PRN SABAH | Kempen PRN Sabah baru sahaja bermula dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri telah turun padang, dengan memimpin jentera partinya, PKR.
Walaupun PKR hanya bertanding di 12 daripada 73 kerusi DUN dan menyatakan tiada niat untuk mengetuai kerajaan negeri nanti, pertaruhan yang dihadapi parti itu tetap besar.
Berdasarkan rekod sebelum ini, PKR tidak menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan dalam memenangi kerusi di Sabah.
Pada 2018, ketika PKR mencatatkan prestasi yang baik, parti itu hanya memenangi satu daripada 10 kerusi negeri dan dua daripada lima kerusi Parlimen yang ditandinginya di negeri itu.
Ketika PRN pada 2020, pencapaiannya meningkat sedikit dengan menang dua daripada tujuh kerusi ditandingi.
Pada PRU 2022 pula, PKR hanya menang satu daripada 10 kerusi Parlimen yang ditandingi.
Keputusan Anwar untuk mengetuai kempen PKR kali ini bermakna sebarang kegagalan memperbaiki prestasi parti itu nanti akan menjadi keaiban besar – dan menimbulkan persoalan tentang keupayaannya menawan hati rakyat serta kebolehannya merangka kerjasama politik.
Anwar telah pun gagal mendamaikan BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk bekerjsama, dengan dua gabungan itu bertembung di 45 kerusi.

Namun, dia masih berjaya mendapatkan komitmen BN dan GRS untuk menyokong PH.
Secara teori, itu sepatutnya mampu menyumbang jumlah undi yang mencukupi untuk PKR memenangi beberapa kerusi.
Ia seterusnya akan meletakkan PKR dan PH sebagai ‘kingmaker’ di mana mereka akan mempunyai pengaruh signifikan dalam menentukan siapa yang akan membentuk kerajaan negeri yang baru - kemungkinan untuk menjadikan BN dan GRS tetpa perlu bekerjasama seperti di peringkat persekutuan.
Namun, realiti politik tidak semudah itu.
BN akan bertembung dengan PKR di Karamunting, sementara PKR akan mencabar GRS di Moyog. Ketiga-tiga pihak akan bertembung di Bandau.
Walaupun ini mungkin tidak akan memberi kesan kepada rundingan selepas pilihan raya, ia tetap menjejaskan peluang PKR untuk menang di kerusi tersebut.
Pada masa sama, keputusan Upko untuk keluar dari PH akan menjejaskan sokongan masyarakat Kadazandusun terhadap PKR. Upko akan bertembung dengan PKR di tujuh kerusi.
Malah, Anwar sendiri mungkin menjadi liabiliti kepada partinya.

Seminggu sebelum hari penamaan calon, Anwar “berdebat” dengan seorang pengundi, di mana dia dilihat seperti menolak perbezaan antara peruntukan persekutuan kepada Sabah dan hak negeri itu terhadap 40 peratus hasil persekutuan yang diraih daripadanya.
Rakaman itu tular, dan pendirian Anwar yang kerajaan Persekutuan memberi peruntukan lebih besar daripada hasil yang diraih daripada Sabah, mengundang kecaman daripada sejumlah pihak di negeri itu.
Walaupun Anwar kemudian memberi penjelasan berkenaan pendiriannya dan Jabatan Peguam Negara juga tidak membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah, isu tersebut dijangka terus dijadikan modal kempen.

Selain itu, sokongan berterusan Anwar terhadap GRS di tengah skandal rasuah yang membabitkan 14 ahli politik daripada gabungan itu juga mungkin menjejaskan undi.
Walaupun isu sedemikian lazimnya bukan keutamaan penyokong BN dan GRS – yang lebih menumpukan isu kos sara hidup – soal antirasuah adalah aspek penting kepada penyokong PKR dan PH.
Aktivis muda di negeri itu telah menyuarakan kritikan terhadap Anwar berhubung skandal tersebut, walaupun tidak jelas sejauh mana sentimen itu tersebar dalam kalangan belia Sabah.
Anwar tidak menunjukkan tanda akan berganjak daripada pendiriannya mengenai skandal itu, dengan semalam mengulangi bahawa video yang didedahkan ahli perniagaan, Albert Tei bukanlah bukti yang kukuh.
Tei telah menyerahkan bukti lebih 300 halaman kepada SPRM, termasuk jejak wang, rekod bank, dokumen dan surat-menyurat untuk menyokong dakwaan dalam video berkenaan.
Daripada 14 ahli politik Sabah yang dikaitkan dalam video Tei, hanya dua telah didakwa atas kesalahan rasuah – satu perkara yang juga pasti menjadi modal seteru PKR dalam pilihan raya ini.
