Peguam Latheefa Koya mengecam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar susulan teguran terhadap artis Sabronzo (Wan Sabrina Wan Rusli) berhubung pakaiannya dalam video muzik.
Wan Sabrina ialah salah seorang ahli kumpulan muzik Dolla yang dianggotai tiga wanita. Dua anggota yang lain ialah Tabby (Tabitha Ariel Lam), dan Angel (Angelina Chai).
Latheefa berkata Na’im menegaskan bahawa Na'im tidak seharusnya membuat "ugutan" sedemikian, sambil menambah bahawa menteri tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat atau mendakwa rakyat.
“Pendakwaan, sama ada sivil atau syariah, hanya boleh diputuskan oleh pihak berkuasa pendakwaan, selepas siasatan yang adil dan saksama oleh badan penyiasatan yang berkaitan.
“Dengan melancarkan kecaman ini terhadap Wan Sabrina, menteri itu telah memalukan dia secara terbuka walaupun dia tidak didapati bersalah atas sebarang kesalahan.
“Dia (Na'im) juga telah menjejaskan hak asasi Wan Sabrina untuk siasatan dan perbicaraan yang adil,” katanya di X.

Semalam, Na’im menyifatkan pakaian kumpulan itu sebagai tidak sesuai dan tidak menghormati sensitiviti budaya dan agama serta mencadangkan untuk mempertimbangkan tindakan undang-undang syariah terhadap ahli kumpulan yang beragama Islam.
“Dari sudut tindakan itu kita akan lihat (terlebih dulu) kalau ada pelanggaran kepada mana-mana peraturan, enakmen dan jenayah syariah...tindakan jenayah syariah dalam penelitian kita,” katanya
Na’im menambah bahawa dia akan menggesa Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk menilai semula garis panduan pakaian untuk selebriti Muslim.
Dalam video itu, kumpulan itu kebanyakannya memakai baju halter neck dengan korset yang dipadankan dengan skirt mini, manakala dalam satu babak, mereka memakai pakaian dengan bahu terdedah dan bahagian perut yang terdedah.
Susulan itu, Universal Music Malaysia telah menurunkan video muzik tersebut dan memohon maaf atas kecuaiannya terhadap sensitiviti budaya.

Namun, Latheefa berkata kecaman terhadap kumpulan itu mencerminkan obsesi pihak tertentu yang tidak menyenangkan terhadap kesucian wanita, sambil mengabaikan sikap misoginis yang berbahaya dalam masyarakat.
Daripada mensensasikan isu tersebut, Latheefa menggesa Na'im dan kementeriannya untuk menumpukan perhatian kepada masalah sebenar yang mempengaruhi masyarakat.
Memberi contoh, bekas ketua pesuruhjaya SPRM itu menegaskan bahawa beribu-ribu kanak-kanak dinafikan kewarganegaraan hanya kerana dokumen perkahwinan ibu bapa mereka tidak lengkap.
“Bukankah membela kanak-kanak yang tidak bersalah adalah tugas agama tertinggi kita?
“Lagipun, bagaimana menteri memutuskan bahawa video muzik ini terlalu seksi?
“Adakah dia menontonnya? Apakah kriteria untuk memutuskan perkara ini? Mungkin dia sepatutnya ‘menunundukkan pandangannya’.”
