaman itu dan menuduh Arsit menyasarkan serangan terhadapnya.

“Ia bukan penghinaan. Ia sabotaj. Pertamanya ia penghinaan dan setara dengan sabotaj,” katanya kepada Malaysiakini.

Pandikar mendakwa mesej itu dirangka sebagai provokasi kepadanya dan Arsit kecewa kerana tidak dicalonkan dalam PRN kali ini.

Katanya lagi, Arsit berhasrat untuk bertanding di kerusi DUN Tanjung Keramat dan sepatutnya menyasarkan kekecewaannya kepada penyandang kerusi itu, Shahelmey Yahya, memandangkan adiknya, Shahalfie yang dicalonkan GRS di situ.

“Kenapa dia nak provokasi saya? Ini terancang. Anda tidak boleh bandingkan dengan politik saya…anda tahu cara politik saya.”

Pandikar berkata dia telah memanjangkan mesej-mesej tersebut kepada pemimpin kanan Gagasan, termasuk timbalan presiden, Masidi Manjun dan presiden, Hajiji Noor — yang juga dilaporkan ada dalam kumpulan WhatsApp itu.

“Saya telah hantar mesej kepada Masidi, kata ini keterlaluan dan tindakan akan diambil. Saya juga beritahu Hajiji,” tambahnya.

Pandikar menafikan dakwaan yang dia dan isterinya — masing-masing bertanding di Pintasan dan Sekong — telah mendesak untuk dicalonkan.

“Isunya bukan saya memilih diri sendiri atau memilih Diana. Keputusan dibuat oleh pemimpin GRS. Setiap individu telah disaring dan ada peluang untuk menang,” katanya.

Arsit dilaporkan telah dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp itu dan enggan memberi komen ketika dihubungi.

Kontroversi ini berlaku kurang 24 jam sebelum GRS melancarkan manifestonya pada jam satu tengah hari esok, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah - berisitko menjadikan acaraitu menjadi tegang sedangkan ia bertujuan untuk menonjolkan perpaduan.

Pandikar menjadi tumpuan video tular beberapa hari lalu apabila dia mencabar wartawan untuk bertaruh sama ada dia akan menang atau tidak dalam PRN ini.

Kenyataan itu dibuat sebagai respons kepada soalan mengenai penyokong yang mengecamnya ketika namanya diumumkan sebagai calon GRS bagi kerusi Pintasan.

Penyandang kerusi itu, Fairuz Renddan, yang marah kerana digugurkan, telah meninggalkan Gagasan dan kini bertanding menentang Pandikar.

Sabah akan mengadakan pilihan raya pada 29 November ini, dengan pengundian awal pada 25 November.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS